Thursday, April 26, 2012

Nik Aziz: Hadir BERSIH Wajib !!

BERS✔H 3.0: Kebangkitan Rakyat Yang Takkan Boleh Dihalang Oleh Sesiapa

Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata hadir ke perhimpunan BERSIH pada 28 April ini wajib kerana ia diadakan untuk menentang ketidakadilan proses pilihan raya yang tidak selari dengan Islam.

"Mana-mana pihak yang melakukan perkara tidak berlandaskan Islam wajib kita tentang," ujarnya kepada akhbar rasmi PAS Harakah di pejabatnya di Kota Baharu.
Setiausaha akhbar kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga berkata, pemimpin nombor satu dalam parti Islam itu akan turun bersama dalam perhimpunan pada Sabtu ini.

Malah, kata Nasaie Ismail, PAS juga telah mengeluarkan arahan kepada semua ahli untuk turun beramai-ramai ke himpunan tersebut.

Mengulas soal pengundi hantu, yang termasuk dalam tuntutan BERSIH, Nik Aziz berkata ia jelas perbuatan kotor dan bercanggah dengan kehendak Islam.

"Andainya Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya akan datang dan mentadbir negara akan melakukan sebagaimana BN buat sekarang, setuju atau tidak sekiranya kami bawa pengundi hantu untuk kekal mentadbir negara pada pilihanraya berikutnya.

"Tentu saja Umno dan BN tidak mahu sebab perkara ini perbuatan mungkar yang tentu saja berdosa besar bila melakukanya," beliau dipetik sebagai berkata.

Kemenangan 'haram'

Justeru, tambahnya ‘wajib' rakyat di seluruh negara keluar beramai-ramai menjayakan BERSIH 3.0 untuk menentang pengundi hantu di samping menuntut tujuh perkara lain.

Beliau seterusnya memberitahu, sekiranya wakil rakyat yang menang dalam pilihan raya itu kerana dibantu oleh pengundi hantu, kemenangannya ‘haram' di sisi Islam.

"Malah segala elaun bulanan atau segala bentuk yang diperolehi sebagai wakil rakyat, gaji, kereta dan semuanya haram serta tidak sah di sisi Islam.

"Perkara ini bukan perkara main-main dan kena ingat Allah dan balasan akhirat,"ujarnya lagi.
Abim seru pencinta kebenaran ke Bersih 3.0

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyokong penganjuran perhimpunan aman Bersih 3.0 pada 28 April ini di Dataran Merdeka.

Presidennya, Amidi Abd Manan berkata, Abim menilai penganjuran Bersih 3.0 adalah manifestasi keprihatinan rakyat terhadap kelemahan tatacara pengendalian pilihanraya di negara ini.

“Pilihanraya adalah wahana untuk mengangkat pemimpin yang didokong oleh rakyat.

“Pilihanraya juga merupakan mekanisme berkesan dalam menguruskan perbezaan pendapat serta aliran politik dalam sesebuah negara secara harmoni sekiranya ia dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Justeru, tambahnya adalah amat penting institusi serta tatacara pengendalian sesebuah pilihanraya beroleh kepercayaan serta keyakinan yang tidak berbelah bagi dari rakyat.

Sehubungan itu, Abim menggesa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) seharusnya mengambil sikap proaktif dan lebih serius untuk menangani sebarang aduan serta desakan yang dikemukakan oleh Bersih 3.0 serta masyarakat terhadap isu-isu berkenaan.

“Dalam hal ini Abim ingin mendesak SPR agar menngamati setiap tuntutan serta aduan yang dikemukakan seperti pembersihan senarai pengundi, penambahbaikan terhadap pengendalian undi pos, akses media yang saksama untuk semua parti di samping membendung budaya politik kotor dan ganas menerusi pengukuhan institusi-institusi awam yang berkaitan,” ujarnya lagi.

Menurutnya, SPR tidak seharusnya bersikap acuh tidak acuh dalam menangani sebarang aduan serta tuntutan yang dikemukakan, kerana ia merupakan manifestasi terhadap tingginya kesedaran sivil dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap hak politik mereka.

Beliau menegaskan, kegagalan berbuat demikian (menangani aduan serta tuntutan yang dikemukakan dengan sewajarnya) tidak sahaja akan membentuk persepsi negatif terhadap SPR, bahkan ia menafikan peluang untuk badan terbabit memperbaiki serta mengembangkan tatacara pengendalian pilihanraya yang lebih cekap dan berintegriti.

“Menilai suasana politik semasa yang banyak dipengaruhi dengan teka teki PRU 13 yang akan datang, Abim merasakan isu penambahbaikan pengendalian pilihanraya seharusnya diberikan keutamaan yang paling tinggi oleh SPR serta pihak-pihak yang berkenaan,” katanya.

Menurut Amidi lagi, kegagalan berbuat demikian hanya akan mengeruhkan suasana politik semasa serta bakal menjejaskan peranan PRU13 sebagai wahana pengurusan perbezaan pendapat serta aliran politik secara harmoni dan berkesan.

“Justeru, Abim menyeru setiap rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran dan keadilan agar sama-sama turun secara aman untuk menghadiri Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini, untuk sama-sama menzahirkan keprihatinan mereka terhadap masa depan negara yang tercinta ini,” ujarnya lagi.
-HD


Persada seru ahli turun Bersih 3.0

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Kelantan Darul Naim di Selangor dan Kuala Lumpur (Persada) sebagai sebuah NGO bebas menyokong sepenuhnya sebarang usaha ke arah memastikan PRU di Malaysia telus, bersih dan profesional.

Persada juga berpendapat, penganjuran Himpunan Bersih 3.0 'Duduk Bantah' adalah satu tindakan yang proaktif dalam mencapai hasrat murni seluruh masyarakat yang cintakan keadilan dan integriti.

"Ia sesuatu yang harus disokong dan didokong oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira anutan agama mereka batasan kaum, pegangan ideologi politik dan sahsiah," demikian tegas Setiausaha Agong Persada Razali Mat Ail.

Katanya, Himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini tidak harus dilihat sebagai satu tindakan politik tertentu tetapi menjangkau lebih daripada itu.

Jelasnya kepada Harakahdaily, semua pihak perlu melihat dari pelbagai aspek lain yang lebih penting terutamanya dalam mendesak pengendalian proses pilihan raya yang harus diperbaiki untuk memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati hasil yang bersih dan adil.

"Imej Malaysia sebagai sebuah negara yang dipimpin oleh kerajaan yang diberi mandat secara sah telus dan adil perlu diperbaiki dan tidak diragui," katanya.

Justeru, Persada juga ingin menyeru ahli-ahlinya untuk turut mengambil bahagian secara aktif dalam usaha ke arah mobilisasi rakyat bagi menjayakan Perhimpunan Bersih 3.0 dan menegaskan bahawa perhimpunan secara aman adalah menjadi hak rakyat Malaysia.
-HD


Auntie Bersih seru golongan tua sokong BERSIH 3.0

Anne Ooi, yang lebih dikenali sebagai 'Auntie BERSIH', menggesa golongan tua keluar beramai-ramai Sabtu ini bagi menyokong desakan BERSIH bagi pilihan raya yang bersih dan adil.

Dalam klip video yang disiarkan di Facebook Ahad lepas, Anne, 66, menyeru mereka bangkit menyokong perhimpunan tersebut.

Beliau berharap lebih ramai golongan tua mengambil pendirian
mengenai isu penting itu.

"Saya minta orang tua, 60 tahun macam saya, jangan biar (pada0 budak-budak, polis selalu tangkap mereka, bantai mereka," katanya.

Walaupun sudah berusia ketika menyertai kempen reformasi sistem pilihan raya, Auntie Anne tegas dalam menyatakan komitmennya menyokong gerakan tersebut.

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, 77, turut dipaparkan klip video tersebut di mana beliau berkata pengalaman usia boleh digunakan dengan bijaksana.
-mk




Ulasan GB

Meminjam kata-kata dari TG Nik Aziz semasa Bersih 2.0 dahulu:

"Bagaikan tabie air, rakyat pun begitu. Sebarang usaha menyekat dan membenteng air yang turun dari gunung akan menunggu bencana di hari depan, di satu masa dan ketika nanti."

Buktinya: Musa Hassan dan Hishamuddin Hussein manusia paling hebat menentang BERSIH 2.0 dahulu< Musa terpaksa mengakhiri kerjaya polisnya dengan tidak disambung lagi perkhidmatannya sebagai KPN (dan bakal disaman pula oleh bekas pengarah Jabatan Siastan Jenayah Komersial Datuk Ramli Yusuff kerana didakwa menganiayanya dan merosakkan sistem kehakiman). Dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menuntut penjelasan lanjut daripada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengisytiharkan gabungan proreformasi pilihan raya BERSIH 2.0 sebagai pertubuhan tidak sah tahun lalu.

Itulah Hukum kebenaran dan Keadilan yang berjalan ke atas mereka yang menghalang kebangkitan rakyat.

Kelab Greenboc

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.