Sunday, October 31, 2010

Samy Vellu: Umno kalah di 70 kerusi jika ingat bukan Melayu tak perlu - Dah tak laku baru nak cakap betoi !


SUNGAI SIPUT— Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu mengingatkan Umno — parti dominan dalam Barisan Nasional (BN) — tidak boleh menang di hampir 70 kerusi Parlimen tanpa sokongan pengundi bukan Melayu pada pilihan raya umum ke-13.

Sehubungan itu beliau menegaskan, pemangku ketua Umno Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani yang mengatakan partinya tidak memerlukan sokongan bukan Melayu sebagai tindakan tidak sensitif dengan senario politik semasa.

Samy Vellu (gambar) merujuk kepada prestasi BN yang gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Parlimen pada Mac 2008.

Kata Samy Vellu, pemimpin Umno itu pada hakikatnya tidak harus jadi ahli politik sama sekali.

“Bagaimana dia boleh bercakap yang Umno tidak memerlukan sokongan orang Cina dan India?” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

“Tanpa sokongan orang Cina dan India, BN menang di hampir 70 kerusi,” kata bekas Ahli Parlimen Sungai Siput yang pernah menyebut beliau menang di kerusi itu pada 1990 kerana sokongan pengundi Melayu.

Sebaliknya pemimpin veteran ini yang menerajui MIC sejak tiga dekad lalu juga menegaskan, undi orang India sangat penting dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam ucapan pada satu majlis tertutup seperti yang tersiar di You Tube baru-baru ini, Johari didakwa berkata Umno Titiwangsa tidak memerlukan undi kaum Cina dan India jika mendapat 70 peratus pengundi Melayu.

Sebelum ini, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek juga meminta pemimpin Umno Titiwangsa itu agar bersara dari politik.

Beberapa pemimpin Umno khususnya dari Wilayah Persekutuan juga melihat pandangan Johari itu boleh menjejaskan sokongan pengundi kaum Cina dan India kepada BN kelak.

Kata mereka ini bermakna di kawasan yang mempunyai pengundi bukan Melayu sekitar 20 hingga 30 peratus, BN sukar untuk menang.

Malah kata mereka bukan semua pengundi Melayu mengundi BN atau Umno kerana undi Melayu telah berpecah kepada tiga iaitu Umno, PAS dan PKR.

Kata Samy Vellu, dalam persekitaran di mana masyarakat India mula kembali kepada BN secara beransur-ansur, jangan memandang rendah keperluan sokongan mereka kepada perikatan tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

“Dia menyebabkan kemudaratan besar ke atas budaya politik baru Perdana Menteri yang mahu menyatukan kesemua kaum bersama BN.

“Kita tidak memerlukan ahli-ahli politik macam ini yang menganggap bahawa BN boleh menang dengan hanya pengundi Melayu,” kata Samy Vellu sambil menambah, beliau terkejut untuk mengetahui pemimpin dalam BN sanggup bercakap demikian.

Titiwangsa, majoritinya pengundi Melayu, salah satu bahagian Parlimen di Wilayah Persekutuan yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dua tahun lalu.- MI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.