Wednesday, November 30, 2011

Panas!! Sekretariat UMNO Tengking Media

 
"Tak faham orang lebih banyak nak tolong dia dari diri sendiri,” itu saja yang boleh kami katakan kepada perhimpunan parti bangsa Melayu terbesar negara apabila kami gagal meneruskan liputan mengenainya tahun ini.
 
Panas hati, kecewa dan bengang teramat sangat, begitulah perasaan kami ketika meninggalkan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas dua hari berturut-turut membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO di sini.

Kami dimarah dan dileter sesuka hati oleh pihak urus setia yang bertanggung jawab menjaga hal ehwal media di perhimpunan tersebut, iaitu UMNO Online yang juga memiliki portal berita yang hidup segan mampus tak mahu.

“Dah la mohon lambat, nak pula pas media cepat-cepat, mana boleh! Banyak lagi media yang kami kena layan, banyak lagi kementerian lain yang kami kena layan, bukan korang saja!,” tengking seorang petugas UMNO Online.


Kami juga diherdik kerana lewat memohon pas media khas untuk membuat liputan walaupun memberikan alasan bahawa kami masih baru dan tidak tahu saluran untuk membuat permohonan tersebut. “Kalau tak terima surat jemputan pun, telefon la kitorang! Ni dah mohon lambat, pas dah habis, kena tunggu la, ikut la prosedur!,” katanya.


Pertamanya, ingin kami beritahu di sini bahawa memang silap kami kerana lewat memohon pas media, itu pun disebabkan kami tidak tahu saluran mana atau siapa yang patut dihubungi untuk mendapatkan pas tersebut.


Tidak ada pula kami terima jemputan melalui emel, surat, pekeliling, hebahan melalui poster, radio atau televisyen yang memberitahu bahawa soal pas media dikendalikan oleh UMNO Online sebulan lalu.


Ia sangat berbeza dengan urus setia media Muktamar Tahunan PAS ke-52 yang berlangsung di Taman Melewar pada April lalu di mana kami dihubungi dan dimaklumkan melalui faks untuk hadir membuat liputan ketika perhimpunan parti itu.


Perkara ini, UMNO Online yang diamanahkan tugas tersebut perlu belajar dari PAS bagaimana menjalin hubungan baik dengan pengamal media.


Keduanya, kelewatan atau kesilapan kami itu bukanlah satu tiket untuk staf-staf UMNO Online mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada kami dan sewajarnya mereka menjelaskan keadaan dengan nada yang lebih baik.


Kalau tak nak bagi pun, cakaplah elok-elok sikit. Kami pun faham la. Tak perlu la nak herdik macam bagus sangat. Kecoh lebih apahal. Apakah wajar dua orang staf wanita yang mewakili suara UMNO berinteraksi dengan buruk terhadap media sedangkan mereka mengharapkan agar lebih banyak media membuat liputan perhimpunan parti mereka itu?


Dalam hal ini, pengalaman kami ketika membuat liputan Muktamar PAS tahun ini lebih baik. Ketika Muktamar PAS tempohari, seorang wartawan Mynewshub.my lewat memohon pass media (pada hari ketiga muktamar), namun petugas PAS dengan senyuman bersungguh-sungguh membantu mendapatkan pass tersebut dan ia diperoleh selepas hanya sejam menunggu sahaja.


Nampaknya, kebobrokan beberapa staf UMNO Online terhadap birokrasi itu mampu memburukkan imej UMNO di mata media dan rakyat yang mempunyai nilai undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Ketiganya, sekiranya staf-staf UMNO Online itu benar-benar merasakan diri mereka hebat sangat diberikan tugas bagaikan ‘raja media’, mereka perlu betulkan tanggapan tersebut kerana semangat UMNO tidak pernah sebegitu.


UMNO yang kami kenali sentiasa mesra media, tanyalah pada Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, beliau pasti setuju dengan pendapat kami mengenai parti itu. Keempat, tolonglah jaga sikit mulut staf-staf UMNO Online itu kerana ia mampu menjejaskan nama baik UMNO, khususnya kami telah mendapat tahu ada dikalangan rakan media yang sudah merungut mengenai layanan yang diterima meskipun perhimpunan baru sehari bermula.


Menghina, terlalu tegas dan bersikap bagai ‘akulah raja’ terhadap media akan membuat media alternatif seperti Malaysiakini dan Malaysian Insider akan melaporkan perkara-perkara yang negatif di sekitar perhimpunan tersebut. Kelima, apalah yang susah sangat untuk memproses pas media yang hanya bermodalkan sekeping kertas dan hanya mengambil masa kurang sejam.


Jika urus setia PAS mampu membantu memberikan pas media kepada Mynewshub.my dalam masa sejam, kami percaya pihak UMNO yang lebih sofistikated dan ‘advance’ mampu memberikan pass tersebut lebih awal dari tempoh tersebut! Pokoknya, mahu atau tak mahu bagi sahaja, kan?


Maaflah sekiranya UMNO Online tersinggung dengan kami kali ini, kami tak pedulik sebenarnya….dan ketahuilah bahawa salah kami hanya satu, namun kesalahan dan kesilapan pihak urus setia hal ehwal media ini lebih dari satu!


Tak tahulah sama ada kami akan membuat liputan media Perhimpunan Agung UMNO pada tahun depan atau tidak memandangkan kami malas mahu mengadap muka-muka berlagak tak bawak ke mana urus setianya.


Mynewshub

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.