Sunday, July 4, 2010

Beza antara kawan dan sahabat — Dr Mohd Ridhuan Tee





Sebelum ini Pas amat yakin bahawa rakan sekutunya parti ultra kiasu sudah faham akan Islam dan menerima konsep negara Islam serta mungkin tidak mustahil untuk memeluk Islam. Itulah harapan Pas yang menggunung tinggi. Sayangnya Pas agak kurang memahami psiki ultra kiasu telah diceraikan sebelum ini dan kini merujuk kembali kononnya untuk menguasai Putrajaya.

Untuk memahami parti ultra kiasu ini, mungkin Pas boleh meminta pendapat daripada beberapa kalangan Cina Muslim yang menjadi ahlinya. Dengan syarat, Cina Muslim itu mesti jujur dengan ilmu dan tidak ultra kiasu. Sebab ramai juga Cina Muslim yang turut terikut-ikut dengan rentak ultra kiasu disebabkan latar belakang pendidikan perkauman yang mereka terima.

Hakikatnya, pendirian ultra kiasu tidak pernah berubah dari dahulu sampai sekarang meskipun mereka berada dalam satu pakatan. Minggu lalu, pemimpin veteran parti ultra kiasu yang tidak berserban, secara terang menentang sebarang usaha dan percubaan Pas untuk menjadi Malaysia sebuah negara Islam apatah menjalankan undang-undang Islam.

Pada beliau, walaupun berada dalam satu pakatan, ia bukanlah bermakna mereka menerima dasar Pas. Jawapan ini sudah jelas kepada Pas agar membuka mata dan minda. Siapakah kawan, siapakah lawan dan siapakah sahabat?

Saya yakin jika Pas berbincang dan bersahabat dengan Umno tentang hal ini, tidak mungkin Umno akan menolak bulat-bulat, sebab Umno juga adalah parti orang Islam. Ramai kenalan saya dalam Umno yang mahukan Islam. Yang kurang berminat dengan Islam pula, amat pantang jika kita kata mereka kafir, sebab dalam hati mereka masih ada iman. Paling tidak pun, Umno akan jawab, negara Islam telahpun diisytiharkan, cuma perlaksanaannya memerlukan sedikit masa.

Sebahagian undang-undang Islam sebenarnya telah dan sedang berjalan, walau tidak sepenuhnya. Yang penting pada saya, bawalah berbincang. Jangan terlalu bersangka buruk sesama bangsa dan seagama. Sedangkan Nabi ampunkan umat, inilah pula perbalahan antara sahabat semacam adik-beradik. Janganlah menolak persahabatan kerana terlalu ingin berkawan.

Berkawan hanya sekadar di pinggiran, atau mungkin sampai di tangga rumah. Jika terpancar keikhlasannya mungkin boleh dipelawa masuk ke dalam rumah. Tetapi bersahabat bukan sahaja boleh di pimpin ke dalam rumah, malah boleh dibawa sampai ke bilik. Begitulah rapatnya hubungan sahabat berbanding kawan. Tetapi jangan melakukan perbuatan di luar tabie bila bersahabat.

Berkawan dengan memang perlu berhati-hati, apatah lagi dengan musang berbulu ayam. Kegilaan mereka kepada pentadbiran Umar Abdul Aziz bukanlah tiket untuk mengatakan bahawa kawan kita sudah insaf atau sudah dekat dan mahu kepada Islam. Sejarah menunjukkan ia tidak sedemikian. Janganlah mudah cair sehingga musuh tidak dapat dibezakan sama ada sekadar untuk berkawan atau bersahabat.

Saya yakin kepimpinan Pas selepas ini akan berkata, lebih baik berkawan dengan musuh, daripada bersahabat dengan sahabat seagama yang menolak Islam. Persoalannya, mana lebih baik? Berkawan dengan musuh yang jelas menentang Islam atau menghulurkan tangan dengan sahabat yan masih ada ruang untuk menerima Islam? Saya tidak berkawan dengan ultra kiasu, tetapi ramai juga bukan ultra kiasu yang memeluk Islam di tangan saya.

Ingin saya bertanya kepada Pas, sekian lama berkawan dengan ultra kiasu, berapa ramaikah yang telah memeluk Islam kerana terpikat dengan keislaman yang telah ditunjukkan oleh Pas? Sejauh mana dakwah Pas berkembang kepada mereka? Adakah mereka semakin dekat dengan Islam atau semakin memusuhi Islam? Cuba tanya soalan ini kepada pemimpin veteran ultra kiasu itu?

Pas selalu berhujah, Umno adalah punca segala kejahatan di muka bumi ini, seolah-olah tidak ada langsung kebaikannya. Dengan makna, Umno itu syaitan = neraka dan Pas itu malaikat = syurga. Apakah Pas terlalu yakin bahawa mereka terlalu baik? Pemerintahan mereka sahaja yang betul, orang lain salah?

Saya tidak nafikan ada berlaku pengurangan jenayah dan maksiat sepanjang Pas memerintah Kelantan, tetapi ia masih berlaku, termasuk yang pelik-pelik. Mungkin alasan Pas sebab kerajaan pusat tidak membenarkan undang-undang hudud dilaksanakan. Realitinya, negara-negara Islam yang cuba melaksanakan Islam pun masih lagi tidak dapat membendung gejala ini sepenuhnya, walaupun itulah pilihan terbaik.

Bermakna, fenomena ini tidak mungkin dapat dihapuskan sepenuhnya, selagi manusia bernama manusia, tidak lari daripada kesilapan. Mereka bukan malaikat, mereka ada nafsu. Undang-undang hanya mampu mencegah dan mengurangkannya. Agak mustahil untuk menghapuskannya ke tahap sifar, apatah lagi dalam era dunia tanpa sempadan.

Justeru, adakah wajar kita mengatakan bahawa semua kejahatan dan kemaksiatan yang berlaku hari ini disebabkan oleh Umno? Pihak lain tidak langsung bersalah? Buatlah kajian. Negeri Selangor dan Pulau Pinang tidak kurang tinggi kadar jenayah dan masalah sosial, selain Wilayah Persekutuan dan Johor. Bermakna, ini adalah fenomena globalisasi yang mesti ditangani bersama bukan saling salah menyalah.

Saya selalu dengar Pas amat yakin ultra kiasu mula menyokong dan memahami Islam serta perjuangan Pas setelah lama berkawan. Pada anggapan Pas, yang tidak bersetuju dengan dasar Islam hanyalah pemimpin-pemimpin veteran ultra kiasu. Golongan muda ultra kiasu tidak seperti golongan veteran ultra kiasu. Mereka dikatakan lebih lunak, terbuka dan mahu kepada Islam. Benarkah anggapan itu?

Janganlah kerana mereka sudah berani mengibarkan bendera Pas ketika pilihan raya, itu menjadi petanda bahawa mereka menerima dasar Islam Pas. Ya, saya tidak menafikan perubahan parti ultra kiasu berbanding dahulu. Tetapi janganlah terlalu terpedaya dengan berhujah berasaskan bendera sahaja. Masih banyak perkara yang perlu dilihat, terutama sejarah parti ultra kiasu yang tidak pernah mahu menerima Islam.

Jika itulah tanggapan Pas, saya pun akan mengatakan, generasi veteran Umno semakin hampir kepada penghujungnya. Generasi muda akan mengambil alih. Saya yakin generasi muda Umno mahukan Islam. Apakah kita akan terus mengatakan bahawa selagi namanya Umno selagi itulah Umno tidak akan berubah dan menolak Islam? Adakah Pas begitu tega menolak anak orang Pas yang turut menjadi ahli dan pemimpin Umno, dan memuji anak orang Umno yang menyertai Pas?

Saya bimbang kita terlalu perasan dan syok sendiri. Hakikat yang sebenar masih belum tentu. Saya amat yakin bahawa pandangan ultra kiasu terhadap Pas, negara Islam dan hudud tidak pernah berubah. Sesiapa yang mengkaji sejarah dan ilmu sosialisasi politik, akan tahu kebiasaannya pandangan sebegini telah diturunkan dari generasi kepada generasi. Sama juga isu bangsa dan bahasa yang telah saya bahaskan sebelum ini.

Apakah Pas sudah lupa isu perlantikan Menteri Besar Perak selepas Pakatan Rakyat mendapat majoriti kerusi dalam Pilihan Raya Umum 2008? Masihkah kita anggap itu adalah pandangan peribadi veteran ultra kiasu dan bukannya pandangan parti ultra kiasu?

Apabila parti ultra kiasu mendapat majoriti kerusi dalam pakatan ketika itu, mereka sudah ada calon MB mereka sendiri. Nasib baik ada Sultan Perak yang berkuasa memilih siapakah yang layak menjadi MB Perak. Lantas, Nizar Jamaluddin diperkenan oleh Baginda Sultan walaupun kerusi Pas adalah yang sedikit dalam pakatan.

Jika tidak, sudah tentu rakyat Perak bermenteribesarkan parti ultra kiasu kerana itulah cita-cita mereka selama ini selain berjaya menguasai Pulau Pinang. Kes yang sama berlaku selepas ultra kiasu mendapat majoriti kerusi dalam pilihan raya tahun 1969. Parti ini begitu ghairah telah menuju ke istana untuk mendapat perkenan Tuanku Sultan supaya dilantik menjadi MB. Namun, ditolak oleh Tuanku Sultan.

Perlantikan Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak sebenarnya tidak dapat diterima oleh parti ultra kiasu ketika itu, hanya kerana Nizar itu adalah Pas. Jika Nizar masih meneruskan cita-cita Pas untuk menegakkan pemerintahan Islam di Perak, saya amat yakin parti ultra kiasu akan menjatuhkan Nizar.

Jika cara itu tidak berjaya, mereka pasti bertindak keluar daripada pakatan tersebut.
Persoalannya, kenapa ultra kiasu dapat menerima Nizar dan mempertahankannya habis-habisan selepas Nizar dipecat setelah tidak lagi mendapat majoriti kerusi di Dewan Undangan Negeri Perak? Saya yakin para pembaca sudah ada jawapannya.

Justeru, kenyataan pemimpin veteran ultra kiasu baru-baru ini tidaklah mengejutkan. Adalah amat mustahil bagi ultra kiasu untuk berkompromi dalam hal ini. Jika ultra kiasu berkompromi, ia bermakna ia menerima Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan jika Pas berkompromi, bermakna ia menerima negara sekular dan ini akan bertentangan dengan prinsip mereka sendiri. Inilah dilema pakatan tidur sebantal, mimpi lain-lain. Pakatan ini ibarat kosmetik, cantik di luar, berserabut di dalam.
Ultra kiasu tetap berpendirian Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Mereka akan terus mengumpulkan bukti dan hujah. Antaranya adalah petikan kata-kata Tunku Abdul Rahman dan keputusan Mahkamah Agung 1988 yang telah memutuskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular. Apakah Pas tidak sedar bahawa Barisan Alternatif yang diwujudkan pada pilihan raya umum 1999 gagal disebabkan oleh isu negara Islam dan hudud?

Matlamat ultra kiasu yang paling utama ialah mengambil alih Putrajaya daripada BN. Bukannya menghormati dasar Pas. Pas hanya alat untuk memenuhi nafsu serakah mereka. Nik Aziz tidak perlu meminta pendapat veteran ultra kiasu untuk menilai pemerintahan di negerinya.

Walaupun tidak dinafikan ada kebaikan, mereka tidak akan pernah mengakui, kerana di hati mereka tidak pernah ada bulan seperti yang didakwa Nik Aziz sebelum ini. Ditakdirkan BN tumbang nanti, pasti Pas akan terpinggir kerana ultra kiasu lebih yakin dengan sekutu bulan sabit yang mirip kepada sosialis.
Justeru, tidak perlulah Pas menjaja dalam ceramahnya bahawa generasi ultra kiasu telah menerima dasar-dasar Islam.

Seringkali saya ulang, Umno tidaklah sejahat yang disangka. Yang jahat, jahil dan korup hanya segelintir. Mereka sudah menjadi semakin tidak popular. Masih ramai yang baik. Mereka tidak ada pilihan untuk memperjuangkan nasib Melayu dan Islam melainkan di dalam Umno.

Maka, tidak hairan jika mereka terus berada di dalam Umno sebagai platform untuk berjuang dan memainkan peranannya. Saya amat faham aspirasi dan inspirasi mereka walaupun ada yang gagal separuh jalan. Namun, perjuangan perlu diteruskan. Kita tidak seharusnya membiarkan kapal terus karam. Tidakkah bekerjasama itu lebih baik bagi menyelamatkan Islam?

Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Sikap ekstrim atau ultra amat ditentang oleh Islam. Pas perlu jelas dalam kerjasama ini agar tidak menyesal di kemudian hari. Ingatlah, meruntuh memang mudah, tetapi membina mengambil masa yang lama. Apatah lagi jika yang hendaklah dibina itu tidak mempunyai landasan yang kukuh.

Ibarat membina sebuah rumah, jika bahan binaan itu palsu, kosmetik sahaja, luar nampak cantik, di dalam berserabut. Akhirnya, bila roboh pasti sukar untuk dibaiki semula, melainkan dengan membina semula. Ketika itu sudah terlambat, kerana kita telah dikelilingi oleh rumah-rumah besar dan kukuh. Lihatlah Kampung Baru, ibarat melukut di tepi gantang. Justeru, bezakanlah antara kawan dan sahabat. Pilihan di tangan kita. — Mingguan Malaysia

Posted by RAKYAT MARHAEN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.