Friday, May 27, 2011

Hapus Kuota Kaum, Pelajar Aset Negara - Ditulis oleh : Hadri Yaziz


PETALING JAYA: Mantan Timbalan Pengarah Pendidikan Bahagian Sekolah, Abbas Awang menyifatkan kepincangan pengurusan kewangan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) sebagai faktor pengagihan biasiswa gagal diperuntukkan kepada semua pelajar cemerlang di negara ini.

Jelas beliau, kepentingan pembangunan modal insan dan pendidikan bukan menjadi keutamaan kerajaan kini, justeru akan merisikokan pencapaian pelajar-pelajar generasi seterusnya.

"Kalau dikira berapa banyak lagi wang yang dibazir? Mengapa persoalan biasiswa dan pembiayaan pelajar ini menjadi masalah besar?

"Pokoknya yang kita bincang sekarang adalah fokus. Tapi kerajaan hanya fokus kepada pembangunan, projek yang menjaga kepentingan kroni dan parti. Fokus kepada murid (seharusnya) menjadi isu kerana mereka yang akan menentukan generasi akan datang. Lemahnya murid sekarang maka lemah murid generasi akan datang," ujar beliau.

Sehubungan dengan itu, Abbas mendesak kerajaan memansuhkan kuota mengikut kaum kerana mendapati kekangan itu bersifat dwi standard.
 
 
 
 
 
 

Sedangkan katanya kesemua pelajar cemerlang yang dihantar ke luar negara mempunyai liabiliti penting sebagai penyumbang pembangunan negara.

Beliau menyeru agar kerajaan melihat saranan itu untuk kesan jangka panjang di mana tumpuan harus diberikan dalam usaha menarik kembali pelajar-pelajar ini untuk pulang.  

"Sepatutnya kita tidak kira bangsa sebab dia bangsa apa pun selepas balik (belajar) dari luar negeri, mereka akan memberi aset kepada negara," jelasnya lagi.Persatuan Pelajar India Malaysia (Misa) semalam menggesa kerajaan agar memansuhkan kuota kaum selain menyatakan kesemua pelajar yang memperoleh 8A+ sewajarnya diberi geran pengajian luar negara.

Dalam pada itu Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) turut memberi amaran kepada komponen MCA dan MIC agar tidak mencampuri isu pemberian biasiswa kepada pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM untuk ke luar negara.

Presidennya Ibrahim Ali berkata, walaupun ramai Bumiputera tidak mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan pelajar Bumiputera yang tidak diberi biasiswa belajar di luar negara, Umno tidak pernah mempersoalkan peruntukan tersebut.

Putrajaya pada masa yang sama mengeluarkan kenyataan tidak pernah menjanjikan biasiswa kepada kesemua pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk belajar di luar negara.

TVS News

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.