Monday, February 1, 2010

Tekad Mengharungi Gelombang Fitnah - By Anwar Ibrahim

Sekembalinya dari Manila semalam, saya berkesempatan mengunjungi ayahanda di kediamannya sebelum ke majlis anjuran ABIM yang dilansungkan di Kajang. Pertemuan ini sungguh bermakna kerana ianya dihadiri sahabat seperjuangan dekad 70an dan awal 80an dahulu dan disertai lapisan pimpinan muda yang bersemangat. Paduan generasi sebegini, inshaallah akan memantapkan lagi dakwah dan usaha ABIM menyampaikan mesej Islam yang sejagat.

Antara sahabat lama yang hadir ialah Sdr Siddiq Fadhil, Sdr Idris Jauzi, Ustaz Abdul Halim El Muhammady, Sdr Ridhuan Othman dan Sdr Muhd Nur Manuty. Alhamdulillah ukhuwwah di antara kami ternyata kukuh sungguhpun kadangkala ada perbezaan pendapat. Saya juga mengambil kesempatan, selain dari menghimbau pengalaman lalu dengan tokoh seperti almarhum Muhammad Natsir, Profesor Syed Naguib, almarhum Profesor Syed Hussein Alatas dan almarhum Profesor Ismail Raji Al Faruqi mengungkapkan kepentingan organisasi Islam untuk kekal relevan di zaman ini.

Demonstrasi Baling antara bukti kesejagatan mesej dakwah menuntut keadilan dan menumpaskan kezaliman. Ianya juga merupakan upaya yang melintasi sebarang sempadan fahaman serta kepercayaan. Saya juga terharu keperihatinan teman-teman terhadap fitnah yang ditohmahkan ke atas saya dan keluarga. Moga dengan berkat doa semua, inshaallah saya dan keluarga, dapat mengharungi ujian Allah SWT ini.


Fitnah yang dipintal membuktikan pimpinan umno-barisan nasional bersungguh-sungguh mahukan saya dihumban ke dalam penjara. Siang malam media yang dikongkong mengolah propaganda bertujuan merasuk minda dan nurani rakyat. Saya digambarkan kononnya takut berhadapan dengan mahkamah dan sengaja melengah-lengahkan perbicaraan.


Aduhai, janganlah kerana nak mengampu, integriti dan maruah diri digadaikan. Apa yang saya dan barisan peguam pembela lakukan adalah untuk menuntut keadilan dilaksanakan sepenuhnya. Kami menuntut satu proses perbicaraan yang adil serta bebas. Keengganan pihak pendakwa menyerahkan dokumen serta bukti sesuai dengan peruntukan seksyen 51A Kanun Acara Jenayah menzahirkan hasrat mereka untuk menjadikan perbicaraan ini umpama satu serangan hendap, sedangkan ini bersalahan dengan prinsip kedaulatan undang-undang yang menuntut agar kes ini dibicarakan secara adil.


Kelihatannya serangan bertali arus dan usaha memenjarakan saya bertujuan memporak perandakan Pakatan Rakyat. Namun mereka lupa, ikatan yang mengikat perjuangan Pakatan Rakyat berasaskan kemahuan dan cita-cita membawa Perubahan kepada negara ini.


Kita sedar di sebalik sogokan muluk-muluk oleh kerajaan yang diperintah umno-barisan nasional, negara sebenarnya berada di kedudukan yang tenat. Ekonomi tidak memperlihatkan keupayaan yang menyegarkan dan hubungan antara kaum meruncing. Harga barang semakin meningkat dan apa yang mampu dilakukan oleh pimpinan negara hanyalah menasihati rakyat agar cermat berbelanja serta menggesa kita untuk perihatin dengan saudara kita yang lain.


Akan tetapi persoalannya, apakah upaya pemimpin, ketika negara memerlukan pimpinan membawa rakyat keluar dari kemurungan? Jawapannya tidak ada! Tidak ada tindakan yang jitu, berkeyakinan dan imajinatif. Semuanya serba kaku.


Di sebalik tohmahan akan kelemahan muafakat ini, kita sudah berjaya melahirkan dokumen bermakna yang dikenal sebagai “Dasar Bersama Pakatan Rakyat.” Ianya dilakarkan selepas perdebatan dan perbincangan secara terus terang demi menggarap hala tuju negara. Proses bersejarah itu bahkan mematangkan serta memperkukuh kerjasama di antara kami. Yakinlah muafakat ini bukanlah satu ikatan rapuh bahkan mampu memimpin negara keluar dari kelesuan yang sekian lama menghinggapinya.


ANWAR IBRAHIM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.