Edisi Mahkamah: Hakim Tersilap Ketika Putuskan Bahawa Tidak Terdapat Unsur Berat Sebelah Bagi Perbicaraan Kes Fitnah Liwat Anwar Ibrahim Itu !
PUTRAJAYA 11 Mac [4.45 pm] - Hakim Mahkamah Tinggi tersilap ketika memutuskan bahawa tidak terdapat berat sebelah yang serius sekiranya beliau meneruskan untuk mendengar perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Inilah di antara empat alasan yang terkandung dalam petisyen rayuan Anwar untuk memohon Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Hakim Datuk Mohammad Zabidin Mohd. Diah pada 18 Februari lepas untuk tidak menarik dirinya daripada mendengar perbicaraan kes liwatnya. Petisyen rayuan itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan menerusi firma guaman Tetuan S.N. Nair and Partners semalam. Mahkamah Rayuan telah menetapkan 19 Mac untuk mendengar rayuan itu. Ketua Umum PKR itu sedang menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Anwar, 63, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan. Perbicaraan kes liwat itu telah ditangguhkan pada 25 Mac untuk sebutan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan terhadap rayuan Anwar.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.