PKR mahu ke Putrajaya. Mahu mengambil alih kerajaan Malaysia. Mahu Anwar Ibrahim ditabalkan menjadi Perdana Menteri Malaysia. Semua mahu dilakukan dan angan-angan ini menjadi-jadi setelah kejayaan mereka pada PRU 12. Setelah apa yang dikatakan Tsunami politik BN berlaku pada PRU 12, Pakatan Rakyat merasakan jalan mereka ke Putrajaya luas terbuka. Mereka mampu dan Pakatan Rakyat terus berusaha untuk menambat hati rakyat untuk tujuan itu. Pengiraannya mudah, dapatkan sejumlah undi Melayu, dapatkan majoriti undi Cina, India serta kaum minoriti lain maka jalan ke Putrajaya akan terbuka luas. Di samping itu hentam kepimpinan UMNO – hancurkan kredibiliti MCA dan MIC serta komponen lain. Langkah sudah seakan berjaya. Tunjukkan korupsi, campur tangan kerajaan BN/UMNO dalam sistem undang-undang, tunjukkan keburukan jabatan kehakiman dan polis, nampakkan ilusi mainan SPRM maka rakyat akan percaya bahawa kerajaan yang ada ini perlu ditukarkan. Mereka memonopoli semua media alternatif – mereka sudah berjaya membuat tapak selama hampir 10 tahun dan ini akan memberi mereka lebih peluang. Kerajaan mahukan rakyat celik IT, memberi ruangan Internet dan komputer bagi anak-anak kita tetapi ruangan ini di culik oleh pembangkang dengan memenuhkan ruangan siber dengan serangan media ke atas kerajaan. Namun dalam keghairahan ini, dalam usaha memburukkan sistem demokrasi yang diamalkan oleh kerajaan, PKR di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim semakin tertekan. Ahli sendiri bangkit menunjukkan bahawa demokrasi yang konon mahu dibawa oleh PKR – kepimpinan parti mereka sumbang. PKR terus dilanda realiti politik, lantas hari ini berdepan dengan masalah. Anwar Ibrahim mahu menjadi pencatur – dalam pemilihan. Azmin Ali mahu diangkat – bukan diangkat oleh ahli tetapi di manipulasi oleh kepimpinan tertinggi – khususnya Anwar Ibrahim untuk di tabal menjadi bakal peneraju mutlak PKR. Akhirnya demokrasi yang dilaungkan adalah demokrasi yang juga pincang dan kaku. Anwar patut sedar bahawa – jalan ke Putrajaya bukan jalan pintas. Rakyat memerhati sama ada mahu memberi ruangan terus kepada PKR atau mula melihat betapa UMNO masih relevan sungguhpun perlu transformasi dan reformasi dalam banyak perkara. Anwar perlu sedar bahawa kehadiran ahli keluar mengundi juga adalah petunjuk bahawa ahli mereka bukan keseluruhan berjuang untuk politik. Golongan reformasi mahukan polisi yang lebih sesuai untuk rakyat, kesejahteraan dalam kehidupan harian, pengurangan kos dan kedudukan perekonomian yang lebih stabil buat mereka. PKR dan angkatannya dilihat sebelum ini boleh memperjuangkan hak rakyat. Akhirnya apa yang kita lihat adalah, sokongan ke atas PRK dan sekutunya adalah untuk hanya memberi signal perubahan untuk dilakukan oleh UMNO dan BN bukan untuk PKR menerajui kerajaan negara. Ahli yang tidak mengundi dalam PKR memberi gambaran bahawa mereka bukan berpolitik – bukan politikus. Justeru itu, sekiranya kita dalam UMNO melihat bahawa ahli PKR mahukan perubahan dalam dasar-dasar kerajaan – mahukan perubahan sistem maka kita sepatutnya mengkaji dan melaksanakan harapan rakyat itu bagi memintas ilusi yang dibawa oleh Pakatan Rakyat. Kita perlu menilai apa yang menjadikan rakyat terpesona dengan manifesto PR sewaktu PRU 12 dan melakukan apa yang perlu untuk itu dan membiarkan PKR sendiri terjun dengan labu-labunya. UMNO-REFORM. |
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.