Agenda
sebenar Dato' Dr Hasan Ali sudah jelas terbongkar dengan kenyataan
terbarunya yang dangkal, bebal dan berasaskan fitnah semata-mata.
Semasa berceramah di Bangi
tempoh hari, Hasan Ali telah dilaporkan berkata bahawa apabila Pakatan
Rakyat mengambil alih tampuk kuasa Putrajaya, DAP akan menggabungkan
Malaysia dengan Singapura untuk menubuhkan sebuah republik. Di samping
itu, Hasan Ali juga mendakwa DAP akan memansuhkan Artikel 153
Perlembagaan Persekutuan dan menghapuskan elemen-elemen Islam di negara
kita.
Motif politiknya sebagai orang
suruhan UMNO sudah terbongkar. Saya berasa kesian kerana Hasan Ali
terpaksa menjual harga dirinya dengan menipu rakyat untuk mendapatkan
publisiti murahan.
Namun begitu, saya percaya
taktik fitnah taraf UMNO ini tidak akan dipercayai umum. DAP adalah
sebuah parti yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan tidak
mengambil pendirian yang mencabar teras-terasnya.
Sebagai bukti pendirian DAP
dalam mempertahankan kerangka kenegaraan yang sedia ada, termasuk sistem
Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, saya memetik tiga
perkara yang terkandung dalam Deklarasi Shah Alam yang baru sahaja
dibentangkan, dibahas dan diluluskan dengan sebulat suara oleh para
pewakilan dalam Persidangan Kebangsaan DAP 2012 bulan lepas:
Mempertahankan sistem Demokrasi
Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. DAP komited untuk menjunjung
Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai undang-undang yang paling
agung negara dan meluhurkannya dalam semangat Merdeka 1957 dan
Perjanjian Malaysia 1963.
Memelihara kedudukan istimewa
orang Melayu dan Bumiputra serta hak-hak kaum-kaum lain, seperti yang
termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
Memastikan kedudukan Islam
sebagai agama Persekutuan serta kebebasan untuk mengamalkan agama-agama
lain dengan aman dan damai, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan
11 Perlembagaan Persekutuan.
Petikan di atas jelas membuktikan komitmen DAP untuk menjunjung dan mempertahankan teras-teras Perlembagaan Persekutuan.
Dan jika benar DAP mempunyai
hasrat untuk merendahkan status Islam, kenapakah Kerajaan Pakatan Rakyat
pimpinan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Pulau Pinang meningkatkan
berkali-kali ganda peruntukan tahunan untuk hal ehwal Islam?
Kenapakah
di Pulau Pinang jauh lebih banyak bantuan diberi berbanding dengan
Kerajaan BN untuk pembesaran tapak perkuburan, pembangunan Sekolah Agama
Rakyat dan program-program sambutan kebesaran Islam?
Di samping itu, baru-baru ini
Utusan Malaysia telah didapati bersalah dan diarahkan membayar RM200,000
kerana memfitnah Lim Guan Eng dan kerajaan pimpinannya sebagai
anti-Melayu dan anti-Islam. Keputusan mahkamah ini adalah bukti yang
paling nyata bahawa DAP tidak pernah mengambil pendekatan yang mencabar
teras-teras kenegaraan dan kemasyarakatan di negara kita.
Dengan fitnah dan tuduhan yang
melampau ini, peranan Hasan Ali sebagai musuh dalam selimut sudah tidak
diragui. Sesungguhnya seseorang yang begitu cepat berpaling tadah dan
menyongsangkan pendiriannya tidak layak dipercayai.
Kenyataan media oleh Zairil Khir Johari di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 2hb Februari 2012
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.