Saturday, October 29, 2011

MTUC sah lancar piket seluruh negara 3 Nov ini ??

 
PETALING JAYA - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)sah akan menganjurkan piket di 16 lokasi seluruh negara pada 3 November ini bagi membantah pindaan terhadap Akta Kerja 1955.

Setiausaha Agung MTUC, Abdul Halim Mansor berkata, piket itu akan diadakan di enam lokasi di Selangor serta setiap satu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Kelantan, Johor, Kedah dan Sabah.

"MTUC sendiri ada 800,000 ahli dan ada 5.7 juta pekerja seluruh Malaysia, kita harap pekerja seluruh Malaysia sertai kita dan dapat 'good crowd' hari itu," katanya pada sidang media di Wisma MTUC di sini.

Sidang media itu turut dihadiri Presiden MTUC Mohd Khalid Atan.

Pada 6 Oktober lepas, Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011 diluluskan 
Dewan Rakyat selepas melalui sesi perbahasan lebih lima jam.
Rang undang-undang itu dibacakan untuk kali kedua oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Pindaan akta itu akan membolehkan pemantauan dan pengawalan agensi pembekal tenaga buruh yang lebih sistematik, terutama di kawasan terpencil.

Abdul Halim berkata, piket itu akan berlangsung antara pukul 5 petang dan 6.30 petang dan sebanyak 100,000 risalah akan diedarkan serta 41 buah kain rentang akan dibawa sepanjang piket itu berlangsung di seluruh negara.

Katanya, MTUC akan menyerahkan surat kepada Ketua Polis Negara bagi memaklumkan tujuan dan lokasi piket itu diadakan sambil menegaskan piket itu akan berlangsung secara aman.

"Kita sudah serah surat kepada Perdana Menteri minggu lepas supaya akta itu dapat ditarik balik dan dibincangkan semula dengan pekerja," katanya.

Beliau berkata isu terbesar mengenai piNdaan akta itu ialah wujudnya kontraktor tenaga kerja di mana ini membolehkan majikan 'mengupah' kontraktor itu memberikan tenaga kerja kepada majikan itu.

Katanya, sistem itu membuatkan pekerja itu bekerja untuk kontraktor bukan majikan dan ini akan menyebabkan majikan tidak mempunyai tanggungjawab secara terus menjaga kebajikan pekerja terutamanya melibatkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Bila seorang pekerja ditimpa kemalangan ketika bekerja bagaimana dengan pampasannya, ini amat merumitkan kerana pekerja tidak bekerja dengan majikan tetapi buat kerja untuk majikan itu," katanya.

Abdul Halim berkata selain itu, pindaan terhadap pekerja separuh masa, cara menetapkan masa kerja pekerja wanita, masa pembayaran berbeza antara gaji dan elaun serta prosedur pengurusan kes gangguan seksual turut "merisaukan" MTUC.

"Jika dilihat pindaan ini boleh memudahkan pekerja ditindas dan dianiaya terutamanya oleh kontraktor tenaga kerja, kita mahu menyelesaikan isu ini secara domestik terlebih dahulu, kita tidak mahu bawa ini ke peringkat antarabangsa buat masa ini," katanya.

- mStar

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.