KEPALA BATAS, : Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya mahu menyelamatkan kedudukan mereka dan tidak langsung memikirkan masalah rakyat di negara ini. Katanya, walaupun cuba menonjolkan Malaysia sebuah negara hebat di mata dunia, namun hakikatnya rakyat negara ini masih dibelenggu segala permasalahan. "BN hanya berfikir bagaimana nak selamatkan BN pada pilihanraya umum akan datang tidak pun merencanakan berbagai perancangan menghilangkan tangapan umum tentang Malaysia yang dicintai," tegasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada ceramah anjuran PAS Cawangan Permatang Keriang dengan kerjasama Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Aishah, Penaga, Kepala Batas semalam. Menurut beliau lagi, sebab itu BN memperkenalkan ahli gabungan dan bersekutu, semata-mata mahu menarik golongan muda yang masih tidak menyokong BN kerana marahkan Umno, MIC, MCA, Gerakan dan sebagainya. "Apa guna sokong cara yang BN sedang laksanakan sekarang kerana menyokong BN bererti tetap bersekongkol dengan Umno dan komponen lain yang nyata menyelewengkan wang rakyat," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena. Kata beliau, cara demikian hanya mahu memastikan BN terus kerana yang penting bagi mereka adalah memenuhi kocek sendiri dan kroni terdekat. Perdana Menteri sepatutnya mengenal pasti kelemahan pentadbiran sendiri dan memperbetulkanya agar mampu memperkasakan negara kembali. Negara pada waktu ini sedang berdepan kehilangan kepercayaan rakyat kerana hancurnya demokrasi, sistem kehakiman, gejala rasuah, gejala sosial berterusan. "Nak ubah macam mana, mereka tetap naik perahu yang sama hanya pendayung sahaja yang bertukar tangan. Tambahan lagi kini perahu yang dinaiki bocor sana sini pasti keadaanya kelam kabut menyalahkan orang itu dan ini bahkan ada yang telah terjun ke laut bila mendapat tahu perahu nak tengelam," jelas beliau. Berceramah sama dalam majlis berkenaan ialah Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh dan Yang Dipertua PAS Kepala Batas, Rosidi Husein. |
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.