Tuesday, September 14, 2010

TAN SRI MUSA HASSAN PERGI MENUNAIKAN UMRAH ?

SHAH ALAM – Semalam merupakan hari pertama buat bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan menjalani kehidupan sebagai orang awam selepas berkhidmat di dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 41 tahun.

Menurutnya, beliau tetap menjalani rutin kehidupan seperti lazimnya walaupun kini tidak berseragam biru dan bergelar Ketua Polis Negara iaitu jawatan yang dipegangnya sejak 12 September 2006.

“Tiada apa perbezaan pun saya rasakan kerana saya tetap bangun awal seperti kebiasaan walaupun kini tidak perlu ke pejabat.

“Alhamdulillah, semuanya bagus dan pagi tadi saya sempat berjoging seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Ketika ditanya mengenai perancangannya selepas bersara, beliau menjawab akan pergi menunaikan umrah bersama isterinya Puan Sri Juriah Ahmad.

“Buat masa ini perancangan saya adalah pergi umrah bersama isteri bermula esok (hari ini) selama dua minggu,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pakaian seragamnya yang menjadi kebiasaan setiap Ketua Polis Negara akan diletakkan di Muzium PDRM, beliau berkata, sehingga kini masih belum ada permintaan bagi perkara itu.

"Saya masih menyimpannya dan tidak teragak-agak untuk berbuat demikian," katanya.

Sebelum ini, beliau pernah menjawat pelbagai jawatan sejak memasuki bidang kepolisan pada tahun 1969.

Antara jawatan yang pernah disandang adalah Penolong Pengarah Bahagian Narkotik, Bukit Aman pada tahun 1981, Pensyarah Maktab Polis Kuala Kubu Bharu 1986, Timbalan Penolong Pengarah Pendakwaan/Undang-Undang Jenayah, Bukit Aman 1995.

Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Polis Johor 2003, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah 2004 dan Timbalan Ketua Polis Negara 2006 sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada tahun yang sama. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.