Sunday, July 25, 2010

Umno Selangor menuju ke pusara.........


Oleh Roslan SMS




Semalam menurut laporan portal Malaysia Insider Umno Selangor telah melancarkan kempen "tawan Selangor dari PR" melalui sebuah majlis ceramah yang kononnya besar-besaran di Shah Alam.

Saya tidaklah berhasrat mahu merendahkan usaha gigih Noh Omar itu selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno (yang berebut pengaruh dengan Khir Toyo) tetapi majlis kempen mahu tawan Selangor itu (bukan kata PAS atau PR) menurut laporan portal berkenaan dihadiri oleh 200 penyokong termasuklah penduduk tempatan yang tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku (penonton terserempak tanpa undangan maksudnya).


Dalam majlis itu juga dilepaskan "ayam tambatan" Noh iaitu Ezam Md Nor (sekarang Senator) yang lepas-lepas sahaja terus berkokok menyerang Tan Sri Khalid dan kerajaan PR. Modal bersama yang dikongsi untuk menggodam PR pasir dan pasir semata-mata. Betul tak betul tak kira, tetapi itulah modal utama yang mampu mereka fikirkan.


Kalau perang Umno dilancar dengan kehadiran cuma 200 orang, bukan hanya orang PR dan rakyat Selangor tersenyum lebar tetapi saya pasti Khir Toyo "tegak misainya" mahu membuktikan betapa gagalnya kepimpinan Noh kerana "perang" apa kalau begitu sahaja kekuatan yang mampu dibariskan.


Ternyata Umno masih belum pulih. MCA dan MIC Selangor kita tak pasti wujud lagi ataupun tidak. Gerakan dan PPP Selangor entah mana batu nisannya. Kerana itu ini bukan masanya kita bersorak dan bercekak pinggang. Ini masanya kita memecut laju memperkemas dan memperteguhkan jentera pilihan raya kita masing-masing baik PAS, DAP mahupun PKR Selangor.
Gerak kerja mendaftar pengundi baru mesti dipertingkatkan. Menurut angka terbaru SPR bagi tempuh berakhir Jan-Jun 2010 PR jauh mengatasi BN di Selangor dalam mendaftarkan pengundi baru. Syabas, tetapi itu pun tidak cukup lagi. Alang-alang kita bertarung dengan BN dan Umno, pastikan mereka pupus terus.

PAS dilaporkan berjaya mendaftar 4,561 pengundi baru bagi tempuh berkenaan iaitu bersamaan 753 pengundi setiap bulan. Bilangan ini masih kecil sedangkan kita bakal bertanding di 20 kerusi DUN iaitu mempertahankan 8 dan bertanding menempuh ADUN Umno di 12 kerusi. Lantaran itu kita perlu bekerja lebih kuat lagi.

Umno sedang longlai, kita jangan turut begitu. Rakyat mengharapkan kepimpinan kita, kita sekarang memegang mandat, jangan mengecewakan pihak yang mengharapkan. Ayuh bersatu menggarab tenaga bekerja untuk Allah demi memartabatkan dasar perjuangan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.