Monday, August 30, 2010

UMNO NEGERI SEMBILAN GAGAL BERMESYUARAT - MB SEMAKIN GOYAH !


Menteri Besar Negeri Sembilan makin goyah.......???

Umno Negeri Sembilan bukan banyak memberi kesan dan pengaruh kepada keseluruhan Umno di Malaysia, tetapi ia sedikit sebanyak turut mewarnai politik Umno negara ini, dengan beberapa pencapaian individu tertentu, sekaligus nama Negeri Sembilan agak lebih baik dari Terengganu dan Perlis.

Dari segi pencapaian tinggi, selepas Allahyarham Dato' Bahaman Shamsuddin, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad merupakan wakil Negeri Sembilan yang berjaya menjamah kerusi Naib Presiden Umno, sedangkan usaha berterusan yang dibuat Dato' Seri Dr. Rais Yatim, untuk memenangi salah satu dari tiga kerusi Naib Presiden terus dihampakan oleh perwakilan.

Umno Negeri Sembilan bukan banyak memberi kesan dan pengaruh kepada keseluruhan Umno di Malaysia, tetapi ia sedikit sebanyak turut mewarnai politik Umno negara ini, dengan beberapa pencapaian individu tertentu, sekaligus nama Negeri Sembilan agak lebih baik dari Terengganu dan Perlis.

Kini, Khairy Jamaluddin pula berada di hirerki agak tinggi, menjawat jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, satu kedudukan yang setaraf dengan Naib Presiden – sekaligus memperlihatkan ada wakil dari Negeri Sembilan yang dilihat dapat diterima oleh perwakilan dari seluruh negara.

Malangnya, tanpa sesiapa tahu, kebelakangan ini, Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, yang diketuai Menteri Besar, Dato' Seri Mohamad Hassan 'telah gagal' untuk mengadakan mesyuarat bulanan – ekoran tidak cukup korum.

Ini cerita yang didengar. Khabarnya, yang datang mesyuarat apabila dipanggil, hanyalah Setiausaha Kerja, Ketua Penerangan Negeri dan seorang dua ketua bahagian, yang kebetulan Exco Kerajaan Negeri. Itupun, kata sumber yang boleh dipercayai, jika ketua bahagian ini bukan Exco, nescaya Menteri Besar hanya bermesyuarat dengan Setiausaha Kerja dan Ketua Penerangan, sedangkan yang lain-lain, tidak menunjukkan muka langsung.

Tidak pula diketahui apakah dua orang ketua bahagian yang berjawatan menteri, Dato' Shahziman Abu Mansor (Tampin) dan Rais (Jelebu) turut hadir atau tidak, apabila dipanggil bermesyuarat yang menjadikan Umno Negeri Sembilan kini, sebagai bahan ketawa orang ramai yang mengetahui cerita ini.

Dalam sejarah Umno Negeri Sembilan, nama-nama hebat yang pernah dilahirkan termasuk Dato' Mansor Osman, Tan Sri Abd Samad Idris, Tan Sri Napsiah Omar dan Dato' Khalid Yunus. Suatu ketika, Umno (BN) Negeri Sembilan pernah menang 100 peratus kerusi dalam pilihan raya, walaupun ketika itu, Rais berada di pihak pembangkang dan merupakan Timbalan Presiden Parti Melayu Semangat 46 (S46).

Bila Rais bertanding di Jelebu, lawannya hanya seorang bekas pegawai tentera bernama Ibrahim Sureh yang tidak berjawatan dalam Umno Bahagian Jelebu dan tidak terkenal. Rais tewas dan merupakan satu-satunya timbalan presiden parti yang terpaksa mengambil cuti untuk menyambung pelajaran.

Rais pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan buat seketika. Dia juga pernah menjadi menteri, sebelum berundur kerana bersama-sama Tengku Razaleigh Hamzah menentang kepimpinan Dr. Mahathir. Ketika itu, Umno Negeri Sembilan dikatakan bakal 'hancur' kerana pengaruh Rais namun ia tidak seperti yang dijangkakan.

Namun, kini suasana berbeza. Dalam PRU 12 Mac 2008, Negeri Sembilan antara negeri yang hampir-hampir tumbang. Hanya dengan kelebihan empat kerusi, Mohamad Hassan kekal sebagai Menteri Besar. Jika tidak, Negeri Sembilan mungkin senasib dengan Kedah, Perak, Selangor dan Kelantan...BN kecundang.

Dalam Umno, Mohamad Hassan antara Menteri Besar yang tewas dalam pertandingan merebut salah satu kerusi Majlis Tertinggi (MT). Sebelum mengumumkan hasrat bertanding MT, Mohamad Hassan pernah berura-ura mahu merebut jawatan Naib Presiden tetapi membatalkan hasratnya itu ekoran ada dua lagi calon Naib Presiden dari Negeri Sembilan iaitu Mohamad Isa dan Rais.

Di mana silapnya kepimpinan Mohamad Hassan? Apakah dia ditolak oleh ketua-ketua bahagian di Negeri Sembilan seperti yang pernah didedahkan oleh Ketua Umno Bahagian Seremban, Dato' Ishak Ismail ketika mewakili Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan berucap di Perhimpunan Agung Umno, tidak lama dahulu?

Kata Ishak, macam-macam cara Menteri Besar Mohamad Hassan buat terhadapnya. Ishak bercakap di hadapan hampir 2,500 perwakilan dan didengari Presiden dan semua ahli MT. Apakah jika ketua bahagian lain yang berucap, cerita yang Ishak dedahkan ini juga turut diucapkan? Apakah Mohamad Hassan memang ada krisis dengan ketua-ketua bahagian?

Cuma, dari luar jika sesiapa yang faham politik Negeri Sembilan, tentulah boleh tabik kepada Mohamad Hassan kerana dia berjaya menyingkirkan dua orang kuat Tun Abdullah Ahmad Badawi dari politik Negeri Sembilan ketika Abdullah masih merupakan Perdana Menteri (PM) dan Presiden Umno.

Kedua-dua orang itu, Dato' Zakaria Nordin (Exco) dan Datuk Rais Zainuddin (Exco). Kedua-dua orang ini, diketahui umum sebagai ‘orang kuat’ Abdullah di Negeri Sembilan, malahan pernah diramalkan salah seorang dari kedua-duanya bakal menjadi Menteri Besar jika Mohamad Hassan mahu digantikan.

Dulu, penggal pertama Mohamad Hassan menjadi Menteri Besar, isu yang paling banyak disebut ialah kisah dia melantik abangnya, Dato' Azman Hassan menjadi Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri. Adiknya, Abd Ghani Hassan pula dilantik sebagai pengurus pasukan bolasepak negeri dan secara diam-diam menjalankan kerja-kerja selaku setiausaha kerja Umno negeri.

Itu belum lagi himpunan cerita penguasaan projek dan Azman pernah digelar sebagai Menteri Besar sebenar Negeri Sembilan sementara Mohamad Hassan hanya boneka. Cerita itu kini sudah lenyap. Ia berlalu bersama-sama cerita baru, Mohamad Hassan kini tidak mampu melakukan apa-apa lagi di Negeri Sembilan, kerana parti yang dia terajui di peringkat negeri dikatakan tidak menjadi 'kenderaan' untuk dia menuju ke destinasi.

Khabar paling menyedihkan, Umno negeri juga dikatakan gagal menjelaskan bayaran membuat jacket untuk digunakan peserta program Umno berjumlah lebih RM200 ribu.

Cerita ini yang dijaja sekarang di dalam setiap program berbuka puasa dan moreh anjuran Umno bahagian-bahagian. Jika ada orang politik bertemu, mereka akan bertanya sama-sama sendiri, betulkah semua dakwaan ini atau, ia hanya fitnah yang mahu merosakan reputasi Menteri Besar yang memang sedang merudum itu.

Mohamad Hassan setakat ini 'menjahit' mulutnya. Dia membisu seribu bahasa. Musuh-musuh politiknya bertambah dari sehari ke sehari. Dia bukan sahaja dikatakan bermasalah dengan ketua-ketua bahagian, kecuali bahagian Rasah dan Kuala Pilah, tetapi dia juga dikatakan bermasalah dengan ramai orang.

Detikdaily

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.