Saturday, August 6, 2011

BERS✔H 3.0 Meyusul Jika Najib Gagal Bersihkan Daftar Pemilih


Sambil menegaskan pihaknya tidak meletakkan sebarang keyakinan ke atas pentadbiran Najib bahawa akan menyelesaikan kemelut pengurusan pilihan raya, Pakatan Rakyat mahu Perdana Menteri memikul tanggungjawab bagi memastikan daftar pemilih benar-benar bersih.

Jika tidak, kata Pakatan Rakyat gelombang Bersih 3.0 akan menyusul.


Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar) menegaskan, Najib perlu bertindak segera lalu menyelesaikan semua penyelewengan dan konspirasi yang didakwa wujud demi memenangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 termasuk terbaru dakwaan pemberian kad pengenalan MyKad kepada warganegara asing.

Bagaimana beliau tidak meletakkan harapan tinggi untuk Najib menyelesaikan masalah yang berlaku termasuk isu pertukaran status kewarganegaraan pemastautin tetap.

“Apa lagi yang kita boleh harapkan pada perdana menteri, Himpunan Bersih 2.0 pun beliau tak boleh nak tangani, macam mana dengan isu yang terbaru ini (pertukaran status kewarganegaraan pemastautin tetap).

“Tapi sebagai pemerintah, beliau perlu bertindak segera... tuntutan Bersih 2.0 juga perlu dilaksanakan malah isu yang baru ini diselesaikan sebelum pilihan raya umum ke-13,” kata Salahuddin.

Isu daftar pemilih menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai pertukaran status kewarganeraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan hebat daripada kepimpinan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan pendedahan itu, Pakatan Rakyat mahu sidang tergembar Parlimen bagi membahaskan isu kewujudan pengundi-pengundi kalangan rakyat asing yang diberikan taraf kewarganegaraan Malaysia.

Selain itu Pakatan Rakyat juga mendakwa BN mendaftarkan warga asing sebagai rakyat negara ini melalui operasi “MyDaftar.”

Operasi itu dikatakan mahu menjadikan warga asing sebagai pengundi yang sah bagi memenangkan BN pada pilihan raya umum ke-13.

Tegas Salahuddin, Najib harus bertanggungjawab terhadap semua penyelewengan yang berlaku dalam sistem pilihan raya selain memberi penjelasan tentang langkah JPN membenarkan pemastautin tetap ditukar status menjadi warga negara Malaysia.

“Walau macam mana pun beliau (Najib) harus bertanggungjawab, beliau perlu tampil menyelesaikan semua kemelut yang berlaku ini...beliau mesti bertindak segera dan bertanggungjawab.

“Kita tahu apa yang dilakukan ini adalah usaha-usaha untuk membantu BN menang, selagi Najib sebagai perdana menteri beliau perlu tampil menyelesaikan perkara ini kerana ia akan mengancam keselamatan negara,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian ini turut mengingatkan pentadbiran Najib agar melakukan segera transformasi pilihan raya sekiranya tidak mahu berdepan dengan Himpunan Bersih 3.0.

“Sekiranya masih tiada perubahan sebelum pilihan raya umum ke-13 besar kemungkinan Himpunan Bersih 3.0 akan mengambil tempat.

“Kalau perlu kita akan lakukan, apa lagi yang kita boleh harapkan dengan sistem (pilihan raya) sekarang? Kalau SPR kata daftar pemilih bersih dan nafikan lagi, kita ada bukti... kita boleh buktikan, adakah kita mahu terus berdiam diri?,” katanya sambil menambah cadangan Himpunan Bersih 3.0 masih belum dibincangkan secara serius.

Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Ditanya apa langkah akan diambil PAS selepas ini, Salahuddin berkata pihaknya telah menyediakan beberapa pelan tindakan untuk mendesak Putrajaya.

“Saya rasa kita ada pelan tindakan...kita mempunyai beberapa siri pelan tindakan yang harus dilaksanakan dan buat masa ini tempat terbaik untuk mendedahkan semua konspirasi peringkat tertinggi ini adalah di Parlimen sebab itu kita mahu sidang tergempar Parlimen.

“Kita juga akan desak kerajaan menubuhkan inkuiri awam untuk kita kenal pasti siapa yang terlibat sehingga ke akar umbi,” katanya.

Tegas beliau, sekiranya semua pelan tindakan itu tidak dipedulikan Putrajaya, pihaknya terpaksa menghadap Yang di-Pertuan Agong sebagai langkah terakhir bagi memastikan sistem pilihan raya diadakan secara bersih dan adil.

Ditanya sama ada mempercayai daftar pemilih SPR, Salahuddin bagaimana pun menegaskan “sebab itu kita mahu satu pembersihan dilakukan yang mana ia merupakan perjuangan kita selama ini.” -TMI


kELAB GREENBOC




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.