Tuesday, February 2, 2010

Penduduk Bukit Botak Bakal Terima Rumah Semi D dari Kerajaan Negeri Selangor

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat hari ini memberikan semula hak tanah yang dinafikan oleh Umno-Barisan kepada penduduk Bukit Botak selama 20 tahun.

Setelah hampa dalam cubaan mendapatkan pembelaan daripada kerajaan negeri lalu, pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyelesaikan kemelut penduduk berkenaan pada perjumpaan dengan mereka petang tadi .


Kerajaan Selangor menawarkan untuk membina rumah berbentuk semi-D untuk 1400 keluarga di Bukit Botak dan menjualnya kepada mereka pada harga lebih rendah dari pasaran.


Lebih sembilan puluh peratus daripada penduduk bukit Botak hadir pada sessi dialog ini.


Selain Tan Sri Abdul Khalid, kerajaan negeri turut diwakili oleh EXCO Kerajaan negeri Iskandar Abdul Samad dan pegawai-pegawai kanan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.


Tan Sri Abdul Khalid bersama wakil PKNS memberikan taklimat mengenai usaha pembangunan semula Bukti Botak yang tergendala dalam zaman pemerintahan Umno-BN dalam tahun lapan puluhan.


Khalid tegas menyatakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak akan memberi janji kosong kepada penduduk di sini.


"Taklimat cadangan pembangunan yang diadakan di Dewan Sri Siantan Selayang hari ini dan memberikan komitmen kerajaan negeri komitmen Kerajaan Negeri, memberikan penjelasan yang saya rasa akan menguntungkan rakyat, akan menguntungkan mereka-mereka yang telah kita janjikan sejajar dengan dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor" ujar Khalid.


Beliau berkata kira-kira 1,442 rumah teres berkembar akan dibina dalam tempoh tidak melebehi 24 bulan untuk membolehkan penduduk bukit botak mendapatkan hak kekal untuk menetap di sini.


Projek ini akan membabitkan tanah seluas 55.8 hektar dan dijual pada penduduk dengan harga RM99 ribu.


Harga pasaran untuk unit rumah berkenaan ialah RM175 ribu sebuah.


Khalid menambah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan kerjasama pakar telah melakukan kajian untuk memastikan penduduk Bukit Botak mendapat tempat tinggal yang selesa buat mereka.


"Dalam kajian-kajian PKNS bersama dengan pakar-pakar, arkitek, QS dan juga pihak akauntan, mereka akhirnya membuat keputusan mencadangkan pembinaan rumah yang sesuai dengan keadaan tanah-tanah tersebut dengan nilai boleh dikemukakan kepada masyarakat Bukit Botak dengan harga RM 99 ribu ringgit" tambahnya.


Penduduk Bukit Botak juga diberi pilihan samada menerima rumah tersebut dengan harga yang ditawarkan ataupun menjual rumah itu kepada PKNS dengan harga pasaran semasa.


"Mereka juga bersedia menjamin, jika mereka tidak mahukan rumah tersebut apabila sudah siap, PKNS menjamin untuk membelinya dengan harga RM170 ribu".


Difahamkan, rumah berbentuk Semi D ini mempunyai 3 bilik tidur dan 2 bilik air dan diterap gaya binaan berunsur kontemporari moden.


Kerajaan negeri juga berjanji akan melantik kontraktor berkemampuan untuk membangunkan projek ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.