Wednesday, October 26, 2011

Pemuda PAS Sabah Mahu Najib & Zahid Jelaskan Program Apprentices TLDM

“Ramai anggota tidak diberikan pangkat petter officer (PO) dan gaji yang setimpal kepada mereka,” dakwanya kepada sidang media di Pejabat PAS Sabah, Kota Kinabalu, semalam.

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) mendedahkan penyelewengan dan penindasan kerajaan Malaysia yang didakwa melibatkan anggota apprentices Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).


Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd Mijan, mendakwa terdapat hampir 1,000 anggota apprentices TLDM di bawah Skim Apprentices Diploma Teknologi Marin (DTM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai berasa teraniaya kerana tidak diberikan hak dan kebajikan kepada mereka dengan apa yang dijanjikan sebelum ini.

Tambahnya, terdapat beberapa perkara mengundang rasa tidak puas hati mereka terhadap pengurusan TLDM dalam melaksanakan tanggungjawab kebajikan kepada anggota.

Beliau mendakwa, selain kesemua anggota berkenaan tidak mematuhi kontrak sebenar dalam perkhidmatan, mereka juga tidak diberikan peluang untuk mendapatkan penjelasan kukuh berkaitan arahan pemberhentian yang lebih awal dari waktunya.

“Alasan yang digunakan oleh pihak TLDM untuk menyekat kenaikan pangkat dan menawarkan berhenti sukarela adalah tidak munasabah dengan menggunakan alasan kegagalan penyiapan kapal ronda generasi baru dan lebihan anggota dalam perjawatan.

“Pampasan berhenti awal juga tidak komprehensif kerana itu kesalahan TLDM yang tidak mematuhi kontrak menyebabkan caruman LTAT diterima adalah sikit berbanding anggota lain,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, kegagalan pihak TLDM menyiapkan 23 daripada 27 buah baki kapal perang menyebabkan graduan lepasan DTM terpaksa diserapkan ke unit-unit kecil bahagian TLDM dengan tidak mempraktikal secara teknikal berhubung pengajian mereka di UTM.

Beliau mendakwa penindasan skim berkenaan semakin ketara apabila kesemua mereka tidak diberikan latihan peralihan untuk mempersiapkan diri sebagai orang awam dalam masyarakat.

“Mereka tidak ditawarkan peralihan sekurang-kurangnya 2 atau 3 bulan untuk mempersiapkan diri menjadi orang awam sebagaimana anggota lain,” katanya.

Selain dari itu, kesemua anggota DTM terbabit juga seolah-olah dipaksa dan diugut untuk menandatangani borang perjanjian umpama akujanji untuk tidak mengambil apa-apa tindakan undang-undang terhadap pengurusan TLDM.

Dakwa Zulfikar, walaupun perkara itu berlaku semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak memegang tampuk Menteri Pertahanan, namun penyelewengan dan penindasan yang didakwa itu wajar dijawab oleh Najib dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan ketika ini.

Dokumen penyelewengan tersebut diserahkan kepada Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar untuk didedahkan di Parlimen yang turut hadir pada sidang media itu. -HD


Kelab Greenboc

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.