Monday, October 31, 2011

Batu Bara – marga Rao atau Mandailing? - Oleh Jari Basurek

Ramai yang terkeliru dan menyangka bahawa orang Batu Bara adalah orang Rao kerana loghatnya menyamai bahasa Rao. Langgam bahasa dan sebutan perkataan loghat Batu Bara seakan-akan bahasa Rao. Apakah orang Batu Bara adalah keluarga Rao?

Teka-teki ini terjawab akhirnya. Tidak ada tempat di Sumatera Barat bernama Batu Bara, tetapi ada sebuah daerah pengeluar batu bara di Umbilin, Sawah Lunto. Sungguhpun begitu, suku (bahasa Minangkabau) atau marga (bahasa Mandailing) Batu Bara memang wujud di Sumatera Barat. Orang Batu Bara sebenarnya berasal dari Sumatera Utara. Dan suku ini adalah marga Mandailing yang majoritinya tinggal di Sumatera Utara.


Kebanyakan masyarakat Batu Bara menetap di Kabupaten Pasaman iaitu di Rao. Faktor jiran dan perbatasan menyebabkan orang-orang Batu Bara suka tinggal di Rao. Apatah lagi Rao bersempadan dengan Sumatera Utara. Mereka telah berhijrah dari Sumatera Utara ke Rao beratus tahun yang lalu. Jika kita berkunjung ke tanah Rao, berdekatan Pasar Rao; ramai penduduk Mandailing menetap di situ beratus tahun lamanya.

Oleh yang demikian, asimilasi budaya membentuk kehidupan orang-orang Mandailing khususnya bermarga Batu Bara yang telah dipengaruhi budaya dan adat Rao termasuklah dari segi pertuturan bahasa secara evolusi.

Lantaran itu tidak banyak perbezaan antara adat dan makanan Rao dengan Mandiling kerana asimilasi berlaku tanpa disedari. Sebab itu apabila mereka berhijrah, merantau dan meneroka kawasan baru di Tanah Melayu – mereka sering berdekatan dan berjiran – secara teorinya; di mana ada Rao di situ ada Mandailing. 

Contohnya perkampungan Rao dan Mandailing di Chemor, Temoh, Banir, Gopeng dan sebagainya, jelas menggambarkan mereka bersatu dan bersaudara walaupun berlainan marga.

www.sekondakhati.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.