Sunday, June 3, 2012

MAHATHIR ORANG PERTAMA HARUS DISIASAT RCI - Oleh : AFEEQA AFEERA

 
 

SHAH ALAM : “Orang pertama yang harus disiasat dan didakwa berhubung isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” tegas Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin (CheguBard).

Beliau berkata demikian ketika di hubungi TV Selangor berhubung cubaan kerajaaan pusat kononnya mahu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang asing di Sabah baru-baru ini.
Katanya, Pakatan Rakyat (PR) mahu kerajaan pusat bukan sekadar menubuhkan RCI berhubung isu PATI di Sabah malah di seluruh negara sahaja sekiranya kerajaan ikhlas mahu menangani isu tersebut secara telus.

Gesaan itu disifatkan wajar kerana isu pendatang asing turut berlaku di kawasan-kawasan lain seluruh negara sejak sekian lama.

Menurutnya, perkara itu sudah menular sejak dari zaman pemerintahan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertanggungjawab membawa masuk lebih setengah juta pendatang asing ke Sabah pada era 1980?an lalu untuk menjatuhkan kerajaan PBS, pimpinan Datuk Pairin Kitingan.

“Saya menyambut baik penubuhan RCI ke arah untuk menyelesaikan atau penyiasatan terhadap isu kad pengenalan palsu yang diberikan Tun Dr Mahathir sehingga sekarang. Kerajaan kononnnya nak tunjukkan sikap prihatin mereka terhadap isu ini di Sabah.

“Dr Mahathir harus menjadi sasaran utama suruhanjaya ini kerana masalah ini sudah menular sehingga merosakkan daftar pemilih kita. RCI juga boleh ditubuhkan jika benar-benar mahu bersihkan pilihan raya untuk ambil hati pengundi,” tegasnya.

Apa yang menjadi keutamaan katanya, RCI perlu dilaksanakan secara efisyen supaya ia tidak menjadi siasatan dangkal yang akhirnya gagal membongkarkan siapa yang bersalah.

Jelasnya, ketelusan dalam melakukan siasatan adalah penting kerana ia membabitkan soal masa depan negara terutama terhadap generasi muda.

“Bagi saya jelas bahawa RCI perlu melihat apakah hasil siasatannya. Kita boleh bercakap apa sahaja malah Tun Dr Mahathir boleh menafikannya, tetapi RCI seharusnya meneliti sehingga kita boleh membongkarkan siapa sebenarnya yang terlibat serta puncanya. Mesti ada pihak yang bertanggungjawab kerana isu kad pengenalan adalah masalah yang tidak pernah selesai,” ujarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan kerajaan bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Beliau berkata, kerajaan komited untuk menangani isu itu yang menurutnya mampu menjejaskan kesejahteraan dan keharmonian rakyat Sabah./~sabahkini.net

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.