Monday, October 4, 2010

Jangan salahkan WARTAWAN - Yang berkuasa adalah EDITOR !!






SIAPA IBRAHIM ALI DALAM UTUSAN MALAYSIA? - Labels: SATIRA POLITIK

Sementara Utusan Malaysia dilihat memiliki "hak istimewa" untuk menyiarkan hujah berbaur perkauman, wartawannya sebaliknya semakin tertekan apabila memperkenalkan diri kepada orang lain. Malah, tekanan ini semakin dirasai selepas tsunami politik dalam Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008.

"Dulu-dulu, tekanan tak banyak tapi akhir-akhir ni terlampau banyak..." kata Hata Wahari (gambar kiri), "...misalnya, saya kata saya wartawan daripada Utusan, orang tengok 'this is a racist person'. Itu buat saya rasa tertekan, saya tidak selesa. Dulu, kalau saya kata saya wartawan dari Utusan, orang akan tanya 'apa khabar'; tapi sekarang, (meniru nada yang sarat dengan kesangsian) 'wartawan Utusan ya'?"

Pengamatan Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia baru yang telah 15 tahun berkhidmat sebagai wartawan Utusan Malaysia ini mendapati bahawa orang umum kini melihat wartawan Utusan Malaysia dengan penuh kesangsian, malah seolah-olah cuba mengasingkan diri daripadanya, kerana dianggap "rasis".

"Itu yang buat saya tertekan, tahu? Bukan saya saja, ramai lagi yang rasa tertekan, rasa Utusan ni buruk sangat ke? Tapi masalahnya bukan Utusan yang salah, kenapa nak salahkan kami?" Hata Wahari meluahkan suara yang terpendam dalam hati, dalam satu wawancara bersama MerdekaReview, pada 28 September 2010.

Kegusaran dan ketidakpuasan ini akhirnya berubah menjadi tekad Hata Wahari untuk bertanding sebagai Presiden NUJ. "Saya kempen kat NST (New Straits Times), Sinchew (Daily), Nanyang (Siang Pau) sehingga saya keluarkan manifesto saya dalam bahasa Mandarin."

Beliau menambah, "Memang saya suruh kawan saya tolong translate (terjemahkan), mereka kata, because of you, I tolong translate (keranamu saya tolong terjemahkan). Sekarang (manifesto) itu yang saya cuba nak buat masa kini, nak memulihkan nama baik Utusan, supaya Utusan tidak dilihat sebagai enemy (musuh) tapi sebagai rakan media."

"Selama 15 tahun, saya dah lihat banyak kongkongan, memang saya tidak rasa selesa, mungkin tidak selesa dalam keadaan tekan, saya rasa 'enough is enough-lah' (cukuplah), saya perlu memperjuangkan kebebasan media, walaupun saya rasa mungkin tak tercapai, tapi mesti ada satu permulaan gerakan ke arah itu. Mungkin dalam tempoh masa 13 atau 15 tahun lagi saya akan bekerja, saya akan 'advocate' (mendukung) untuk kebebasan media."

Tekad ini wujud kerana Hata Wahari menyedari realiti yang terpampang di depan mata, "Utusan dilihat sebagai musuh media sekarang. Imej Utusan jatuh dengan buruknya sejak Pilihan Raya Umum 2008. Pemilihan berita tak tepat, tidak ikut peredaran zaman, penumpuan berita pun terlampau ke satu pihak.

Kes liwat DSAI: Fakta bukan ditulis wartawan

Hata Wahari seterusnya mendedahkan bagaimana editor yang menentukan berita muka depan, menonjolkan (highlight) fakta-fakta yang terpilih, dan apa yang ditonjolkan itu bukan ditentukan oleh wartawan. Beliau memberi contoh, "Misalnya dalam kes liwat Dato Seri Anwar Ibrahim, ada fakta tentang apa yang dikatakan oleh Saiful, bukan wartawan yang tulis (maksud: bukan ditentukan wartawan). Itu semua fakta-fakta yang di-highlight (ditonjolkan) oleh editor. Editor yang berkuasa membuat penetapan bagi tajuk di muka depan."

15 tahun Hata Wahari berkhidmat di Utusan Malaysia, bersama tiga orang Ketua Pengarang, Johan Jaafar, Khalid Mohamad dan kini, Aziz Ishak.

"Untuk setiap Ketua Pengarang, terbitan Utusan memang berbezalah. Masa Johan Jaafar, dia menegur kerajaan punya machinery (jentera), mana kerajaan yg tidak sihat, dia akan tegur, akan tegur akan tegur... Itu menyebabkan Utusan punya edaran mencecah 350 ribu sehari, kerana polisinya rakyat suka."

Beliau menjelaskan selanjutnya, "Dia buat untuk rakyat, kaitkan dengan masalah rumah murah, orang kaya tidak berhak dapat rumah tu, dapat rumah juga. Saya ingat lagi kita buat siasatan, laporan, sehingga ada perubahan polisi, sekarang rumah murah khas untuk rakyat miskin, sebab tu wujudnya PPR (Projek Perumahan Rakyat), masa Johan Jaafar baru dilaksanakan."

Hata Wahari menceritakan bagaimana zaman di bawah Khalid Mohamad mengambil dasar untuk memberi layanan yang saksama kepada pembangkang, termasuk membuat liputan di Muktamar PAS.

"Itu polisi-polisi kita, lebih baik kita ambil jalan tengah, kita membuat liputan untuk semua pihak, apa yang patut kita buat. Itu etika kewartawanan, kita melaporkan saja, biar rakyat membuat keputusan apa yang baik untuk mereka."

"Ketua Pengarang sekarang, saya tak boleh cakap banyak. Basically (Pada dasarnya), apa yang saya keluar dalam kenyataan itulah polisi dia. Teguran saya ni bukan nak jatuhkan maruah Ketua Pengarang, saya minta mereka agar mengurangkan sikit genggaman. Kita janganlah extrem sehingga melaporkan segala buruk yang berlaku kepada PR dan segala yang buruk untuk BN tidak dilaporkan, kita ambil jalan tengah-lah," tegasnya.

Liputan semasa zaman reformasi

Namun, bagaimana pula dengan liputan Utusan Malaysia pada akhir tahun 1990-an, yang menyaksikan kebangkitan gerakan Reformasi?

"Tak ada masalah, Utusan masih cover semua benda-benda. Masa tu transaksi (pengalihan) Johan Jaafar kepada Khalid, saya tidak nampak sikap berat sebelah, even Anwar punya kes liwat mahkamah, kita lapor secara verbatim (perkataan demi perkataan). Maksudnya, apa yang dikatakan dalam mahkamah, kita keluarkan, tidak tambah. Sekarang ni...susah sikitlah nak cakap..." Hata Wahari enggan melanjutkan.

"Maksudnya, dia orang tak nak follow (ikut) polisi lepas, kita perlu buat laporan secara telus, tak nak laporkan sesuatu yang kontroversi sangat. Kata-kata yang kasar sangat, yang tidak baik dibaca..."

Berhubung liputan berita kes liwat yang sedang dibicarakan sekarang, Hata berkata, "Kita boleh buat laporan kes tu, tapi kena bagi peluang dia (Anwar) untuk mempertahankan diri..."

Wartawan MerdekaReview cuba melontarkan kemungkinan bahawa peluang ini mungkin tipis, memandangkan Utusan Malaysia kini dilarang oleh Pakatan Rakyat, dan temuramah melalui panggilan telefon mungkin tidak dijawab.

"Tapi di mahkamah tidak ada masalah, Utusan boleh buat liputan, boleh jolok, tak ada masalah. Yang dilarangkan ialah buat liputan di ibu pejabat PKR, kerajaan negeri... NUJ telah menghantar surat kepada pemimpin PR supaya menarik balik larangan bagi wartawan Utusan dan NST..." jelas Hata Wahari.

"Kita ingat tak fair (adil) melarang reporter (wartawan) dan ahli kita membuat liputan. Kita akan menghantar surat kepada pemimpin BN dan PR untuk berbincang tentang perkara ni, banyak sekatan yang perlu diselesaikan dengan segera," Bahkan Hata Wahari tidak menolak untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin berkenaan.

Tak pernah saya reka cerita

15 tahun bukannya jangka yang pendek. Pernahkah Hata Wahari diberi arahan untuk menulis sesuatu yang bercanggah dengan prinsip kewartawanan yang didukungnya?

"Saya punya prinsip memang dia orang tahu. Daripada hari pertama, mereka telah tahu, prinsip saya ni tidak akan membuat sesuatu yang tidak diperkatakan. Secara verbatim, apa yang disebut saya laporkan, ini prinsip hidup saya, mereka hormati. Daripada dulu sampai sekarang saya tidak ada buat rekaan cerita..."

Beliau pernah membuat liputan pada zaman Mahathir (gambar kiri, kiri) dan Abdullah Ahmad Badawi (gambar kiri, kanan) menyandang jawatan Perdana Menteri, malah ketika Anwar Ibrahim menjawat Timbalan Perdana Menteri. Dari satu segi, beliau terselamat daripada "mereka-cipta cerita fitnah", kerana beliau hanya menulis berkenaan dasar kerajaan.

Namun demikian, apakah Utusan Malaysia terlibat untuk membuat cerita fitnah, dari kaca mata Hata Wahari?

"Itu saya tidak pasti, hanya orang yang kena tuduh tu kena nafi sama ada fitnah atau tidak. Tapi prinsip asalnya, saya minta kepada wartawan junior, lapor apa yang dia orang katakan, pusing atau tidak terserah kepada editor. Dia orang (wartawan junior) tidak akan membuat sesuatu yang mencanggah prinsip etika kewartawanan, itu memang kita punya kerja. Saya tahu wartawan pun membuat prinsip tu juga."

Bagaimanapun beliau menambah, "Tetapi itu di peringkat wartawan, tapi peringkat atas tu, saya tak involve (terlibat) dalam editorialship, tak pasti sama ada benda tu di-twist (diputarbelit) oleh editor."

Wartawan MerdekaReview selanjutnya menanya sama ada rakan sekerjanya mengadu kepadanya, bahawa laporan berita yang ditulis itu diputarbelitkan? "Ada, bukan di-twist (diputarbelit), tetapi letak sesuatu yang buruk di atas, negative side (yang negatif) diutamakan dulu, itu yang jadi masalah..." katanya.

Namun, apakah reaksi rakan sekerjanya setelah beliau mengeluarkan beberapa kenyataan yang menuding jari ke arah UMNO, Ketua dan pengarang kanan Utusan Malaysia?

"Bermacam ada, ada yang setuju, ada yang tak setuju. Ada yang merasakan wajar, ada yang merasa tidak wajar, mix-lah (campur-aduk). Saya bagi tahu mereka, tujuan saya baik, apa-apa yang berlaku, kita tidak boleh salahkan Utusan. Utusan sebagai satu institusi, ia tidak bernyawa, yang berinya nyawa adalah pekerja-pekerjanya, kalau pekerja-pekerjanya tidak bertangungjawab, susahlah. Kita sebagai pekerja mesti memastikan Utusan terus wujud, untuk terus menjadi suara rakyat. Kita perlu mematuhi etika kewartawanan."

Didesak letak jawatan?

Jadi, adakah Hata Wahari berdepan dengan tekanan editor, lantaran daripada ketegasannya untuk mempertahankan prinsip? "So far tidak ada apa lagi, mungkin mereka tahu prinsip saya. Saya memang vokal dalam pejabat, kalau saya tak suka saya bercakap tak suka, secara directly (terus-terang). Tak ada tekanan apa-apa, tidak ada ketua pengarang atau pengarang kanan memanggil saya, so far-lah (setakat ini-lah)," katanya.

Namun, desakan telah dilakukan melalui Presiden Kelab Veteran Utusan Malaysia, Raja Ahmad Niza Raja Ismail, berbunyi "Tinggalkan Utusan jika perjuangan tidak selari". Lantas Hata Wahari membalas, "Siapa nak letak jawatan? Apa perlu saya letakkan jawatan? Saya pekerja setia Utusan. Utusan tu tak ada masalah sebenarnya, dulupun kita perjuangkan untuk semua pihak. Utusan sejak penubuhannya, bermacam-macam benda kita perjuangkan. Perjuangkan kemerdekaan, hak orang miskin, hak rakyat yang tak terbela. Institusi tu dah bagus, mekanisme tu dah Ok, maknanya ia mempertahankan hak-hak orang yang memerlukan, tak kira siapa-siapa pun, tak kira orang Melayu atau orang Cina atau sebagainya, itu kita punya prinsip."

Nostalgianya kembali, "Dulu kita banyak cover MCA, buat full coverage (liputan penuh), saya pernah cover DAP punya function, tak ada masalah. Tapi sekarang ni apa masalahnya kita tak boleh cover pula? Macam saya cover DAP, saya menulis apa yang dikatakan, saya tidak melencongkan. Dulu DAP tidak banyak hentam Utusan kerana mereka tahu laporan kita berlaku adil."

Hata Wahari berkata, "Prinsip kewartawanan saya memang buat laporan yang adil bagi semua pihak, jangan membuat fakta-fakta tambahan. Dah 15 tahun berkerja, kalau ada laporan yang tidak betul, saya dah kena saman, malah tidak ada satu surat pun yang mengatakan laporan saya salah. Saya tidak dikenakan tindakan tatatertib dan disiplin. Jadi saya anggap semua laporan saya berdasarkan apa yang dikatakan."

Semangat "berani kerana benar" bukan sebati dengan jiwa semua wartawan. Ketika diminta untuk mengulas fenomena di mana terdapat wartawan yang akur atau tunduk kepada majikan, beliau berkata, "Prinsip asal adalah masalahnya, apabila kita terpaksa akur kepada orang yang berkuasa, kita susah nak berlaku adil, lebih baiknya media dibebaskan daripada kongkongan mana-mana pihak. Kita sebagai wartawan yang bebas, tak perlu biased (berat sebelah), dan takut."

Hata Wahari kemudian memberi nasihatnya, "Wartawan junior, buat berdasarkan apa yang dikatakan, kalau kita masuk apa-apa fakta yang tidak dicakap, saya beritahu kesannya kita akan kena saman. So far, wartawan Utusan memang ikut etika kewartawanan, melaporkan apa yang dikatakan. Tapi kadang-kadang mereka pun mesti ikut kata-kata bos juga, tapi mereka akan cuba sedaya-upaya untuk tidak melanggar etika kewartawanan. " (Bahagian kedua, bersambung)

Bahagian pertama: Hata Wahari tertanya-tanya: Siapa Ibrahim Ali dalam Utusan?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.