Monday, July 9, 2012

ISU MORAL : NAJIB PERLU LETAK JAWATAN SEGERA

 

Dewan Pemuda PAS WP (DPPWP) melihat kenyataan Datuk Seri Najib yang mengatakan bahawa pemimpin yang ingin menjadi Perdana menteri Malaysia mesti bebas daripada belenggu masalah moral umpama menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.

Kata-kata beliau itu sendiri sebenarnya membuktikan bahawa beliaulah orang yang paling tidak layak menjawat jawatan Perdana Meneteri Malaysia sebenarnya. 

Najib tanpa rasa malu dan bersalah menuding kesalahan kepada orang lain dan berasakan hanya beliau sahajalah yang tiada masalah moral. Sedangkan seluruh Malaysia dan dunia tahu pelbagai isu moral yang sedang terpalit di badannya. ianya bukan sahaja terhadap dirinya sahaja tetapi turut melibatkan isterinya juga.

Najib seharusnya membersihkan dahulu isu-isu dan skandal-skandal yang sedang dihadapinya. Umum mengetahui bagaimana Najib terpalit dengan isu pembunuhan Altantuya dan yang terkini skandal komisyen pembelian kapal selam Scorpene yang turut melibatkan diri beliau sendiri. Ketidaklayakan Najib sebagai seorang Perdana Menteri turut dipersoalkan apabila isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor turut sama terpalit dalam isu pembelian cincin 24 juta.

Nyatalah Najib kini menjadi liabiti bukan sahaja kepada UMNO/BN tetapi juga kepada rakyat Malaysia. Ianya turut ditambah dengan penglibatan isterinya, Rosmah. Namun harus diingat, bukan sahaja Najib yang mempunyai isu dan skandal moral, malahan pemimpin UMNO/BN memang terkenal dengan pelbagai isu tersebut.

Malaysia akan punah apabila ditadbir oleh ahli keluarga yang penuh dengan pelbagai skandal dan isu moral. Sudah sampai masanya rakyat Malaysia menolak bukan sahaja Najib, tetapi juga parti UMNO/BN yang kini  hari kian menjadi beban. Mengundi UMNO/BN bagaikan mendukung biawak yang hidup.



KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Pemuda PAS WP

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.