Wednesday, June 2, 2010

Apakah Kewajaran Latihan Lasak ala Komando Untuk Pegawai PTD?

Oleh Azmin Ali

Negara dikejutkan apabila seorang pelatih Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) meninggal dunia awal pagi semalam (31 Mei 2010) selepas tiba-tiba dilaporkan mengalami jangkitan paru-paru yang serius ketika menjalani latihan intensif yang lasak ala komando di kem latihan di Jugra, Banting.

Norhashimah Wahid, 30, ibu kepada seorang anak perempuan berusia 2 tahun, mula menjalani latihan pada bulan Mac 2010. Program Diploma Pengurusan Awam (DPA) merupakan syarat untuk pengesahan dalam perkhidmatan bagi skim PTD. Latihan dijalankan dalam tempoh 7 bulan yang antara lain meliputi latihan-latihan dalam kelas dan juga latihan luar (latihan kebombaan, kepolisan dan ketenteraan). Modul jati diri yang diwajibkan ke atas setiap peserta program adalah merupakan modul yang pertama kali diadakan dan difahamkan diselia oleh pegawai Paskau (Pasukan Khas Tentera Udara).

Walau bagaimanapun, hari ini, Tentera Udara Diraja Malaysia menafikan laporan media kononnya latihan itu di bawah kendalian dan seliaan Pasukan Khas Udara TUDM. “Latihan itu bukan di bawah kelolaan kami atau mana-mana unit di bawah naungan TUDM, sebaliknya ianya dikelolakan sepenuhnya oleh agensi lain yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan TUDM,” kata satu kenyataan TUDM.

Saya sempat menziarahi keluarga Allahyarhamah Norhashimah di kediaman mereka di Taman Keramat. Kedatangan saya tepat jam 3.00 petang tadi bersama YB Nik Nazmi dan YB Nurul Izzah serta pimpinan KEADILAN Gombak disambut oleh suami Allahyarhamah Norhashimah, Saudara Ahmad Zulkhairi dan beberapa ahli keluarga mereka termasuk YB Dr. Nasir, ADUN Kota Damansara. Jelas suasana sedih dan pilu masih menyelubungi keluarga ini.

Allahyarhamah Norhashimah dihantar oleh suaminya ke INTAN dalam keadaan sihat walafiat untuk memulakan latihan modul ala komando pada 23 Mei 2010. Latihan ini dijangka berakhir selama seminggu di kem latihan di Jugra melibatkan aktiviti yang lasak yang dikhabarkan lebih berat daripada latihan ketenteraan biasa (bagi seorang awam seperti yang dilalui oleh pelatih dalam latihan ketenteraan).

Difahamkan Norhashimah mengalami demam panas pada keesokkan harinya dan hanya diberikan rawatan biasa. Masalah kesihatannya bertambah serious apabila Norhashimah mengalami muntah darah, muka pucat dan badannya menggigil. Namun, pengurusan program tidak memberikan perhatian dan meneruskan latihan lasak ini untuk Norhashimah. Keadaannya bertambah kritikal dan hanya dikejarkan ke Hospital Banting pada awal pagi 29 Mei 2010. Pada saat ini, keadaan Norhashimah sudah koma.

Keluarga Norhashimah amat kesal kerana pengurusan program DPA dan juga INTAN tidak langsung menghubungi keluarganya untuk memaklumkan keadaan ini. Suami Norhashimah mendapat berita sedih ini daripada pihak hospital yang menghubungi beliau untuk mengesahkan suami kepada Norhashimah. Mengapa penganjur program ini mendiamkan diri? Apakah motifnya? Apakah ada sesuatu yang hendak disembunyikan?

Saya memetik laporan Berita Harian yang mengatakan abang ipar Norhashimah, Zulyusri Zainal Abidin, 33, berkata mangsa pernah mengadu tidak sihat dan dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan ketika menjalani latihan tetapi hanya disahkan demam biasa sebelum kembali ke kem terbabit.

“Norhashimah pernah memberitahu tenaga pengajar yang beliau mahu pulang ke rumah untuk berehat tetapi dimaklumkan, jika enggan meneruskan latihan, beliau perlu menjalani semula latihan berkenaan selepas dua tahun,” katanya ketika ditemui Berita Harian, di pekarangan bilik Unit Rawatan Rapi HTAR, di sini, semalam.

Berita Harian juga melaporkan Zulyusri berkata, walaupun masih dalam keadaan lemah, adik iparnya itu dikatakan dipaksa menjalani latihan sama selepas bersetuju meneruskannya. “Melihatkan keadaan Norhashimah yang lemah, beberapa rakannya mencadangkan beliau supaya berhenti atau mengambil cuti dan cadangan berkenaan dipersetujuinya. “Bagaimanapun, seorang tenaga pengajar datang ke tempat Norhashimah sebelum memaksanya kembali meneruskan latihan. Ketika Norhashimah mahu mengambil sehelai jaket untuk mengurangkan kesan demam, tenaga pengajar terbabit merampas jaket berkenaan dan menyuruhnya terjun ke dalam sebuah parit berlumpur,” katanya.

Zulyusri berkata, selepas beberapa hari, keadaan Norhashimah menjadi semakin lemah serta tercungap-cungap sebelum beberapa rakan pelatih membawanya menemui tenaga pengajar di situ supaya dihantar menjalani rawatan di Hospital Banting (HB).

“Norhashimah hanya ditempatkan di wad HB selama sehari dan pernah memohon pihak kem supaya memaklumkan keadaan dirinya kepada keluarga tetapi tidak diendahkan, sebaliknya tiba semula di kem itu, beliau diarah menjalani latihan walaupun masih lemah.

“Adik ipar saya kemudian jatuh pengsan selepas keadaannya bertambah teruk. Tenaga pengajar kemudian membawanya menjalani rawatan di HB sebelum dipindahkan ke HTAR. Beliau kemudian disahkan mengalami jangkitan paru-paru berair (pneumonia) yang menyebabkannya sukar bernafas,” katanya.

Setelah mendengar penerangan yang diberikan oleh ahli keluarga Norhashimah khususnya suami beliau, kami bertiga; Nurul Izzah, Nik Nazmi dan saya merasa terpanggil untuk melihat isu ini secara keseluruhannya.

1) Mengapa faktor kesihatan dan keselamatan Allahyarhamah Norhashimah diambil mudah oleh pihak urusetia latihan? Mengapa seseorang peserta latihan yang sakit dipaksa untuk meneruskan latihan?

2) Mengapa pihak INTAN tidak memaklumkan kepada suami dan keluarga Allahyarhamah dari mula beliau mengalami demam panas, muntah darah dan jatuh kritikal sehingga dimasukkan ke ICU? Apakah ada usaha untuk menyembunyikan kecuaian atau kecurangan di pihak penganjur latihan?

3) Apa relevannya latihan lasak ala komando untuk pengesahan perkhidmatan pegawai kerajaan yang hanya terlibat dalam aspek penggubalan dasar, pengurusan dan pentadbiran semata-mata?

4) Apakah SOP yang digunapakai oleh pengurusan latihan (INTAN) dalam mengendalikan latihan-latihan lasak seumpama ini? Dan siapakah yang mendapat kontrak untuk mengendalikan latihan dan program jati diri ini? Apakah syarikat kroni ini mempunyai tenaga pengajar yang bertauliah dan rekod pengurusan yang baik?

Kami menuntut dan mendesak kerajaan Persekutuan supaya bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan dan kebajikan anggota-anggota pentadbiran awam dan juga pegawai-pegawai kerajaan yang memberikan khidmat dan sumbangan yang besar dalam perkhidmatan awam untuk membangunkan negara. Beberapa cadangan dikemukakan untuk segera dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan:

(i) Membentuk satu Jawatankuasa Penyiasat Bebas untuk menyiasat kejadian ini secara menyeluruh dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab dalam insiden yang meragut nyawa seorang pegawai kerajaan yang komited dalam perkhidmatannya.

(ii) INTAN dan JPA seharusnya meneliti semula kesesuaian kurikulum yang melibatkan modul latihan ala komando untuk pegawai-pegawai kerajaan. Kurikulum dan modul yang sarat dengan pengisian kualiti pengurusan seiring dengan keperluan sesuatu perkhidmatan perlu diutamakan.

(iii) Modul latihan Kursus Diploma Pengurusan Awam perlu disemak semula dan dipantau oleh Ahli Lembaga yang berkenaan dan memastikan para pelatih dan pengendali program adalah kalangan yang terlatih dan bertauliah.

(iv) Sistem pengurusan kursus harus sesuai dengan keadaan semasa agar bersesuaian dengan kondisi pegawai/peserta dengan tidak menafikan hak kebajikan mereka.

(v) Kelayakan pegawai untuk menyelia sebarang bentuk latihan mestinya mereka yang mempunyai kelayakan dan kepakaran sejajar dengan prinsip “the best officer for the best training”. Ini menjadi amalan di mana-mana institusi latihan pegawai kerajaan seperti Civil Service College Singapura dan Harvard Kennedy School, USA.

Saya berdoa semoga keluarga Saudara Zulkhairi dicucuri oleh Allah SWT dengan kesabaran dan ketenangan yang mendalam serta redha terhadap takdir yang telah ditentukanNya. Saya turut berdoa semoaga Allahyarhamah Norhashimah Wahid dicucuri rahmat dan maghfirah (ampunan) oleh Allah SWT dan mendapat husnul khatimah iaitu akhir yang baik dan ditempatkan di dalam syurga yang penuh ni’mat.

Al Fatihah.

AZMIN ALI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.