Monday, July 26, 2010

Rakyat muak dengar cerita politik lama Umno BN



Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali menegaskan, rakyat negeri ini sudah muak dengan cerita politik lama Umno BN sebaliknya mereka ingin mengetahui bagaimana cerita politik baharu Pakatan Rakyat.

Menurutnya, rakyat tidak mahu lagi mendengar cerita lama Umno BN yang penuh dengan rasuah, salah kuasa dan skandal sebab itu majlis penerangan Umno kelihatan muram sahaja meskipun membariskan enam pemimpin mereka dalam satu ceramah.

Dr Hasan berkata demikian ketika berucap merasmikan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden Muktamar PAS ke-56, yang diadakan di Wisma MBSA pagi tadi dengan pembentangan kertas bertajuk Islam Adil Untuk Semua oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Mengulas sambutan rakyat terhadap program siri penerangan Umno Selangor, Gelombang Selamatkan Selangor Darul Ehsan yang bermula pada 23 Julai lalu hingga 7 Ogos di 19 tempat, Dr Hasan menyifatkan sebagai muram.

Portal Malaysiakini melaporkan sambutan lembab terhadap majlis itu yang hanya hadir seramai 250 sahaja di Seksyen 17 dekat sini pada malam pertama sedangkan Selangor mempunyai 5 juta rakyat.

"Sebab itulah kita yakin kemenangan lebih besar akan dapat dicapai dengan kesungguhan kerja kita secara bersama kerana kita telah membuktikan sepanjang dua tahun setengah ini, PAS dapat ketengahkan syiar dan syariat Islam di negeri ini.

"Sejak Pakatan Rakyat mengambilalih tampuk pemerintahan Negeri Selangor, PAS tetap setia dalam PR; sama melangkah, sama berlari, sama berpenat dan sama-sama lelah demi memastikan negeri ini bertukar wajah ke arah lebih baik.

"Hubungan antara PKR, DAP dan PAS paling mantap dalam PR, ketua parti sering bertemu paling lama dua minggu sekali termasuk rundingan meja bundar dalam usaha meneguhkan kekuatan dalam pentadbiran," tegasnya.

Selangor kini khususnya menjadi tumpuan Umno BN untuk dirampas kembali dalam pilihan raya depan, kerana itu, jelasnya, semua pendepan-pendepan parti dalam PR mesti pertingkatkan usaha pertahankan kemenangan.

Bercakap lebih lanjut kepada semua pimpinan PAS seluruh kawasan, Pesuruhjaya PAS Selangor berharap, seluruh jentera parti terutamanya penerangan akan menggunakan berbagai jenis media sebagai sesungut parti secara lebih tersusun.

"Kini kehadiran kita bukan sahaja dirasai oleh semua lapisan rakyat dari Sabak Bernam ke Sepang, dari Pelabuhan Klang ke Gombak, tetapi dihayati oleh semua pihak.

"Paling utama untuk masa kini adalah synchronism, keutuhan dan kesatuan dalam parti menjadi amat utama, mari kita lupakan yang lepas-lepas kerana dasar kita sama cuma pandangan sahaja berbeza disebabkan kelainan diversiti kehidupan," tegasnya.

Lima minit terakhir digunakan beliau untuk menjelaskan isu pertemuannya dengan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria dua bulan lalu yang menjadi heboh seminggu ini.

Jelasnya, beliau berjumpa atas sikap sebagai Exco Kerajaan Selangor yang menjaga Hal Ehwal Islam dan Adat Melayu untuk mendapatkan pandangan sejauh mana tahap perjalanan Mesyuarat Hal Ehwal Islam Kebangsaan yang akan dihadiri keesokan harinya.

Pengalaman mufti itu selama 30 tahun bertugas dalam bidang berkenaan dirasakan perlu didengari, cuma itu, tegasnya, tiada sebarang rundingan ke arah perpaduan Melayu anjuran Umno seperti didakwa mufti berkenaan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.