Wednesday, June 30, 2010

PAKATAN RAKYAT BERSATU DALAM SEMANGAT MUSYAWARAH

KENYATAAN MEDIA

Semangat musyawarah menjadi teras utama dalam proses membuat keputusan di dalam Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN). Program TemuRapat (retreat) KEADILAN yang telah berlangsung pada 26 – 27 Jun, di Hotel Quality, Shah Alam, Selangor, telah membuktikan bahawa KEADILAN sangat iltizam dengan prinsip musyawarah. Amalan tersebut bertepatan dengan perintah Allah (SWT) seperti yang termaktub di dalam al-Qur’an:

“..Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan peperangan dan keduniaan. Kemudian apabila kamu telah berazam (sesudah mesyuarat untuk membuat sesuatu), maka bertawakallah kepada Allah (SWT), Sesungguhnya Allah Maha Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.” (Surah Ali ‘Imran: 159).

Junjungan Muhammad (SAW) sendiri suka mendapat pandangan dari para sahabat seperti yang dapat dilihat dalam hadis berikut

“Berikan pandangan kamu semua kapada Aku.”

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang telah diadakan selepas program temurapat itu telah sebulat suara merumuskan untuk terus memperkukuhkan sistem penyampaian (delivery) kepada rakyat di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat (PR) dan mempersiapkan parti bagi menghadapi pilihanraya umum yang akan datang. Perlantikan YB Azmin Ali, Naib Presiden KEADILAN sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor (MPN) akan memberi ruang kepada YAB Tan Sri Dato Seri Abd Khalid Ibrahim (TSKI) untuk menumpukan sepenuh perhatian beliau dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat negeri Selangor.

Soal kedudukan TSKI sebagai Menteri Besar Selangor tidak pernah timbul sama sekali. Tidak ada sebab untuk TSKI digantikan dengan orang lain sebagai Menteri Besar Selangor. TSKI akan terus diamanahkan dengan tugas memimpin kerajaan negeri. Tempoh dua tahun yang lalu telah membuktikan kemampuan bekas tokoh korporat yang berwibawa ini mentadbir negeri Selangor dengan cekap, telus dan amanah. Kerajaan negeri Selangor di bawah kepimpinan beliau terbukti cemerlang dan bebas dari gejala salahguna kuasa yang sangat sinonim dengan kerajaan terdahulu. Pemimpin dan anggota parti di segenap peringkat memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap TSKI sebagai Menteri Besar Selangor.

Bagi memperkukuhkan agenda parti dalam menghadapi pilihanraya umum yang akan datang, KEADILAN telah memilih seorang Naib Presiden kanan parti yang sangat berpengalaman, YB Azmin Ali, sebagai Pengerusi MPN Selangor. Sdra Azmin Ali bertanggungjawab terhadap pengurusan jentera parti di peringkat negeri Selangor. Jentera parti akan diperkemaskan untuk menangkis fitnah dan serangan jahat Barisan Nasioanal yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini. Jentera parti juga akan diperkukuhkan sebagai langkah utama menuju ke Putrajaya.

Pengagihan tugas di antara memimpin kerajaan dan mengemudi jentera parti bukanlah sesuatu yang asing. Amalan ini berlaku di mana-mana, samada di dalam atau pun luar negara. Malah amalan ini turut dianuti oleh UMNO yang seringkali melakukannya bagi mengatasi keberantakan yang berlaku di kalangan ahli mereka.

Perhubungan UMNO Terengganu kini diketuai Dato Seri Hishamuddin walaupun kerajaan negeri sekarang ini dipimpin oleh Dato Ahmad Said. Tidak lama dahulu Tan Sri Muhammad Taib dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor walaupun Dato Seri Khir Toyo yang menjadi Menteri Besar. Di luar negara pula kita melihat kerjasama yang erat di antara parti dan kerajaan walaupun dipimpin oleh orang yang berbeza seperti yang berlaku di England, India, Amerika Syarikat dan banyak lagi. Malah amalan demokrasi di negara-negara berkenaan berkembang dengan sangat baik dan matang.

KEADILAN sebenarnya sangat maklum dengan mainan jahat Barisan Nasional melalui media yang dikuasai oleh mereka. Pelbagai cerita karut marut dihidangkan kepada rakyat. Mereka sangat berharap fitnah jahat ini akan dapat mengganggu gugat keutuhan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat. Malang bagi BN, sehingga ke hari ini, sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat terus meningkat. Semangat anggota parti komponen juga tidak sama sekali terkesan oleh segala pembohongan tersebut.

Tarikh : 29 Jun 2010
Prof Madya Dr Muhammad Nur Manuty
Ahli Majlis Pimpinan Pusat
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.