SHAH ALAM, 29 NOV - Aktivis bagi hak asasi dan pembahruan kehakiman, Lawyers For Liberty mendedahkan jumlah individu yang ditembak mati oleh polis meningkat 17 kali ganda sejak 2001.
Badan tersebut berkata, jumlah statistik jauh berbeza dengan kadar yang dicatatkan pada 2001 lalu yang hanya mencatatkan lima kes sahaja.
Dalam kenyataan yang disiarkan, badan tersebut menyifatkan peningkatan mendadak kes individu yang ditembak mati oleh polis tidak boleh diterima dan mempertikaikan samada tindakan tersebut wajar.
Kesimpulan itu dibuat berdasarkan kenyataan seorang pegawai polis dari ibupejabat polis persekutuan Bukit Aman dalam kes perbicaraan P Uthayakumar hari ini.
Pegawai terbabit mendedahkan 82 kes individu yang ditembak mati oleh polis pada 2008 manakal 88 lagi berlaku pada 2009.
“Dengan statistik yang mengejutkan ini, kami hanya dapat memberi kesimpulan yang tidak dinafikan bahawa polis begitu mudah melepaskan tembakan dan melepaskan tembakan sebaik sahaja terdapat peluang yang menunjukkan sesuatu tindakan menyalahi undang-undang berlaku.
Mangsa dikatakan cuba melarikan diri dari polis atau anggota polis preman walaupun melakukan kesalahan kecil ataupun mereka dikatakan cuba 'menyerang' dan polis terpaksa mengambil tindakan untuk mempertahankan diri walaupun tiada bukti menyokong dakwaan mereka," kata kenyataan badan tersebut lagi.
Menurut badan itu lagi, apa yang menyedihkan, pegawai kanan polis ataupun pegawai kerajaan secara melulu mempertahankan tindakan pasukan polis dan enggan mengkaji semula kemungkinan anggota polis terbabit bertindak secara melulu dan tergesa-gesa melepaskan tembakan menyebabkan kecederaan atau kematian.
Sambil memberi contoh, kejadian tiga remaja ditembak mati di Shah Alam baru-baru ini, kumpulan berkenaan berkata pemangku ketua polis Selangor pada ketika itu, A Thaiveegan menuduh mereka adalah penjenayah tegar dan sebahagian daripada kumpulan penjenayah “Geng Minyak”.
“Polis mendakwa suspek cuba menyerang polis menggunakan parang dan polis terpaksa melepaskan tembakan sebagai mempertahankan diri namun adalah kemungkinan besar mereka ditembak mati secara kejam oleh polis," kata kenyataan itu lagi.
Kumpulan tersebut merujuk kejadian tiga remaja, Mohd Shamil Hafiz Shafie, 16, Mohd Khairul Nizam Tuah, 20, dan Mohd Hanafi Omar, 22, ditembak mati oleh polis di Shah Alam pada 20 November lalu.
Keluarga mangsa mendakwa kesan tembakan pada tubuh mangsa menunjukkan mereka ditembak sepert sengaja dihukum bunuh.
Kumpulan tersebut juga meminta penjelasan mengenai kemajuan oleh sebuah panel yang dibentuk oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN)mengenai hasil penemuan dari siasatan kes kematian remaja, Aminulrasyid Amzah, 14 tahun pada 26 April lalu.
Menurut kumpulan berkenaan, panel tersebut telah memberikan beberapa syor dan cadangan kepada Ketua Polis Negara ketiuka itu, namun sehinggga kini tiada sebarang tindakan diambil.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.