Monday, May 3, 2010

Perjanjian Malaysia-Brunei dimeterai Pak Lah tidak sah

KUALA LUMPUR, 3 Mei — Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menyifatkan langkah kerajaan pusat menyerahkan dua blok yang kaya dengan minyak dan gas kepada Brunei awal tahun lalu sebagai tindakan tidak berperlembagaan.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, wakil rakyat Pokok Sena itu mempersoal sama ada kerajaan persekutuan ada menerima kelulusan daripada Dewan Undangan Negeri Sarawak sebelum menandatangani perjanjian sempadan dengan Brunei.

Dengan merujuk kepada Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan, beliau menegaskan kerajaan persekutuan perlu memperoleh kelulusan negeri sebelum meminda sempadan negeri.

“Ini persoalan tentang meminda sempadan seperti sempadan Selangor diubah apabila Putrajaya dijadikan sebagai Wilayah Persekutuan,” kata Mahfuz.

“Dalam memeterai perjanjian dengan Brunei, adakah kerajaan memperoleh kelulusan daripada negeri Sarawak,” katanya.

"Ini satu pelanggaran perlembagaan dan ia bukan sahaja membabitkan pindaan sempadan negeri tetapi juga menyerahkan wilayah kepada satu kuasa asing," kata Mahfuz.

Tegas beliau, Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu timbalan perdana menteri dan kini perdana menteri perlu memikul tanggungjawab.

"Kabinet mesti menjawab, bukannya Ahli Parlimen Kepala Batas MP," katanya,

"Mereka ada memaklumkan Sabah dan Sarawak, tetapi bila? Prosedur-prosedur perundangan mesti diikuti," kata Mahfuz apabila diberitahu bahawa kedua-dua negeri itu sedar tentang perjanjian tersebut.

Pagi tadi, Wisma Putra memaklumkan bahawa Pertukaran Surat antara Malaysia dan Brunei pada Mac tahun lalu telah menyelesaikan isu-isu dua hala tertangguh antara kedua-dua negara melalui penyelesaian secara baik.

Perjanjian itu, yang telah membawa lembaran baru dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara, adalah hasil daripada rundingan sukar selama 20 tahun antara Malaysia dan Brunei mengenai pelbagai isu termasuk maritim dan sempadan,
menurut Wisma Putra dalam kenyataan di sini.

Kementerian Luar itu menyatakan satu daripada elemen penting dalam perjanjian yang ditandatangani oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada 16 Mac 2009, adalah memuktamadkan penyempadanan kawasan maritim antara Malaysia dan Brunei.

Selain mendapatkan kelulusan Kabinet Malaysia mengenai isi kandungan Pertukaran Surat antara kedua-dua negara, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga dirundingi dan diberikan taklimat penuh mengenai perkara itu,kata Wisma Putra.

Bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, dalam blognya pada Khamis, mempersoalkan kenapa Blok L dan M tidak lagi menjadi milik Malaysia dan berkata keadaan itu menyebabkan Malaysia kerugian kira-kira AS$100 bilion (RM320 bilion).

Dr. Mahathir mendakwa penggantinya, Abdullah, telah menyerahkan kedua-dua blok itu sebagai pertukaran kepada Limbang.

Abdullah menjelaskan perjanjian darat dan laut dengan Brunei diluluskan oleh Kabinet dan Malaysia akan dibenarkan mengambil bahagian dalam usaha sama pembangunan minyak dan gas atas dasar komersial di kedua-dua kawasan itu bagi tempoh 40 tahun

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.