Friday, April 1, 2011

Nazri: TI-M perlu diam, usah masuk campur - Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani


KUALA LUMPUR — Datuk Seri Nazri Aziz meminta Transparency International Malaysia (TI-M) agar “diam” dan “tidak masuk campur” selepas badan pemantau itu mengkritik “pemberian” kepada pengundi ketika pilihan raya sambil menyifatkannya sebagai satu bentuk rasuah.

Semalam, TI-M mengkritik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan berkata ia tidak boleh “diharap” sepenuhnya dalam memastikan proses pilihan raya negara ini berjalan dengan bebas dan adil.

Nazri juga merujuk kepada kes mahkamah pada 1981 yang memutuskan bukan menjadi satu kesalahan jika kerajaan yang memerintah mengumumkan peruntukan tidak kira sama ada ketika pilihan raya ataupun sebaliknya.

“Negara ini mempunyai sistem kehakiman dan mahkamah, kita telah memutuskan bahawa ia bukan satu bentuk rasuah.

“Saya tidak peduli tentang apa yang mereka katakan, saya hanya merujuk kepada keputusan mahkamah paling tinggi bahawa ia bukan satu bentuk sogokan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Kes itu melibatkan pilihan raya kecil Pengkalan Kota

Ia dibawa ketika itu menteri kewangan adalah Tengku Razaleigh Hamzah, yang mengatakan beliau secara peribadi mengumumkan akan memberikan lebih banyak peruntukan sekiranya Barisan Nasional (BN) menang.

Nazri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, juga memberitahu Parlimen bahawa “pemberian” itu adalah satu bentuk bantuan kewangan kepada pengundi semasa pilihan raya dan bukan rasuah kerana ia adalah janji kerajaan pusat “memenuhi janji-janjinya” dan manisfesto.

Nazri terkejut apabila ada pihak menuduh SPR gagal menunjukkan mereka “bebas” dalam melaksanakan tugas walaupun ia adalah jaminan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Bagaimana anda akan dapat SPR yang bebas? Dari mana pegawai-pegawai itu datang? Dari syurga? Sistem kita adalah semua pegawai dilantik oleh (Yang di-Pertuan) Agong dengan nasihat perdana menteri.

“Melainkan Transparency International mempunyai satu sistem di mana orang ramai boleh turun dari syurga untuk menjadi pegawai, itu saya akan terima. Jika tidak, lebih baik diam dan jangan masuk campur,” kata Nazri.

“Bagaimana pembangkang menang empat negeri? Bagaimana mereka menang 82 kerusi (Parlimen) pada 2008? Adakah maksud anda mereka menang dengan adil tetapi kerusi yang dimenangi BN pula tidak. Adakah ini maksud anda? Beritahu mereka agar jangan masuk campur,” katanya.

Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat dengan konsinten menuduh SPR tidak neutral semasa pilihan raya kecil, mengakibatkan banyak aduan dikemukakan kepada badan itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.