Saturday, January 22, 2011

Ramainya LUNCAI di Selangor... haha... Apabila KSN diluncaikan — Subky Latif

Langkah kerajaan Selangor mempertikai perlantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dikira oleh pentadbiran tinggi pusat sebagai mempertikai dan memperleceh penjawat awam atau PTD seluruhnya.

Menteri-menteri beranggapan begitu. Maka begitulah juga pendirian sekalian penyerokong Umno seluruhnya.


Bahkan itulah reaksi awal Istana Selangor atas reaksi awal kerajaan Selangor atas perlantikan itu. Kira-kira reaksi istana itu ialah jangan pertikai perlantikan Khusrin kerana ia boleh merendahkan penjawat awam.


Kesimpulan dari keadaan itu telah menjadikan semua pihak di Selangor — dari istana ke gobok usang, dari kerajaan dan pejabat Menteri Besar hingga ke rakyat jelata telah diluncai oleh keadaan.


Siapa yang menjadikan semuanya luncai?


Mari kembali kepada pemikiran Perdana Menteri Dr. Mahathir ketika berlaku kejadian 11 September ke atas menara kembar Pusat Dagangan Dunia di New York. Presiden George W. Bush mengecam ia angkara keganasan Islam. Reaksi Dr. Mahathir ialah jangan mudah menyalahkan keganasan tetapi salahkan dulu punca keganasan. Apa puncanya? Carilah punca itu.


Beramok Bush dan Dr. Mahathir atas persoalan itu. Dan rasionalnya ada di pihak Dr. Mahathir.


Maka apabila penjawat awam di Selangor dan sekaliannya telah diluncai, apa puncanya dan siapa puncanya?


Puncanya ialah Ketua Setiausaha Negara. KSN telah jadi luncai yang pertama. Dia diluncaikan oleh penguasanya iaitu Perdana Menteri Najib. Perdana Menteri itu ada politiknya. Justeru politiknya dia meluncai KSN dan seluruh sistem pentadbiran awam 1Malaysia.


Apabila merojok kepada pentadbiran awam 1Malaysia, maka ia satu pentadbiran luncai. Tindakan KSN dalam melaksanakan kuasanya mengikut undang-undang yang ada, telah meluncaikan perlantikan Khusrin. Ia dibuat mengikut undang-undang tetapi tindakannya tidak bijaksana. Undang-undang adalah satu hal tetapi kebijaksanaan adalah hal yang lain.


Gara-gara mengikut undang-undang semata-mata tetapi mengenepikan aspek bijaksana menjadikan SUK Selangor yang baru Luncai yang kedua.


Khusrin diluncaikan oleh Luncai pertama iaitu KSN. Reaksi kerajaan Selangor yang dikira meluncaikan penjawat awam telah menambahkan suasana luncai Khusrin.


Gara-gara reaksi kerajaan Selangor itu telah terbongkar Khusrin bukanlah pegawai PTD jusa yang ada kelas. Kelas jusa Khusrin belum layak jadi SUK. SUK jusa kelas tinggi.


Bukan senang untuk jadi jusa dari satu kelas ke satu kelas. Mesti melalui ujian. Mesti lulus ujian dulu.


Ramai lagi penjawat awam di Selangor yang sudah ada kelayakan jusa bagi menjadi calon SUK itu. Tetapi mereka tidak dipilih oleh KSN. KSN memilih pegawai jusa yang lebih rendah. Ini bererti penjawat awam seluruhnya, bukan sekadar di Selangor saja, telah diluncaikan oleh pentadiran luncai itu.


Di mana letak moral jusa kelas tinggi hendak duduk di bawah ketua jusa kelas rendah? Tidakkah mereka sudah dikartunkan iaitu sudah diluncaikan?


Inilah yang melambatkan Presiden Jerman dulu dalam melantik Hitler untuk menjadi Censelor. Hitler adalah bekas koperal tentera, sedangkan Presiden itu adalah pesara Fieldmarshal. Bagaimana Presiden yang berpangkat panglima hendak mendengar nasihat Censelor yang hanya seorang koperal?


Oleh kerana politik itu begitu, panglima terpaksa menerima kperal menjadi penasihatnya iaitu ketua kerajaannya. Censelor Jerman itu ada kedudukan politik. SUK Selangor bukan jawatan politik. Ia jawatan awam.


Hanya dalam suasana luncai saja seorang penjawat awam boleh dilantik menjadi SUK seperti melantik penjawat politik.


Bukan sekadar maruah Khusrin dipersoal dan direndahkan, tetapi maruah penjawat awam yang layak tetapi diketepi juga ikut terleceh. Semua menerima malu. Bukan Khusrin saja malu, habis semua orang lain malu sama. Ada yang malu kerana tidak terpilih dan ada yang malu kerana status jusya telah diluncaikan.


Apabila marauh sudah tercemar, bayangkan bagaimana anak Khusrin hendak berdepan dengan kawan-kawannya? Kawan-kawannya tahu, inilah anak orang yang perlantikannya telah dipertikai. Isterinya yang hendak menghadiri majlis rasmi yang dihadiri sama oleh isteri lain. Mereka akan merenung wajah isteri yang suaminya dikata begitu dan begini.


Apa masing-masing hendak kata apabila melihat Raja yang terperangkap dalam politik luncai itu?


Seronokkah KSN dengan tindakannya yang mengikut undang-undang tetapi tidak bijaksana? Dia sepatutnya bersara dalam suasana aman tetapi menjelang persaraannya dia menempuh alam luncai. Itulah pentadbiran 1 Malaysia. — 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.