Alasan Anwar dan alasan yang dikongsi bersama oleh barisan pimpinan tertinggi PKR adalah; jika Anwar ditakdirkan dipenjara lagi nanti, maka siapa pula yang akan memangku jawatan tersebut.
Makanya pada pendapat kolektif mereka, adalah lebih selamat jika Datuk Seri Dr Wan Azizah terus menjadi presiden. Namun yang selamat hanyalah “kuasa” Anwar ke atas PKR kerana dia masih boleh memberi arahan kepada isterinya yang tidak mungkin akan engkar. Jika orang lain yang memangku jawatan tersebut barangkali Anwar akan sakit kepala di dalam penjara.
Orang penting
Namun formula seperti itu tidak juga dapat menyelesaikan polimik kepemimpinan PKR secara keseluruhannya kerana ada satu lagi jawatan penting yang menjadi sasaran mereka yang berminat menjadi orang penting parti.
Maka berterbanganlah calon-calon timbalan presiden ke seluruh pelusuk negara menemui ahli parti dan memohon sokongan bagi menjawat jawatan tersebut. Malah adalah yang mendakwa mereka direstui oleh Anwar untuk bertanding merebut jawatan kedua penting itu.
Nyaris-nyaris pula para calon tersebut “berlanggaran” antara satu dengan lain di medan kempen dek kerana “lajunya” jentera kempen yang terpaksa mengatur “agenda bersalam” dengan sebanyak mungkin bakal pengundi dalam pemilihan pemimpin PKR yang dianggarkan berjumlah hampir setengah juta itu.
Kini, agenda parti untuk menang pilihanraya umum yang akan datang nampaknya sudah jatuh ke urutan nombor dua. Agenda calon-calon berkenaan adalah memastikan jawatan nombor dua dapat dipegang menjelang bulan November nanti.
“Envelop-envelop” pun sudah ditempah. Malahan wang pendahuluan bagi belanja berkaitan sudahpun keluar masuk akaun-akaun rahsia yang ramai ahli parti tidak tahu mengenainya.
Makan-makan
Kalau tidak dengan turunnya bajet seperti itu masakan mungkin jentera parti peringkat cabang dan ranting yang diketahui miskin itu mampu menganjur siri-siri pertemuan dan makan-makan yang ditopengkan dengan majlis berbuka, jamuan hari raya, meraikan anak yatim dan pelbagai acara kreatif yang tidak berupaya dianjurkan selama ini.
Inilah “wajah-wajah politik lama” yang diperbaharui dan dimodifikasi serta dipaksakan ke dalam budaya politik PKR, oleh mereka yang dulunya pernah dijangkiti oleh sindrom yang memualkan itu.
Ini belum lagi di kira betapa “gah”nya kempen pemilihan di peringkat cabang yang sudah menampakkan amalan huduh bakal-bakal pemimpin yang akan di amanahkan memimpin negara dan negeri . Apatah lagi dengan kempen jawatan ketua AMK yang mirip stail berkempen jawatan dalam pemuda Umno, dan tidak kurang hebat jawatan ketua wanita.
Budaya mempromosi pencaicai oleh “Ketua Kem” yang bertanding membayangkan seolah-olah PKR sedang asyik menostalgiakan fenomena puak Ghee Hin dan Hai San yang berebut kuasa untuk memerintah lombong bijih di Perak dan Selangor suatu ketika dulu.
Apakah PKR mahu menghidupkan kembali budaya berkempen seperti ini yang telah membusukkan dan mereputkan kepemimpinan Umno ? Tidakkah ada kaedah lain yang dapat difikirkan bagi mengurang dan meniadakan budaya berkempen dan memilih pemimpin dengan cara begitu ?
Ahli-ahli parti akhirnya akan menjadi bosan dengan karenah pemimpin yang hanya sibuk dengan agenda menjamin kedudukan mereka di dalam parti daripada berusaha menjamin kedudukan dan nasib rakyat terbanyak.
Justeru itu Anwar harus segera melakukan sesuatu tindakan yang “di luar kebiasaan” dalam konteks mendidik pemimpin dan pendokong parti mengamal pendemokrasian pemilihan barisan kepemimpinan parti.
Autokrasi perlu digunakan
Tidak dapat dinafikan bahawa tidak semua amalan demokrasi dapat menatijahkan kebaikan kepada organisasi. Ada kalanya elemen autokrasi perlu digunakan sesekali dan dalam banyak hal elemen perundingan dan permuafakatan perlu diutama serta diperbanyakkan.
Banyak sekali ajaran dan pengalaman dari sejarah kepemimpinan Islam yang barangkali disifatkan tidak demokratik oleh sesetengah pihak namun terbukti berjaya “mengamankan organisasi” .
Hujah untuk menyuburkan demokrasi dalam parti melalui amalan bertanding dan berkempen memang ada kebenarannya, tetapi mempraktikkan elemen-elemen demokrasi yang berpotensi memusnahkan keharmonian dan keintiman silaturrahim anggota parti tentunya tidak akan mendatang apa-apa kebaikan kepada parti. Lebih malang lagi apabila ianya menjurus kepada sengketa dan permusuhan sesama pendokong dan juga penyokong yang akhirnya melemah dan mencederakan parti.
Sebagai “Mudir Am” parti sekarang ini, Anwar seharusnya sudah mencium bau-bau busuk yang “dikencingkan” oleh beberapa pemimpin parti yang beriya-iya mahu bertanding. Bau busuk ini tidak harus dibenarkan menghancing parti. Anwar tidak boleh membenarkan gejala buruk ini dihidupkan dalam PKR yang menjadi harapan rakyat untuk merubah senario politik negara.
Kaunseling politik
Masa yang lebih banyak harus diberikan untuk merumuskan formula damai dalam parti di segenap peringkat. Jika kesemua ratusan pemimpin yang mahu bertanding itu perlu dipanggil dan diberi nasihat dan kaunseling politik, maka ia harus dilakukan. Malahan jika terpaksa di panggil mereka yang terlibat itu untuk diberi amaran, maka Anwar harus melakukannya sekarang dan bukannya menunggu sehingga ada aduan rasmi dari pihak yang kalah nanti.
Apakah susahnya bagi Anwar untuk memanggil nama-nama yang disebut untuk bertanding dan diberikan nasihat serta dimuafakatkan sesama mereka. Apakah tindakan sebegitu akan dikatakan tidak demokratik kerana menyekat hak untuk bertanding dan memimpin.
Membawa malang
Meskipun perlembagaan parti telah mengggariskan hak-hak mengamalkan demokrasi dalam parti, namun apakah berunding dan bermuafakat untuk mengelak pertandingan yang kurang sihat itu tidak demokratik sifatnya. Jika demokrasi di dalam organisasi itu bermakna kita harus membenarkan amalan-amalan yang boleh membawa kemudharatan kepada parti, maka organisasi yang sedemikian itu akan membawa malang kepada rakyat terbanyak.
Kisah Nabi Muhammad SAW melarang para sahabatnya meminta-minta diberikan jawatan bukannya hanya satu dan terpencil malah lebih dari satu. Antara hadis yang terkenal adalah hadis daripada Abdul Rahman bin Samurah yang merawikan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda kepadanya: “Wahai 'Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau dibebankan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu (oleh Allah) – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Nasaie dan Ahmad)
Jika semangat kepemimpinan Umar Abd Aziz boleh dijunjung dan mahu dicontohi oleh pemimpin utama DAP, kenapa semangat murni seperti ini, yang juga diajarkan oleh Nabi kepada Umar Abd Aziz tidak mahu diterap dan disuburkan di dalam PKR yang sering mengungkap kepemimpinan Nabi Muhammad SAW sebagai model mereka?
Anwar tidak harus terus membenarkan “politiking” dalam PKR disuburkan dan dibiarkan berterusan. Langkah drastik harus diambil mengawal potensi barah yang bakal merayap dalam tubuh PKR dan “politiking” yang paling berbahaya sekarang ini adalah perebutan jawatan nombor dua parti.
Campurtangan
Anwar harus segera memberhentikannya. Caranya tidaklah payah. Paling tidak untuk sementara waktu atau buat sesi kali ini, sebagai persiapan menghadapi pilihanraya umum yang akan datang. Paling tidak juga sebagai usaha awal mendidik ahli parti supaya memulakan semangat perundingan, musyawwarah dan muafakat .
Formulanya tidaklah sangat payah. Sarankan agar “status quo” barisan kepemimpinan utama parti yang sedia ada dikekalkan, paling tidak untuk sementara waktu. Jika timbalan presiden sekarang ini tidak mahu terus memegang jawatan tersebut atas alasan “uzur syarie”, maka formula kedua dan yang paling praktis adalah menawarkan jawatan timbalanpPresiden kepada Azizah yang perlu mengosongkan kerusi presiden untuk Anwar.
Menawarkan jawatan timbalan presiden kepada Azizah bukan bermakna mahu mengamalkan kronisma dan nepotisme dalam parti, tetapi strategi serampang dua mata untuk menyelamatkan parti dari berlakunya pertandingan timbalan presiden dan sebagai persediaan jika Anwar dihumban ke penjara sekali lagi.
Inilah antara pilihan yang ada jika Anwar mahu melihat kedamaian dalam pemilihan parti buat masa ini. Paling tidak bagi jawatan timbalan presiden kerana ia merupakan satu jawatan yang amat kritikal, sangat penting dan diperhatikan oleh rakyat selain dari jawatan presiden. Jawatan naib presiden PKR yang boleh diduduki oleh lebih dari seorang tentunya tidak akan mengundang “politiking” hebat di kalangan calon-calon yang mahu menawarkan diri.
Semangat ahli
Dengan tampilnya Anwar untuk memimpin parti sebagai presiden secara langsung, tentunya impak terhadap semangat ahli akan bertambah. Begitu juga terhadap moral parti komponen Pakatan Rakyat.
Semangat para ahli PKR untuk mempertahankan presiden mereka tentunya lebih “membara” kerana gelaran presiden adalah maruah tertinggi parti yang mesti dijaga agar tidak dinyahkan dari parti oleh mana-mana pihak. Presiden parti adalah imej terpenting parti yang harus dipertahankan sehingga ke titisan darah terakhir.
Anwar harus segera menyatakan pendirian untuk langsung memimpin parti kerana dengannya semangat perjuangan ahli PKR untuk bangkit melawan BN akan kembali menyala-nyala. Anwar harus sedar betapa ahli amat memerlukan kehadirannya menjadi presiden PKR pada masa ini. Ia bukan sekadar untuk menyelamatkan “politiking” di dalam parti sahaja, tetapi ahli terbanyak mahukan Anwar mengambil tanggungjawab memegang “steering” dan memandu parti secara langsung dan bukannya memberi arahan dari kejauhan.
Jadi tidak ada sebab Anwar menolak kehendak ahli parti yang mahukan dia menjadi presiden secara langsung pada kali ini. Jangan sampai ada ahli yang akan kecewa dan akan menempelak Anwar sebagai seorang yang sememangnya tidak layak menjadi presiden tetapi hanya layak menjadi ketua umum sahaja, yakni untuk mengetuai kerja-kerja mengumumkan berita yang boleh menggemparkan rakyat jelata.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.