Monday, June 6, 2011

Isu TNB dengan IPP, Dr Mahathir wajar menjawabnya kepada rakyat Oleh Aspan Alias

Salah satu yang terang dinyatakan oleh agama kita ialah ‘kemiskinan membawa kekufuran’. Itu sebabnya Islam sentiasa menggalakan supaya umatnya berusaha dengan tekun untuk mengelak dari menjadi miskin kerana kemiskinan boleh membawa sesuatu kaum, masyarakat dan juga negara menuju kearah kekufuran itu

Itulah sebabnya di dalam islam dan juga di dalam agama-agama lain, membentuk pihak yang kurang bernasib baik merupakan satu amalan fardhu kifayah yang amat dirahmati Tuhan. Islam menganjurkan kita membayar zakat dan itu merupakan salah satu dari rukun agama kita itu. Zakat itu disempurnakan untuk membela umat yang miskin dan tidak bernasib baik, malahan itu merupakan tanggungjawab semua samada kerajaan atau individu-individu untuk membantu dan membawa mereka keluar dari cengkaman kemiskinan itu.

Di peringkat negeri dan negara kerajaan diwajibkan untuk mentadbir secara Islam yang mengambil elemen sedekah dan pembayaran zakat itu dengan serius. Adalah sangat berdosa bagi kita untuk membebankan rakyat dengan sengaja walaupun ada jalan untuk mengelakan dari kita membebani mereka. Setiap agama menggalakan kerajaan membela rakyat yang ramai ramai susah ini dan nilai ini bukan sahaja dianuti oleh kerajaan tetapi dipraktikkan di dalam kehidupan seharian dan dijadikan addin oleh individu-individu yang telah berjaya di dalam kehidupan mereka.

Salah seorang yang terkaya di dalam dunia ini, Bill Gates misalnya, diketahui umum yang beliau hanya mengambil 20 peratus dari kekayaannya untuk diri dan keluarga beliau. Selebihnya diberikannya kepada kerja-kerja sosial bagi kepentingan manusia sejagat. Ramai lagi di antara individu-individu kaya-raya di dunia ini membelanjakan kekayaan mereka untuk kepentingan rakyat. Amalan ini merupakan satu amalan yang mempunyai nilai kesyukuran terhadap apa yang telah dianugerahkan Tuhan terhadap mereka.

Tetapi tidak semua kerajaan atau individu yang berbuat perkara mulia seperti ini, malahan mereka melakukan kerja yang nilainya terbalik dari mereka yang disebutkan tadi. Selalunya nilai terbalik ini berluasa di dalam kerajaan-kerajaan dan rakyat di negara-negara membangun dan di dunia ketiga. Sifat tamak dan haloba serta mementingkan diri sendiri di atas kepentingan rakyat yang miskin itu menjadi lumrah. Ianya berlaku sehingga tahap memperdayakan rakyat ramai semata-mata untuk kepentingan segelintiran individu yang menghampiri orang yang berkuasa sahaja.

Kita baru sahaja berhadapan dengan isu kenaikan tariff letrik kerana kerajaan mahu mengurangkan pertambahan peruntukan subsidi. Rakyat bukan membantah kenaikan itu dengan sewenang-wenangnya Rakyat pun berfikir untuk kebaikan kerajaan juga dan itu pun yang selalu dilakukan oleh rakyat selama ini. Tetapi yang rakyat naik marah ialah sikap pemimpin yang bertanggungjawab di atas ketinggian tariff itu dari dahulu lagi.

Di dalam isu kenaikan tariff bekalan letrik ini, ianya di lakukan dengan sengaja oleh kerajaan untuk kepentingan beberapa rakan dan sahabat korporat pemimpin yang berkuasa. Yang tidak disenangi rakyat ialah mereka telah merasa tertipu dengan apa yang berlaku di dalam isi PPA (Power Purchase Agreement) di antara TNB dan syarikat IPP pada tahun 2006 yang lalu sehingga menyebabkan Pengerusi TNB sendiri begitu kecewa dan marah dengan tindakan kerajaan memaksa TNB membeli bekalan tenaga dari IPP dengan harga yang tinggi dari yang sepatutnya. Tan Sri Ani Arope telah meletakan jawatan dan sehingga hari ini beliau merasakan ketidak adilan yang dilakukan oleh EPU di Jabatan Perdana Menteri ketika itu.

Jika TNB mempunyai bekalan tenaga dengan harga .12 sen kenapa EPU memaksa TNB untuk membeli bekalan tenaga itu dengan harga .23 sen dari syarikat kroni pemimpin besar kita itu. Kenapa EPU sanggup memaksa TNB membeli dengan harga yang begitu tinggi dengan jumlah yang di tentukan oleh EPU samada bekalan itu diguna atau pun tidak. Bukankah ini satu tindakan yang sangat hina dan memalukan negara?

Bukankah tindakan itu sama seperti syarikat IPP itu merompak segala dana yang ada di dalam TNB itu? Ramai difahamkan yang kebanyakan infrastuktur pembekalan itu telah disiapkan oleh TNB dari awal lagi. Kenapa begitu zalim dan di manakah letaknya maruah pimpinan yang bersama melakukan kerja yang sangat hina ini.

Bukankah tugas TNB untuk mendapatkan bekalan yang semurah mungkin supaya rakyat tidak dibebankan dengan harga tariff yang tinggi hasil dari kos pembelian yang terlalu mahal dari syarikat kesayangan pucuk pimpinan itu? Apabila isu ini sudah menjadi pengetahuan umum, saya mencadangkan supaya perjanjian di antara TNB dan syarikat IPP terbabit di ‘declassify’kan untuk tatapan rakyat. Ini merupakan satu isu yang sangat serius dan ini bukannya isu kecil-kecilan. Ini adalah rompakan yang lebih merbahaya dari rompakan bersenjata.

Menteri yang bertanggungjawab terhadap tenaga ini telah menyatakan yang perjanjian itu tidak boleh di paparkan kepada pengetahuan umum kerana perjanjian ini adalah ‘private agreement’ di antara TNB dan syarikat IPP itu. Saya ingin bertanya kepada Peter Chin, kalau kerajaan tidak boleh melakukannya siapa yang boleh? Bukankah TNB itu kepunyaan rakyat dan kerajaan yang di berikan mandat oleh rakyat?

Bagi saya ini merupakan jawapan yang tidak bertanggungjawab dan ianya menampakan dengan jelas yang perjanjian itu mempunyai elemen ‘hanky-panky’ yang tidak mungkin diampunkan rakyat jika mereka mengetahui perkara yang sebenarnya. Dr Mahathir wajar menghadap rakyat untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan orang ramai kerana beliau merupan PM semasa itu dan jabatan EPU yang memaksa TNB menerima kandungan perjanjian itu terletak di bawah dagu beliau.

Alang-alang sudah menyebut isu ini, kita wajar bertanya pula bagaimana dengan perjanjian konsessi-konsessi lebuhraya yang juga merupakan bebanan terhadap rakyat? Hanya kerajaan sahaja yang boleh untuk melakukan ‘declassification’ ini. Untuk mengelakan kerajaan ini diragui dengan lebih teruk lagi saya mencadangkan supaya pemimpin yang bertanggungjawab itu menjawabnya secara terbuka kepada khalayak ramai.

Dr Mahathir mesti menjawab kenapa pilih untuk membeli tenaga dengan harga .23 sen/pKh sedangkan ada pihak yang berkemampuan untuk menjualnya kepada TNB dengan harga .12 sen/pKh. Dr Mahathir juga perlu menjawab kenapa TNB dimestikan membeli tenaga itu dengan jumlah yang di tentukan samada tenaga itu diperlukan atau pun tidak?

Semuanya ini melibatkan untung nasib dan masa depan rakyat. Setelah diberikan mandat untuk berkuasa sebegitu lama, kenapa pimpinan tidak mensyukuri mandat yang telah diberikan rakyat selama ini?

Kita jangan miskinkan rakyat dengan berbagai-bagai bebanan kerana kemiskinan itu akan membawa kekufuran. Itu bukan sesiapa yang berkata,: itu adalah apa yang nyata dan jelas di sebut oleh agama suci kita.

http://aspanaliasnet.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.