Friday, January 22, 2010

KEBAKARAN YANG TERUS MENIMBULKAN MISTERI

Kapal pengangkut terbesar Malaysia KD Inderapura telah pun 'bersemadi' di perairan Selat Melaka. Kapal ini terpaksa ditenggelamkan kerana kebakaran yang hampir memusnahkan kapal itu sama sekali. Kerugian dianggarkan puluhan juta ringgit.

Dalam Lima 2009 baru-baru ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi mengumumkan hasil siasatan menunjukkan kebakaran kapal itu berpunca dari litar pintas. Bila sebut litar pintas ia boleh berlaku tanpa dijangka. Lebih-lebih lagi bagi kapal yang telah lanjut usia seperti KD Inderapura. Aspek penyelenggaraan dan pendawaian juga boleh menjadi punca litar pintas. Hal-hal pendawaian dan penyelenggaraan kapal pastinya dilakukan oleh kontraktor yang dilantik oleh kerajaan. Pegawai Pemerintah kapal tidak ada kuasa untuk menentukan siapa yang diberi tender untuk melakukan kerja-kerja berkenaan.


Tetapi hari ini Panglima TLDM Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengumumkan bahawa Pegawai Pemerintah KD Inderapura akan dihadapkan ke mahkamah tentera atas kebakaran yang berlaku. Memanglah pegawai pemerintah bertanggungjawab penuh terhadap kapalnya tetapi dalam kes ini timbul kesangsian kerana Menteri Pertahanan mengumumkan bahawa faktor fizikal kapal yang menjadi punca kebakaran dan bukan faktor kecuaian.


Sepatutnya yang disiasat ialah siapa yang melantik kontraktor terbabit. Adakah berlaku penyelewengan terhadap kerja-kerja penyelenggaraan ? Saya bukan hendak membela pegawai pemerintah terbabit, tetapi apa yang dibimbangi pegawai itu sekadar menjadi 'kambing hitam' di sebalik kejadian yang berlaku. Dalam hal ini Panglima TLDM dan Menteri Pertahanan mempunyai tanggungjawab penuh atas segala yang berlaku.

sumber: angkasanuri

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.