Wednesday, February 24, 2010

S: Adakah Dr rasa perbuatan oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) itu adalah satu konspirasi?

J: Sudah tentu. Saya rasa ini adalah salah satu daripada konspirasi . Akan tetapi, saya tidak tahu siapakah dalang di sebalik konspirasi tersebut.

Ini kerana, tidak dapat dibayangkan untuk penangkapan hanya tak ada tauliah menggunakan kuasa polis yang sebanyak itu dan menggunakan pegawai Jais yang begitu ramai dan saya menganggap perbuatan itu adalah salah satu usaha yang bertujuan untuk memalukan saya.

Mereka mahu saya kelihatan keluar dengan keadaan tangan saya digari dan ia seolah-olah mahu menghina saya supaya dengan itu moral saya akan jatuh.

S: Boleh Dr jelaskan tentang dakwaan Jakim bahawa sijil yang dimiliki Dr itu adalah sijil palsu?

J: Mereka (Jakim) bukan dakwa sijil saya di UIA. Sijil saya di UIA adalah sijil PhD, UIA juga tahu kerana ia mudah untuk disemak. Kemudian Master saya di USM dalam jurusan pengajian Islam. Tapi, sijil yang didakwa palsu, yang tidak dimiliki itu adalah sijil saya di University of Jordan.

Saya ada rakan-rakan dari University of Jordan. Mereka tahu, memang ada bidang syariah pada zaman itu. Saudara Zamihan dari Jakim kata ini adalah bohong, saya memalsukan sijil. Bayangkan saya adalah bekas mufti, saya ‘public figure’ dalam negara ini, dia kata saya telah melakukan pemalsuan sijil. Ini adalah suatu perkara yang besar, bukan satu perkara remeh.

S: Boleh Dr perjelaskan dengan lebih terperinci tentang dakwaan itu?

J: Dia tidak pertikaikan saya ada sijil ini, sebaliknya mempertikaikan ada stroke syariah. Di sini, sijil ini menunjukkan pengkhususan saya ialah Bahasa Arab dan Syariah Islamiah. Dia kata saya cuma ada kelulusan Bahasa Arab sahaja, Syariah tidak ada.

Bayangkan. Yang pertama bohong, yang keduanya, jikalah benar saya telah ada Master dalam pengajian Islam dan PhD dalam Hadis...Dan kemudian, saya nak tanya. Ramai lagi mufti dalam Malaysia ini, pernahkah dia bertanya tentang sijil mereka? Tapi, kenapa perkara ini nak dibangkitkan?

Saya ingat, ia bermula di Jais sebab itu saya ingin mengingatkan bahawa Jakim jangan bertindak sesuatu sehingga menyebabkan orang menyangka perkara ini ada kaitan dengan kerajaan pusat, setelah Perdana Menteri (PM) menafikannya. Jika dia (PM) nak sabotaj saya, saya ingat nanti dia akan sabotaj juga kerajaan pusat. Saya harap esok (semalam) Pengarah Jakim akan membuat kenyataan berhubung kenyataan pegawainya ini, iaitu Zamihan Mat Zain. Ini tuduhan yang saya rasa malu nak jawab benda-benda macam ini.

Bayangkan, isunya adalah berkenaan dengan tangkapan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kepada saya. Tiba-tiba timbul tentang masalah sijil saya palsu pula. Tidakkah ini dapat dilihat sebagai satu rentetan untuk menjatuhkan kredibiliti saya?

Apa yang dipersoalkan oleh mereka adalah tentang perkataan Syariah itu, dia nak bagitau masyarakat bahawa saya bukan orang yang pernah belajar tentang Syariah. Anda semua tahu ada apa di sebalik kenyataan ini?

Dia cuba untuk mereka sesuatu yang akan membuatkan semua orang tidak akan mempercayai saya.

S: Adakah Dr akan mengambil tindakan terhadap orang yang membuat kenyataan tersebut?

J: Saya rasa perbuatan itu cukup melampau. Hari ini juga pelbagai pihak guaman telah menghubungi saya dan menawarkan perhidmatan percuma supaya mengambil tindakan saman malu terhadap fitnah dan penghinaan yang dilemparkan kepada saya.

Saya rasa dukacita untuk melakukan perkara tersebut, ni ustaz nak saman ustaz ni..Saya rasa ia suatu perkara yang berat, tetapi saya nak ingatkan kepada individu tersebut bahawa ini ada implikasi undang-undang dan orang seperti ini...kalau ada individu-individu seperti ini duduk dalam badan-badan kerajaan atau mana-mana organisasi, menyalahgunakan kuasa untuk menjatuhkan orang lain..ia menjadi liabiliti kepada mereka, suatu benda yang menyusahkan dan memalukan institusi itu.

S: Bagaimana dengan metodologi wahabi yang sering dikaitkan dengan penyampaian kuliah atau ceramah?

Kita nak supaya jais dan mana-mana negeri yang suka menuduh orang wahabi, supaya berikan apa makna wahabi. Kita tak tahu apa itu makna wahabi. Kalau saya kata beri pandangan yang berbeza dengan Jais itu adalah wahabi..Ooohh, kalau macam tu ramai manusia itu wahabi.

S: Tapi, pada pandangan Dr sendiri apa itu Wahabi?

J: Secara jujurnya, pada pandangan saya, Wahabi itu bukanlah mazhab, tetapi pergerakan yang berlaku di Saudi dan pergerakan ini banyak sumbangannya, tidak dapat dinafikan. Ada juga beberapa pandangan yang kita rasa mungkin kita tidak dapat terima 100 peratus.

Begitu juga pendekatan di Arab Saudi umpamanya, ulamaknya mewajibkan pemakaian purdah..Saya tidak fikir begitu. Tapi, saya tidak boleh hina purdah kerana itu satu pendapat.

Tapi, kalau tanya saya, saya kata itu tidak sesuailah. Pada nas atau pada apa pun, itu pada penilaian saya. Banyak juga pandangan saya yang tidak sama. Tapi, kalau kata berbeza mazhab, Jais sendiri juga berbeza.

Dalam perbankan Islam di negara kita ini pun berapa banyak pandangan-pandangan luar daripada mazhab Shafie. Tapi, mengapa mereka tidak dituduh wahabi? Dalam zakat juga sama. Dan, kalau kata kerana tidak Qunut, berapa ramai lagi orang yang tidak membaca Qunut tapi kalau itu pun nak buat tangkapan menggunakan polis, lebih baik pergi buat operasi, tangkap orang yang tidak bersolat.

Saya fikir, apa ni?berilah rasional, dan kes ini belum selesai. Mereka hanya menunggu masa untuk memanggil dan mendakwa saya. Masalahnya, dia sedang menyiasat, dan mencari tuduhan. Macam mana ni? Orang ada kes dulu baru tangkap. Ini tidak, tangkap dulu, baru cari apa salah awak.

S: Adakah Dr akan menyaman Jais di atas tangkapan yang dibuat? Dan berdasarkan tawaran yang dibuat oleh peguam seperti yang dinyatakan tadi?

J: Saya memang dinasihatkan untuk itu, tetapi..Yalah, awak semua pun tahu nak saman badan Islam..Macam-macamlah perasaan saya sebagai orang Islam sendiri, bercampur-campur. Tetapi ini telah melamoaui batasan.

Insyaallah mudah-mudahan hati saya besar. Saya sebenarnya, bukan apa. Walaupun ia kena pada diri saya, tapi saya melihat survival negara. Saya mengharapkan titik tolak ini akan memberikan ruang kepada orang lain dalam negara ini untuk boleh bercakap dalam soal agama dengan lebih luas. Kalau satu orang tu sudah ada sijil Sarjana ataupun Master atau PhD daripada pengajian Islam, di universiti-universiti Islam...Berilah peluang untuk dia bercakap. Kalau benar-benar dia ada kes, betul dan terbukti menyeleweng, sesat, awak dakwa dia.

Kenapa mesti dia dah dapat PhD, dapat Master, kena pergi menghadap pegawai-pegawai Jais..Bukan saya nak menghina mereka tetapi, sebahagian daripada mereka tak ada sijil tinggi pun. Kemudian, kena menghadap pulak mereka, mereka buat kesimpulan boleh dapat atau tidak, berapa lama kena ‘renew’ pula, dua tahun kena renew pulak, lepas itu pergi temuduga pulak..Saya nak mereka memberikan definisi apa itu ‘religious teaching?’ Kalau orang Islam tidak boleh bercakap tentang isu Islam, habis saya nak bercakap macam mana?

Saya ditangkap di dalam rumah. Sekarang ini saya bercakap, agama tidak membenarkan kita, Islam untuk memfitnah, berbohong dan menganiayai orang. Ini agama. Ertinya saya boleh ditangkap. Esok (semalam), saya dijemput oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk satu seminar, bercakap tentang kaunseling di dalam Islam. Saya dikatakan tiada tauliah. Tetapi, saya dijemput oleh universiti, jadi maknanya saya boleh ditangkap jugalah kerana saya tidak mempunyai tauliah, walaupun saya dijemput atas kapasiti saya sebagai pensyarah universiti yang ada PhD dalam bidang agama. Tak boleh juga kerana itu di Selangor, kalau ikut pada pentakrifan itu.

Jadi apa ini? Oleh sebab itu, saya memuji Pulau Pinang kerana Pulau Pinang antaranya negeri yang bebas. Dan saya harap, dengan perubahan politik di Selangor, Selangor sepatutnya membuka ruang lebih luas untuk mendengar hasrat rakyat.

Saya tahu, kalau mereka sendiri fikir dengan perkembangan sejak akhir-akhir ini, rakyat bukan suka buat macam ni. Rakyat suka diberi kebebasan.

S: Jadi, Dr akan saman atau tidak pihak berkenaan?

J: Untuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), saya akan ambil tindakan. Untuk Jais, saya tidak menyalahkan mereka, tetapi kesal dengan cara operasi itu dibuat.

S: Adakah Jakim perlu memohom maaf secara terbuka kepada Dr tentang apa yang telah berlaku?

J: Jakim memang perlu meminta maaf kepada saya. Tapi, Jais ni saya minta bos dia lihat upacara atau peristiwa tangkapan itu dibuat.Sekarang ada dalam internet.

Jakim mesti bertanggungjawab kerana dalam laporan sebuah akhbar menulis bahawa Jakim, melalui pegawainya, Zamihan Mat Zain mengatakan Asri palsu. Siapa Zamihan Mat Zain ini? Adakah dia juga ada tangan-tangan ajaib yang tahu siapa dalang di sebalik semua ini. Tiba-tiba dia nak msuk campur daripada cerita tangkapan kepada cerita sijil ini?

S: Adakah Dr akan menerima tawaran daripada Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)?

J: Saya belum menerima official letter daripada Yadim dan tidak berangan-angan untuk melihat official letter itu. Kalau ia datang, sehingga setakat ini saya sudah mengatakan yang saya tidak berminat ke arah itu.

S: Bagaimana pula dengan cabaran bekas Yang DiPertua Yadim, Datuk Nakaie Ahmad yang mahu Dr membuktikan tuduhan menyeleweng seperti yang dilaporkan dalam akhbar?

J: Kenapa dia cabar saya? Saya cuma kata saya meminta pihak audit supaya melakukan audit kepada Yadim. Kenapa dia begitu sensitif? Kalau boleh saya nak tahu juga, ramai orang besar menyebut tentang pengendalian urusan perbelanjaan Yadim ini. Ramai yang mengatakan Yadim mempunyai aset, bangunan di Indonesia. Kenapa sampai perlul ke Indonesi? Sedangkan kita di Malaysia ni pun ramai lagi yang belum dapat.

Bukan saya tuduh, tetapi saya tanya mengapa dalam waktu yang terdekat sebelum beliau berhenti, membeli bangunan yang berharga jutaan, dalam tempoh itu, dan disegerakan.

Saya tanya sebab saya rakyat Malaysia dan in adalah ‘public fund’, wang umum, wang rakyat. Antara sumber utama Yadim adalah dari kerajaan. Saya tak tahu kenapa tiba-tiba dia cabar saya.

S: Jika selepas ini kurangnya serangan, adakah Dr akan berfikir untuk menerima tawaran di Yadim?

J: Buat masa ini, saya tidak beminat. Jika keadaan berubah, suasana lebih munasabah,saya tak tahu..mungkin boleh dipertimbangkan. Kerana tawaran Yadim ini bukan tawaran bersurat, tetapi tawaran daripada mulut PM yang dimaklumkan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada saya. Dan, sekali lagi perkara tersebut dimaklumkan PM ketika berucap di Janda Baik, Pahang, dan ada juga sebahagian daripada pemimpin besar negara sudah pun mengucapkan tahniah kepada saya. Pun begitu, saya tidak menerima sebarang surat menyurat berkenaan hal itu. - Azila Sinar Harian

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.