Sunday, October 2, 2011

SPEAKER YG SAH DUN PERAK YB Sivakumar: Selesaikan masalah tanah SJKT Gunung Rapat


Isu tanah untuk SJKT Gunung Rapat, Ipoh bukanlah satu masalah yang baru.  Permohonan tanah telah dibuat banyak kali tetapi tidak ada apa-apa tindakan munasabah yang telah diambil oleh pihak-pihak yang terlibat.  
Melambat-lambatkan proses ini mengakibatkan tanah yang dipohon itu diserahkan oleh pentadbir tanah kepada pihak lain untuk tujuan-tujuan tertentu.  
Akhirnya segala usaha yang telah diambil oleh pihak sekolah dan PIBG menjadi sia-sia.  Kemudian mereka dikehendaki mencari satu tapak baru untuk sekolah tersebut.  Perkara ini berulang tahun demi tahun tetapi yang tinggal hanyalah janji kosong.

Perkara ini sungguh mengecewakan kerana sekolah ini tidak dipedulikan langsung dan hanya ditaburkan dengan janji-janji manis.  Jelas bahawa pihak kerajaan negeri tidak ada niat untuk memberikan tanah kepada sekolah ini.  
Oleh kerana SJKT Gunung Rapat ini terletak di kawasan bandar, adalah sukar untuk mencari tapak tanah yang luas lebih kurang lima ekar.  Setiap tanah yang pernah dikenal pasti itu juga diserahkan kepada pihak lain.  Ini tidak adil kerana sekolah ini sangat memerlukan satu tapak tanah yang baru di sekitar kawasan itu.

Sekolah ini tidak mempunyai padang dan bilik darjah juga tidak mencukupi.  Tambahan pula lokasi sekolah ini juga tidak sesuai dari segi keselamatan jalan raya dan sebagainya.  Banyak lagi masalah infrastruktur yang wujud di sekolah tersebut.  Nasib sekolah ini tidak akan berubah jika kerajaan negeri mengambil sikap sambil lewa dalam menangani masalah yang dibangkitkan.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa masalah sekolah ini langsung tidak dipedulikan oleh pihak kerajaan.  Jika benar mereka ikhlas dalam membantu sekolah ini, sudah tentu masalah ini telah lama diselesaikan.  Tetapi, sampai ke hari ini masalah tanah untuk sekolah ini masih lagi belum dibawa kepada perhatian Pejabat Tanah dan Galian lagi.  

Saya telah membuat semakan di Pejabat Tanah dan Galian Ipoh pada minggu lepas.  Pejabat itu tidak ada sebarang rekod berhubung dengan permohonan untuk tapak tanah baru untuk SJKT Gunung Rapat.  Mungkin permohonan itu masih lagi mengeram telur di Pejabat Tanah Manjoi.  Ini adalah bukti bahawa permohonan tapak baru untuk sekolah ini berganjak lebih perlahan daripada kura-kura.  
Siapakah yang bertanggungjawab untuk mendapatkan tanah untuk sekolah ini kalau bukan pemimpin-pemimpin MIC?  Tetapi mereka gagal dalam menjalankan tanggungjawab mereka lalu mengambil sikap tidak peduli terhadap permohonan tanah sekolah ini.

Akhirnya, Chua Soi Lek yang melawat ke kawasan parlimen Gopeng pula telah menjanjikan bahawa beliau akan membantu mendapatkan tapak tanah baru untuk sekolah tersebut.  Tetapi tidak ada apa-apa perkembangan selepas janji yang dibuat oleh beliau itu.  
Walau bagaimanapun, sungguh memalukan bagi pihak MIC kerana masalah yang mereka tidak dapat selesaikan itu sekarang berada dalam bakul MCA.  Apakah MCA boleh selesaikan masalah ini dan mengores arang di atas muka pemimpin-pemimpin MIC?  Perkara ini masih lagi menjadi satu tanda tanya di kalangan orang ramai.

Baru-baru ini satu memorandum juga telah diberikan oleh pihak sekolah kepada Perdana Menteri Najib Razak apabila beliau membuat lawatan ke Taman Song Choon, Gopeng.  Ini juga membuktikan bahawa pihak sekolah dan ibubapa sudah hilang harapan dengan pemimpin-pemimpin MIC.


Saya juga sungguh tertaik dengan kenyataan akhbar yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin MIC supaya saya tidak membuat perhimpunan aman pada 2 Oktober 2011 di hadapan SJKT Gunung Rapat.  Mereka mendakwa bahawa semua kerja-kerja sedang dilaksanakan untuk memberi tapak baru untuk sekolah itu.  
Saya meminta mereka supaya jangan memperbodohkan rakyat lagi kerana tidak ada sebarang usaha murni untuk memberi tapak baru untuk sekolah ini.  Ini adalah kerana pihak Pejabat Tanah dan Galian sendiri tidak mengetahui tentang permohonan lagi.  Tambahan pula, sudah ada projek di tapak baru yang dicadangkan enam bulan yang lalu.  Baru-baru ini pihak Majlis Bandaraya Ipoh mendirikan beberapa kiosk dan trek jalan kaki di tanah lapang yang dicadangkan itu.

Pembinaan struktur-struktur baru ini seolah-olah dilakukan dengan niat untuk menghalang pemberian tanah untuk sekolah tamil ini.  Akhirnya seperti biasa, pihak kerajaan akan memberi alasan bahawa tanah yang dicadangkan itu telah diserahkan untuk projek lain.  Pihak sekolah akan diminta untuk mencari tapak baru yang lain.  Kitaran proses ini akan bermula sekali lagi dan masalah ini tidak akan menemui hujungnya.


Perhimpunan aman yang akan diadakan oleh ibubapa dan penduduk Gunung Rapat adalah dengan harapan pihak kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan akan mengambil berat tentang masalah SJKT Gunung Rapat dan menyelesaikannya dengan serta merta.


*Kenyataan media oleh V.Sivakumar (gambar kanan) selaku ADUN Tronoh, dan Timbalan Pengerusi DAP Perak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.