Wednesday, July 27, 2011

PAKATAN RAKYAT TOLAK BIOMETRIK - BIOMETRIK AKAN TIPU










KENYATAAN MEDIA
22 Julai 2011



SISTEM BIOMETRIK: TERLALU MAHAL, TIADA MEKANISME TIMBANG TARA, TERLALU LAMA UNTUK DILAKSANAKAN

Mewakili Sekretariat Pakatan Rakyat, kami mengalu-alukan penyataan Perdana Menteri mengenai pelaksanaan sistem biometrik yang secara tidak langsung mengesahkan bahawa pengundi hantu dan pengundian berulang kali memang wujud dalam amalan pilihanraya di negara ini. Langkah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mencadangkan pelaksanaan sistem biometrik untuk mengekang masalah pengundi hantu dan pengundian berulang kali adalah bukti bahawa pimpinan Barisan Nasional sekalipun tidak mampu menafikan suara rakyat yang menyertai BERSIH2.0.

Maka, kita wajar mengucapkan tahniah kepada ratusan ribu rakyat Malaysia yang menyertai kempen BERSIH2.0 dan turun ke perhimpunan aman pada 9 Julai 2011 baru-baru ini. Tanpa kesabaran dan keberanian mereka, SPR dan Barisan Nasional akan terus menafikan bahawa penipuan-penipuan ini wujud.

Namun begitu, penerimaan terbuka oleh SPR dan Barisan Nasional itu diikuti pula dengan cadangan sistem biometrik yang hanya akan menambahkan masalah; bukannya menyelesaikan pelbagai penipuan yang berlaku selama ini. Kosnya menelan belanja ratusan juta ringgit dan akan membebankan rakyat yang sudah pun berhadapan dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi.

Mereka yang biasa dengan pelaksanaan sistem biometrik dan sistem komputer yang melibatkan seluruh negara dan jutaan rakyat Malaysia tahu bahawa sistem sebegini akan berhadapan dengan pelbagai masalah teknikal dan risiko keselamatan sistem. Maka tidak hairanlah SPR tidak boleh memberi komitmen sama ada ia boleh dilaksanakan menjelang PRU13; kerana mereka sendiri sedar ia akan mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan.

Lebih penting lagi adalah ketidakupayaan sistem biometrik menghalang pengundi hantu dan pengundi berulang kali kerana ia dibina berdasarkan pendekatan yang salah; iaitu setiap yang mempunyai kad pengenalan adalah pengundi yang sah. Ini akan membolehkan ramai pendatang asing yang diberikan kad pengenalan mengundi dalam PRU13.

Justeru, pendirian banyak pihak yang mempersoalkan kewarasan dan kebijaksanaan cadangan itu adalah tepat apatah lagi apabila penyelesaian sedia ada melalui penggunaan dakwat kekal adalah mudah, murah dan berkesan. Bukan sahaja sistem biometrik mahal dan memakan masa untuk dilaksanakan, kita juga khuatir ia akan melambatkan proses membuang undi pada hari pengundian yang akan mengurangkan kecenderongan pengundi keluar mengundi.

Sistem biometrik juga akan menghapuskan proses timbang tara (melalui penyertaan ejen mengundi/polling agent dan ejen pengiraan/counting agent dalam proses membuang undi) sedia ada yang memberi ruang kepada parti-parti politik memainkan peranan memastikan pilihanraya adalah adil dan saksama. Apabila tanggungjawab dan kuasa (sekarang ini di tangan ejen mengundi dan ejen pengiraan) untuk menyemak pengundi dan memastikan proses pengiraan adalah adil dipindahkan sepenuhnya kepada sebuah sistem komputer, parti-parti politik tidak ada peluang untuk memeriksa, menyemak dan memainkan peranan dalam proses pembuangan dan pengiraan undi.

Kewujudan peluang ini sebagai proses timbang tara adalah ciri-ciri utama sebuah pilihanraya yang bersih dan adil. Makanya, sebarang langkah yang berhasrat untuk menghapuskan penglibatan parti-parti politik sebagai timbang tara adalah bertentangan dengan kehendak rakyat yang disuarakan melalui BERSIH2.0.

SPR wajib kembali kepada 8 tuntutan yang disuarakan melalui BERSIH2.0 terutamanya penggunaan dakwat kekal kerana langkah itu adalah berkesan, murah, memberdayakan peranan parti-parti politik dan digunakan secara meluas di seluruh dunia. Sistem pilihanraya di negara ini memerlukan reformasi keseluruhan, bukannya pindaan-pindaan kecil yang akan menelan belanja ratusan juta tetapi menimbulkan pelbagai masalah baru yang menyemarakkan kemarahan rakyat.

Dikeluarakan bagi pihak seketeriat Pakatan Rakyat
Wakil-wakil parti:

YB Hatta Ramli
Ketua Pengarah pilihanraya
Parti Islam SeMalaysia

YB Liew Chin Tong
Setiausaha Antarabanga
Parti Tindakan Demokratik

Saudara Rafizi Ramli
Pengarah Strategi
Parti Keadilan Rakyat

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.