Thursday, May 26, 2011

Jangan masuk campur urusan JPA, Perkasa beri MCA dan MIC amaran ! (VIDEO DIDALAM)

(The Malaysian Insider) - Perkasa hari ini memberi amaran kepada MCA dan MIC agar tidak campur tangan dalam isu pemberian biasiswa kepada kesemua pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM untuk belajar di luar negara.

Justeru tegas Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali (gambar), pihaknya mendesak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar tidak tunduk kepada tekanan yang dibuat parti-parti politik termasuk dari Barisan Nasional (BN).


“Perkasa mendesak agar JPA tidak tunduk kepada tekanan mana-mana parti politik dalam soal urusan pemberian biasiswa.




“Ia urusan kerajaan dan MCA atau MIC jangan ganggu urusan JPA, Umno dan Pemuda Umno tidak ganggu JPA walaupun ramai Bumiputera tidak dapat biasiswa JPA dan pelajar Bumiputera yang tidak diberi biasiswa belajar di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.


Kata Ahli Parlimen Masir Mas itu, sepatutnya semua pihak tidak memperbesarkan isu pembahagian biasiswa.


Beliau berkata pelajar-pelajar terbabit  boleh meneruskan pengajian masing-masing dalam negara memandangkan semua kursus ada ditawarkan di pusat-pusat pengajian tinggi.


“Sepatutnya semua pihak bersyukur, belajar di mana-mana tidak menjadi soal apatah lagi belajar dalam negara sendiri, di mana-mana sudah banyak IPTA dan semua kursus ada ditawarkan.


“Ia juga menyelamatkan aliran wang keluar negara malah kosnya lebih tinggi. Membiayai seorang pelajar keluar negara boleh menampung dua hingga tiga pelajar belajar dalam negara,” katanya.


Kata Ibrahim, kuota pembahagian biasiswa yang dilaksanakan kerajaan sekarang menyebabkan Bumiputera terjejas.

The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.