Thursday, May 3, 2012

3,000 dijangka hadir debat PTPTN Khairy-Rafizi Berita Oleh: mahasiswa_united


"SHAH ALAM - Debat PTPTN antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli Khamis ini, yang dijangka dihadiri 3,000 orang, diharap akan muncul forum yang bakal menghasilkan input menarik untuk orang ramai khususnya kumpulan sasaran.

Debat bertemakan "Pemansuhan PTPTN & Hala Tuju Pendidikan Tinggi" akan berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor di Seksyen 7 di sini, jam 8 malam.

Mengulas mengenai persiapan ke arah debat yang dilihat sebagai 'pertemuan bersejarah' dua pemimpin muda itu, Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali berkata, pihaknya menganggap debat kali ini sebagai wacana kali ke-14 - satu lagi ruang untuk membicarakan isu menyentuh kepentingan ramai.
Abdul Jalil juga yakin akan menerima sokongan dan sambutan baik daripada para hadirin yang bakal membanjiri Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor.

"Lagipun sepanjang 12 wacana yang telah diadakan sebelum ini, para hadirin telah memperlihatkan satu sikap yang matang, dan kami berharap mereka akan menunjukkan persekitaran yang sama ketika debat Khamis ini," kata beliau lagi.

Lagi pun, katanya, pendebat sendiri merupakan personaliti-personaliti yang ada kredibiliti dan "pendirian jelas tentang isu ini."

"Kami berharap kedua-dua mereka akan terbuka dalam memberikan pandangan dan pendirian mengenai isu PTPTN," katanya lagi.

Abdul Jalil menjangkakan 3,000 orang akan menghadiri debat kali ini.

"Mengambil kira ciri debat itu sendiri, sebanyak 2,000 kerusi masing-masing 1,000 kerusi dikhususkan kepada pengikut dan penyokong Khairy dan Rafizi manakala baki 1,000 untuk orang ramai.

"Oleh itu, kami mengharapkan kerjasama semua pihak bagi memastikan kelancaran sesi debat. Saya mengharapkan kerjasama daripada semua pihak ketika debat, dan mengikut arahan dan panduan pihak keselamatan dan sekretariat," katanya.

Sehubungan itu kata Abdul Jalil, pihak penganjur telah menerima kerjasama yang baik daripada pihak polis bagi memastikan tahap keselamatan terjamin sepanjang debat.

"Saya berharap hadirin akan datang awal untuk mendapatkan tempat duduk dalam dewan. Bagi hadirin beragama Islam, ada kemudahan surau untuk mereka menunaikan solat Maghrib dan Isyak, jadi diharap datang awal," kata beliau.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/3-000-dijangka-hadir-debat-ptptn-khairy-rafizi-1.44560

GABUNGAN PEMINJAM PTPTN >>>>>>>  http://www.facebook.com/ptptpu
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.