Bandar Baru Bangi - 25 Syawal = 04 Oktober (Isnin):
Masjid-masjid dan surau-surau di DUN Bangi menafikan menerima bantuan RM1,000 bagi masjid dan RM500 bagi surau bagi Ramadhan 2010 baru-baru ini. Penafian ini timbul berikut dari tersiarnya berita dalam akhbar Sinar Harian pada hari ini :
``109 masjid, surau terima sumbangan``
Kenyataan selanjutnya:
``Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan kewangan kira-kira RM57,500 bagi aktiviti moreh di 109 masjid dan surau sekitar kawasan Dewan Undangan Bangi sepanjang Ramadan tahun ini. Penyelaras Dewan Undangan Negeri Bangi, Datuk Mohd Fathil Daud berkata, jumlah peruntukan berkenaan meningkat dari tahun sebelumnya memandangkan terdapatnya surau baru yang telah dibina di kawasan perumahan baru.``
(Sinar Harian, Isnin 04 Oktober 2010: S25).
Berikut dari berita itu Setiausaha Masjid Al-Hasanah – Tuan Haji Kamarudin Yusof menghubungi ADUN Bangi menafikan yang pihak Masjid Al-Hasanah menerima bantuan Ramadhan 2010 sebanyak RM1,000 itu.
Berikut dari itu Adun Bangi menghubungi Ustaz Shafie Ngah, Penyelaras Masjid-Surau Adun Bangi yang juga Timbalan YDP Pas Bangi dan juga selaku Ahli MPKj. Beliau telah membuat penyelidikan hingga ke petang ini, setelah sebanyak 3 masjid dan 10 buah surau ditanya, tidak ada yang menerima bantuan Ramadhan 2010 dari Kerajaan Persekutuan itu.
Ternyata dakwaan yang dibuat, kononnya seluruh masjid-surau di DUN Bangi telah menerima bantuan itu, secara terang-terangan adalah palsu ! Orang masuk surau dengan tujuan baik dipertikaikan, sekarang berdusta terang-terangan - mana yang lebih besar kesalahan dan dosa serta lebih patut dipertikaikan ?
Adun Bangi ditanya mengenai dakwaan Penyelaras dari Umno itu. Pada pendapat Adun, sekurang-kurangnya ada dua kemungkinan. Pertama, Dakwaan memberi bantuan itu adalah palsu. Bererti tidak ada peruntukan dikeluarkan bagi semua masjid-surau di DUN Bangi.
Kedua bahawa peruntukan memang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan, tetapi tidak sampai kepada masjid dan surau. Cara sedemikian memang biasa berlaku di kalangan mereka yang tidak amanah dari kalangan pendukung Umno. Kita akan membuat penyelidikan lanjut dan berharap mendapat maklumat lebih banyak dari masjid-surau di DUN Bangi.
Kita menganggap dakwaan yang bersifat palsu itu amat serius. Pihak masjid-surau yang memangnya tidak menerima peruntukan berhak membuat laporan polis berhubung dengan dakwaan palsu ini. Perkara yang serius ini patut dipanjangkan kepada pihak SPRM supaya dakwaan palsu tidak akan terus dilakukan secara sewenang-wenang bagi kepentingan politik murahan, wang rakyat tidak salah digunakan dan rakyat tidak dipermain-main dan diperbodohkan. Mereka yang bersalah perlu dihukum sebagai pengajaran dan penyelewengan dapat disekat dari berterusan.
Terima kasih.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.