Sunday, February 6, 2011

Rais Yatim dikecam AMK Pulau Pinang ??

 

PENANTI – Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang (AMKPP), semalam, mengecam tindakan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menyaman blogger, Amizudin Ahmat daripada terus menerbitkan perkataan berunsur fitnah terhadap beliau menerusi blognya, sharpshooterblogger.blogspot.com.

Ketuanya, Amir Mohd Ghazali berkata, mengapa Amizudin yang perlu disaman dan bukannya Datuk Ahirudin Attan atau Rocky's Bru kerana beliau yang mula mendedahkan isu berkenaan melalui tulisannya di blog miliknya.


Menurutnya, ia disusuli pula dengan artikel yang menyokong tindakan Ahirudin oleh beberapa blog lain seperti BigDogDotCom selang beberapa hari selepas artikel berkenaan disiarkan.

“Jadi, mengapa Amizudin yang dikenakan tindakan mahkamah dan bukannya Ahiruddin sedangkan yang memulakan isu ini adalah Ahiruddin. Adakah ia sebagai petanda untuk menakut-nakutkan blogger PR dari membangkitkan artikel berhubung isu melibatkan pemimpin UMNO?,” katanya pada satu sidang media yang diadakan di Yayasan Aman, di sini.

Hadir sama, Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang (AMKPP), Syed Mikael Rizal Aidid.

Amir berkata, tindakan Rais kali ini jauh berbeza dengan tindakannya sebelum ini yang pernah menyaman Ahiruddin selepas beliau menyiarkan satu artikel berkaitan pemberian tender bernilai RM1 bilion kepada anaknya yang kemudiannya dinafikan dan dilabel sebagai fitnah.

Katanya, mengapa tidak tindakan sama sekali lagi diambil ke atas Ahirudin selepas tersiarnya artikel di Rocky's Bru, sebaliknya Sharpshooter yang mencedok artikel itu dari Harakahdaily dikenakan tindakan.

Terdahulu, pada 2 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan injunksi kepada Datuk Seri Dr Rais Yatim bagi menghalang blogger Amizudin Ahmat daripada terus menerbitkan dakwaan bahawa menteri itu merogol seorang pembantu rumahnya dari Indonesia.

Hakim Zabariah Mohd Yusof membenarkan permohonan ex-parte untuk menghalang Amizudin daripada menerbitkan perkataan berunsur fitnah terhadap Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu menerusi blognya, sharpshooterblogger.blogspot.com.

Hakim menetapkan 11 Februari ini untuk sebutan semula kes dan afidavit difailkan oleh kedua-dua pihak sebelum kes berkenaan didengar pada 22 Februari ini.

sumber: Anak Sungei Derhaka

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.