Friday, June 29, 2012

UMNO BARU CARI NAHAS LAGI - Zulkifli Sulong

 


 

 

Umno dan Barisan Nasional (BN) terperangkap di celah-celah tindakan ultra NGO naungannya terhadap pengerusi bersama Bersih Datuk S Ambiga (gambar).

"Kalau pilihan raya 2008 pengundi India menolak Umno dan BN kerana usaha yang dibuat Uthayakumar dan Hindraf, kini muncul hero baru kaum India, S Ambiga.

"Pergilah ke mana-mana dan bertemu dengan masyarakat India, mereka akan berkata Ambiga adalah ikon baru mereka," kata anggota Parlimen Teluk Intan, S Manogaran dalam satu majlis sebelum ini.

Menjelang PRU 2008, nama peguam Uthayakumar meniti dari bibir ke bibir orang India di negara ini.

Kesan dari perjuangan mereka, masyarakat India menolak BN sehingga Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu kalah kepada calon PSM yang bertanding atas nama PKR di Sungai Siput.

Kerana orang India juga, calon PAS, Dr Siti Mariah Mahmud menang besar di Parlimen Kota Raja, Selangor.

Beliau mendapat undi majoriti 20,751 undi menjadikan beliau pemimpin PAS yang menang dengan majoriti paling besar dalam pilihan raya umum 2008.

Di Kota Raja, 26.27 peratus dari 57,323 pengundinya dari masyarakat India. Pengundi Melayu hanya 46.78 peratus.

Padahal dalam pilihan raya umum 2004, Dr Mariah yang turut bertanding kalah dengan majoriti 8,239 undi kepada calon BN dari MIC, S Vigneswaran.

Menjelang pilihan raya itu, isu tuntutan Hindraf dan hero mereka Uthayakumar menyebabkan mereka menolak BN khasnya MIC.

(Uthayakumar ialah hero pengundi India PRU 2008)

Selasa lalu, anggota Parlimen Seri Gading, Mohamad Aziz tanpa memahami isu dengan jelas menghina Ambiga sehingga mencadangkan beliau dihukum gantung kononnya kerana penderhakaan yang beliau lakukan melalui perhimpunan Bersih 3.0.

Semasa perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi rang undang-undang Perbekalan Tambahan semalam, beliau mendakwa Ambiga sebagai 'pengkhianat' kerana menganjurkan perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April.

Ekoran itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan lapan lagi ahli parlimen parti itu menyuarakan rasa terkejut mereka.

"Gesaan itu satu hasutan, rasis dan mengancam. Ianya rasis kerana ia ditujukan terhadap seorang India dan seorang Hindu. Ia juga ditujukan terhadap seorang wanita," katanya.

Presiden MIC, G Palanivel juga melompat marah dan membuat kenyataan membantah kenyataan Mohamad Aziz itu.

Hasilnya, hari ini Mohamad terpaksa menarik balik kenyataan yang dibuat pada hari Selasa lalu di mana beliau bertanya sama Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga perlu digantung kerana menderhaka.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa sebagai seorang yang berdisiplin dan dari parti yang berdisiplin, beliau - atas semangat setiakawan dalam BN - menarik balik kenyataannya itu jika ia menyinggung perasaan pemimpin rakan-rakannya dari MIC atau PPP.

Ambiga yang beragama Hindu dan bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia mula dilihat menjadi hero masyarakat India apabila sekumpulan aktivis NGO Umno membuat senaman punggung di depan rumahnya.

Sekumpulan yang mengaku ahli Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM) pimpinan Mohamad Ali Baharon membuat senaman punggung di depan rumah Ambiga.

(Ambiga melayan tetamu yang datang membuat senaman punggung di depan rumahnya)

Ambiga menawarkan air 100 Plus kepada mereka selepas penat bersenam, namun Mohamad Ali dengan angkuh berkata "kami orang Melayu orang Islam tidak minum air ini, kami minum air suam je".

Di samping kumpulan pimpinan Mohamad Ali, sekumpulan lagi NGO Pro Umno membuat gerai menjual berger daging lembu di depan rumah Ambiga.

Ia menjadi satu penghinaan kepada penganut agama Hindu kerana mereka tidak memakan daging lembu dan menyebabkan simpati kepada Ambiga memuncak.

Dengan Ambiga sebagai ikon baru sokongan masyarakat India, Pakatan Rakyat yakin sokongan pengundi India kepada mereka meningkat kembali selepas tenggelam isu Hindraf.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.