Saturday, March 27, 2010

TAJDID POLITIK MALAYSIA - oleh NOBISHA

Seronok berbicara dengan teman-teman petang tadi. Sudah agak lama tidak berbahas dengan mereka isu-isu politik semasa.

Oh, salah! Selepas majlis pelancaran buku “Tunggu Apa Lagi?” petang semalam, saya ke Danau Kota, minum petang dengan blogger tersohor Mohd Sayuti Omar (MSO) dan rakan peguam, Md Radzi Mustafa. Kami tidak berbahas soal politik. Sayuti, Radzi dan saya hanya bercakap mengenai politik muafakat. Pada lain kali saya menulis mengenai isu yang kami bahaskan.

Petang tadi, saya berbicara dengan beberapa orang sahabat mengenai politik Malaysia. Seorang sahabat kata, istilah “transformasi” yang Perdana Menteri gunakan tak betul.

Saya senyum. Saya faham sangat kawan saya ni. Lalu, saya memancing beliau dengan soalan, “Habis tu istilah apa yang betul?”

Cepat-cepat dia jawab, “Reformasi.”

Oleh kerana saya dah kenal lama dengan dia, maka saya bergurau, “Reformasi atau Reformasin?” Kami sama-sama ketawa. Secara kebetulan ada blog satira politik yang dinamakan “Reformasin.”

Pagi tadi, seorang sahabat Facebook menghantar mesej kepada saya. Katanya, kedua-dua istilah “reformasi” dan “transformasi” tak betul.

Huh? Mengapa tak betul?

Dia jawab, “Reformasi tu macam tampal-tampal dan tampung-tampung.” Kalau jalan berlubang, tampallah. Selepas tu, apabila hujan, jalan berlubang kembali.

Dia menambah, “”Transformasi pulak macam menyusun semula perabot yang ada dalam rumah. Perabot sama, cuma ubah tempat saja.”

Saya tanya, “Habis tu apakah istilah yang betul?”

“Tajdid!” katanya sambil menambah, “Tajdid bermaksud mengembalikan sesuatu kepada sifat asalnya sebab sesuatu itu adalah baik pada asalnya.”

Saya sempat membelek buku “Risalah Usrah” tulisan Abu Urwah (Saari Sungip, ADUN Hulu Kelang). Beliau menulis, “Istilah tajdid yang sebenar membawa pengertian satu pembaharuan dalam membangkitkan komitmen umat Islam terhadap Islam dalam bentuknya yang suci dan bersih.”

Lalu, saya memberitahu sahabat-sahabat pada petang tadi, “Apa yang kita perlukan dalam politik Malaysia ialah tajdid; mengembalikan politik kepada asasnya.”

Tajdid UMNO; kembalikan roh pemimpin dan ahli kepada perjuangan parti itu. Sultan Selangor Almarhum Sultan Sir Hishamuddin sewaktu merasmikan Kongres Melayu Pertama yang membuat usul penubuhan UMNO mengingatkan agar perjuangan itu harus berteraskan kepada dua iaitu agama dan bangsa. Malah, baginda juga mengingatkan mereka agar jangan lupa berhenti untuk solat walaupun sedang bersidang. Begitu sekali.

Malangnya, semangat ini hilang dari sesetengah ahli UMNO. Sebahagiannya masuk UMNO kerana ingin berniaga. Maka, mereka mengusung envelope projek ke sana-sana. Apabila berhadapan dengan tribulasi perjuangan, mereka lari dulu. UMNO perlu melihat keseluruhan sistem dan mengembalikannya kepada asal. UMNO bukan tiket untuk membeli akses kepada gerbang kuasa dan kelulusan projek. Itu tajdid.

PAS pun kena lakukan tajdid. Dalam konteks pemasaran sosial, “PAS for All” boleh diterima. Dalam konteks perjuangan, tak cukup untuk sekadar meraih undi. Kemenangan dalam perjuangan bukan sekadar menang pilihanraya. Kemenangan sebenar ialah mendapat keredaan Allah s.w.t. Kalau kalah di dunia tetapi mendapat keredaan Allah s.w.t., ini lebih baik daripada menang tetapi penuh dengan muslihat sampai orang bertanya, “Adakah ini Islam yang kamu bawa?”

Suatu masa dulu, pemimpin dan ahli-ahli PAS cukup berdisiplin. Hari ini nampak kurang dalam aspek ini.Sesetengahnya tak rasa bersalah memberikan gelaran buruk kepada lawan. Entah apa akhlaknya, saya tak tahu. Apa yang saya tahu ialah perkataan “Al Juburi” bukan mula dipopularkan oleh orang UMNO!

Hujah sesetengah pemimpin PAS nampak sangat mereka meletakkan kemenangan pilihanraya sebagai satu keutamaan. Sebab itulah rakyat melihat kenyataan sesetengah pemimpin berbelit-belit. Orang lain buat haram, dia buat OK. Inilah haram politik. Don’t insult our intelligence. PAS juga perlu melakukan tajdid!

Dah terlanjur bercakap mengenai UMNO dan PAS, elok juga bercakap tentang PKR. Walaupun ia parti multiras, asasnya PKR dipimpin oleh orang Islam. Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail orang Islam. Timbalannya Syed Husin Ali juga orang Islam. Malah, Dato’ Zaid Ibrahim yang disebut-sebut bakal mengambilalih jawatan Timbapan Presiden PKR juga orang Islam. Oleh itu, pemimpin PKR mestilah kembali kepada asas Islam. Saya menyeru UMNO, PAS dan PKR melakukan tajdid dan kembali kepada asas perjuangan Islam.

Dalam konteks PKR, saya melihat ia terlalu liberal. Malah, lebih liberal dari UMNO. PAS perlu berdakwah kepada pemimpin PKR. Usah berkawan dengan PKR dan DAP hanya untuk mendapatkan undi dan menang pilihanraya saja.

Inilah yang saya lihat dalam politik Malaysia. Reformasi dan transformasi tidak dapat menyelesaikan kekusutan.

Politik Malaysia memerlukan tajdid!

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.