Saturday, January 30, 2010
Soal-siasat kes hasutan, Manogaran membisu - malaysiakini
Ahli parlimen Teluk Intan M Manogaran dipanggil untuk siasatan polis hari ini, berhubung ucapannya pada satu ceramah minggu lalu yang mengaitkan Umno terlibat dalam serangan ke atas rumah ibadat.
Kenyataannya direkodkan di ibu pejabat polis daerah Setapak mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.
Manogaran yang dihubungi selepas disoal siasat berkata dia dimaklumkan laporan mengenainya difailkan di Teluk Intan berhubung ucapannya pada satu ceramah baru-baru ini.
"Sessi berlangsung satu jam dan saya diajukan 20 soalan berhubung kandungan ucapan saya," katanya.
Bagaimanapun, katanya dia memilih untuk berdiam diri pada sessi itu.
"Saya hanya akan beri keterangan di mahkamah jika didakwa," katanya
Manogaran mendakwa dia meminta sesalinan ucapannya dari pegawai polis berkenaan tetapi diberitahu yang mereka tidak mempunyainya.
Peguamnya N Surendran berkata ucapan ank guamnya itu tidak berunsur hasutan tetapi sebaliknya hanya menyentuh isu yang berkepentingan nasional. Ucapan Manogaran itu dibuat pada satu ceramah bersama beberapa pemimpin PKR termasuk ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim di Teluk Intan pada 22 Jan lalu.
Pada ucapan berkenaan, beliau secara umumnya mendakwa Umno terlibat dalam siri serangan ke atas rumah-rumah ibadat.
"Tapi saya kata begitu dalam konteks Umno sebagai tulang belakang kerajaan. Jadi apa-apa yang berlaku kepada rakyat, Umno mesti bertangungjawab," katanya sebelum memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah Setapak petang ini.
Tambahnya lagi, beliau bagaimanapun tidak mempunyai rekod ucapan berkenaan kerana berucap secara spontan tanpa teks pada ceramah di Cenderiang Balai itu
"Saya bercakap tanpa teks dan tidak mempunyai rekod ucapan tersebut. Polis ada rakaman (ucapan) itu dan saya nampak ada juga beberapa orang yang merakam dengan kamera video," katanya lagi. Dihubungi tiga hari lalu Tambahnya, polis Teluk Intan telah menghubunginya sejak tiga hari lalu untuk merakam keterangannya, namun beliau tidak dapat berbuat demikian kerana berada di Kuala Lumpur.
"Hanya hari ini saya lapang untuk bertemu mereka di Kuala Lumpur," katanya lagi yang menyifatkan tindakan polis memanggilnya memberi keterangan itu sebagai "prosedur biasa."
"Cuma, saya harap ini bukan bermotifkan politik semata-mata sebab saya sebut Umno terlibat (dalam insiden serangan ke atas rumah ibadat)," katanya lagi.
Manogaran merupakan individu pertama yang disiasat polis kerana mengaitkan Umno dalam insiden serangan ke atas rumah ibadat.
Naib presiden PKR, Azmin Ali turut membuat kenyataan serupa kelmarin dengan mendakwa beliau mempunyai bukti bahawa ahli Umno terbabit dalam serangan 8 Jan itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam berkata polis tidak akan mengambil kenyataan daripada Azmin berhubung dakwaan itu yang diketepikan sebagai "kenyataan politik."
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.