Thursday, May 26, 2011

Mahasiswa kuasa penentu PRU 13 - YB DRS. KHALIL IDHAM LIM (ADUN PAS PERAK)

Gerakan mahasiswa adalah suatu kuasa yang mesti diberikan perhatian dan diambil perhitungan. Dalam lipatan sejarah universiti, masyarakat dan negara, sama ada dilihat secara universal atau secara perbandingan, misalnya, antara Asia dengan benua-benua lain, atau antara dunia ketiga dengan dunia-dunia lain, atau jika di negara ini, sama ada di peringkat sesebuah universiti atau di peringkat nasional, gerakan mahasiswa punya sejarahnya yang tersendiri.

Kadang-kadang ia diakui dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada sejarah universiti, masyarakat dan negaranya, manakala kadang-kadang pula ia hanya tercatat sebagai sejarah di kalangan aktivis dan pendokongnya sahaja. Jika ia diakui dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada sejarah universiti, masyarakat dan negaranya, kadang-kadang ia mendapat penafsiran yang baik, manakala kadang-kadang ia mendapat penafsiran yang kurang baik.

Walaupun apapun pengakuan, pengiktirafan dan penafsiran yang diberikan terhadap gerakan mahasiswa, hakikatnya ialah ia adalah satu proses yang amat dinamik dan progresif, sama ada kepada proses pembangunan universiti, masyarakat dan negara, atau sekurang-kurangnya kepada para aktivis dan pendokongnya. Kerana itu, ia perlu dilihat dan dirakam dengan bijaksana. Sebagai sejarah dan penunjuk arah. Bagi gerakan dan pembangunan mahasiswa, universiti, masyarakat dan negara.

Mahasiswa Bangkit

Jika terdapat pendapat yang berbeza tentang tahun permulaan zaman kemuncak gerakan mahasiswa, tetapi, dalam menentukan tahun akhirnya, terdapat pendapat yang sama, iaitu tahun 1974. Walaupun ramai penulis yang menggunakan tahun 1974 dalam tulisan mereka, dan ada juga penulis menggunakan tahun 1971, tetapi tahun 1971 yang digunakan kedua-duanya adalah kerana faktor teknikal.

Pendapat ini turut dikongsi oleh ramai pemerhati gerakan mahasiswa yang lain. Yang menjadikan tahun 1974 adalah tahun akhir zaman kemuncak gerakan mahasiswa ialah kerana setelah peristiwa demonstrasi Baling pada Disember 1974, pindaan telah dibuat terhadap AUKU 1971 pada awal tahun 1975 (dikenali sebagai Pindaan 1975), dan setelah itu, jelas kelihatan berlaku perubahan yang besar dari segi bermulanya zaman kelembapan gerakan mahasiswa.

Bagi pendapat yang mengatakan bahawa tempoh masa dari tahun 1965 hingga tahun 1974 adalah zaman kemuncak gerakan mahasiswa negara, ia diukur dari segi tindakan-tindakan mahasiswa yang bercorak politik. Hal ini termasuklah:

(1) Seminar dan diskusi yang membincangkan soal-soal politik, ekonomi dan sosial di mana mahasiswa berbincang dengan tokoh-tokoh politik dan pensyarah.

(2) Resolusi-resolusi bercorak politik dibentang dan dikeluarkan untuk tatapan umum dan kerajaan.

(3) Penerbitan akhbar, majalah dan risalah atau kenyataan akhbar di mana mahasiswa menyuarakan cita-cita politik mereka.

(4) Demonstrasi di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan ideal perjuangan mereka.

(5) Sesetengah mahasiswa mengambil bahagian dengan memegang jawatan dalam parti-parti politik, seperti Parti Rakyat.

Sama ada ukuran politik yang sedemikian rupa adalah ukuran paling tepat untuk zaman tersebut, dan sama ada pemilihan zaman tersebut itu sendiri adalah pemilihan yang tepat, ia terserah kepada pandangan masing-masing individu. Ini adalah kerana tidak wujud satu kayu ukur, indikator atau kriteria yang saintifik tentang keaktifan, kelembapan atau kemuncak gerakan mahasiswa. Bagi mereka yang mengukurnya dengan ukuran politik, antara hujah utamanya ialah gerakan mahasiswa harus berbeza daripada sekadar penganjuran aktiviti kokurikulum oleh pelajar sekolah menengah tinggi.

Mahasiswa dalam PRU

PRU 13 bakal tiba tidak lama lagi. Bacaan ahli-ahli politik kemungkinan paling awal pada bulan julai ini. Persoalan yang timbul dimana tempat mahasiswa menjelang pilihan raya nanti. Semua sedia maklum bahawa mahasiswa yang dipanggil ‘Kuasa Ketiga’ iaitu pengundi atas pagar yang sangat penting diperhatikan justru golongan ini dilihat memiliki critical thinking yang sangat prihatin terhadap apa yang berlaku di negara sekarang.

Golongan atas pagar ini mungkin tidak menyokong mana-mana parti politik tetapi mereka hanya akan mengundi parti dan calon yang memenuhi cita rasa mereka. Mereka ini melihat isu dan cara mana sesuatu parti yang bertanding itu menangani isu itu. Mereka juga meneliti rekod parti pemerintah dan pembangkang.

Bercakap soal keberanian mahasiswa menyertai pilihan raya umum akan datang. Bagi saya bukan soal bertanding ataupun tidak, berani atau penakut. Tapi yang penting bagaimana kita boleh hadirkan atau berikan calon yang terbaik kepada masyarakat. Jika ada calon yang boleh kita sepakati kebolehannya dalam memimpin, apa salahnya kita serahkan kepada rakyat.

Dan perlu diingat pemimpin bagi masyarakat bukan lagi ruang mahasiswa sahaja. Soal kuliah, soal parlimen, soal kebajikan rakyat, soal mahasiswa dan sebagainya. Mahasiswa perlu lebih matang fikirkan soal ini dan bukan bertindak dengan keberanian dan semangat semata-mata tanpa membuat persediaan yang rapi.

Golongan muda dan ‘Kuasa Ketiga’ ini kemungkinan menjadi kuasa penentu akan kemenangan calon-calon dalam PRU Ke-13 nanti. Mahasiswa sedang memerhatikan sungguh- sungguh perjalanan Pakatan Rakyat dan Umno/BN, terutama para calon yang akan dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Mahasiswa dan anak muda hanya akan memberikan undi kepada calon yang mereka lihat berwibawa, calon yang berilmu, mesra rakyat dan berfikiran terbuka serta calon yang tidak pelahap dengan pelbagai habuan atau boleh dibeli dengan wang dan ganjaran lain.

Boleh disimpulkan bahawa golongan generasi muda dan golongan mahasiswa ini adalah golongan yang sangat kritikal. Jangan ada siapa yang berfikir bahawa mahasiswa adalah ‘pengundi mainoriti’, tidak penting dan bukan penentu keputusan pilihan raya nanti.

Mohd Yusof Hadhari adalah Ketua Penerangan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.