Sunday, October 3, 2010

UMNO CADANG NAK CEKIK RAKYAT KEMBALI?

Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) dijangka mencadangkan pengurangan subsidi dengan pelbagai alasan manakala pimpinan Pakatan Rakyat bersedia untuk membangkang demi mengurangkan beban kehidupan rakyat

Menjangka sidang Parlimen kali ini lebih hangat, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad percaya pimpinan Umno-BN akan sedaya-upaya cuba meluluskan bajet 2011 semata-mata untuk menunjukkan perancangan mereka tepat.

Mengakui suasana ekonomi semasa tidak begitu menggalakkan tetapi Pakatan Rakyat berpendirian usaha memperkukuh ekonomi harus bermula melalui pengurangan ketirisan dan kebocoran.

“Jika ketirisan dan kebocoran dikurang dan dihapus, wang rakyat dapat diselamatkan untuk menampung subsidi,” kata Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor itu ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Pas Shah Alam di Seksyen 24 di sini, petang tadi,

Beliau berkata demikian apabila mengulas sidang Parlimen yang bakal bermula Oktober ini dan menjangka perdebatan hangat antara pimpinan Pakatan Rakyat dan Umno-BN khususnya isu pembentangan Belanjawan 2011.

"Selalunya Dewan Rakyat mengambil dua ke tiga minggu untuk membahaskan perincian dalam bajet. Kita akan melihat debat yang lebih hangat kerana Umno-BN akan mencadangkan Model Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Malaysia Ke-10," katanya.

Khalid percaya kerajaan Umno BN akan cuba menutup kelemahan pentadbiran mereka dengan menggalakkan rakyat berbelanja lebih bagi memberi gambaran positif mengenai keadaan ekonomi negara.

"Tetapi, kita mempunyai pandangan berbeza dan mahu menyelamatkan wang rakyat daripada dibazirkan maka kita akan membahas agar tiada pembaziran," katanya. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.