JOHOR BAHRU 30 Dis. - Sepasang suami isteri pasti mengalami detik-detik menakutkan apabila dipukul empat lelaki termasuk salah seorang daripadanya dipercayai pegawai polis sehingga patah gigi mereka hanya kerana keretanya menghalang kenderaan lain.
Kejadian berlaku pukul 8.45 malam ketika mangsa, Tan Khoon Hor, 35, berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) Tapah, Perak, Ahad lalu, untuk ke tandas.
Katanya, ketika insiden dia baru pulang bercuti dari Cameron Highlands dan sedang menuju ke Johor Bahru.
Tambahnya, semasa tiba di R&R terbabit, dia memberhentikan keretanya di belakang kereta kedua-dua lelaki itu kerana tiada tempat letak kenderaan yang kosong.
"Namun semasa hendak ke kereta semula, saya lihat mereka menghampiri isteri saya, Lim Chung Keok, 34, dalam keadaan marah-marah.
"Saya enggan bergaduh lalu menolak lelaki itu perlahan tetapi tiba-tiba mereka menumbuk di muka saya sehingga berdarah dan patah dua batang gigi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, lebih buruk apabila Chung Keok pula datang membantu menyebabkan wanita itu pula ditumbuk sehingga terjatuh dan patah enam batang giginya.
Tambahnya, secara tiba-tiba datang dua lagi lelaki yang tidak dikenali lalu turut sama memukulnya.
"Kami lalu melarikan diri untuk membuat laporan polis dan salah seorang daripada dua lelaki itu mengeluarkan kad kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Dia bagaimanapun tidak memakai pakaian seragam. Kami kemudian ke Balai Polis Tapah untuk membuat laporan seterusnya ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan," katanya.
Katanya, semasa membuat laporan, dia dimaklumkan pegawai polis yang memukulnya itu juga membuat laporan mengenai kejadian sama di R&R Tapah.
"Kami menyatakan kepada salah seorang pegawai di balai berkenaan untuk mencari peguam tetapi dia meminta saya tidak berbuat demikian kerana akan membantu menyelesaikan kes itu," katanya.
Khoon Hor menyifatkan tindakan mereka yang memukulnya sebagai melampaui batas dan meminta agar perkara itu disiasat secara menyeluruh.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Supritendan Roslan Bek Ahmad ketika dihubungi hari ini mengesahkan telah menerima laporan tersebut dan pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian tersebut.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan dengan sengaja yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. RUANG IKLAN
Diposting oleh BRIGED MP SEGAMBUT at 16:43
Read more: http://suwaritimur.blogspot.com/2010/12/lago-polis-mengganas-suami-isteri-patah.html#ixzz19gEqbpZ7