Saturday, December 5, 2009

MPS: Kami tidak ikut telunjuk DAP

Majlis Perbandaran Seremban (MPS) tidak mengeluarkan notis berpindah rumah seorang ibu tunggal selepas desakan DAP didakwa wanita tersebut, kata Yang Dipertuanya Datuk Abd Halim Abd Latif.
"Saya bertindak atas dasar peraturan dan undang-undang, bukan kerana pembangkang. Saya tidak benarkan unsur-unsur dan pengaruh politik masuk dalam pentadbiran saya."Saya ikut peraturan, tidak ada kena mengena dengan parti politik. Penduduk sekeliling marah dan tidak berpuas hati."Rumah itu menghalang pintu masuk dan jejaskan laluan ke rumah mereka," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Beliau diminta mengulas kebimbangan Zarina Bee Mohd Ibrahim kerana rumah yang sudah didiami oleh keluarganya lebih 130 tahun sejak 1876 di Kampung Temiang akan diroboh oleh MPS. Zarina Bee, 65, yang kini menetap di rumah kayu itu bersama-sama seorang anak lelakinya, mendakwa tindakan MPS tersebut dibuat ekoran desakan parti pembangkang. Wakil rakyat DAP bagi Temiang, Ng Chin Tsai semalam mengakui pernah menulis surat kepada MPS memohon memindahkan rumah tersebut atas alasan menghalang pembinaan jalan. Bagaimanapun ADUN itu mendakwa beliau tidak pernah meminta pihak berkuasa tempatan itu merobohkan rumah Zarina Bee yang terletak di belakang pejabatnya. Dihubungi pagi ini, Abd Halim berkata MPS bersedia menimbang melanjutkan tempoh untuk ibu tunggal itu berpindah dari rumahnya dan sedia berbincang dengan wanita itu. Beliau bagaimanapun berkata tidak timbul isu bayaran pampasan kerana rumah itu dibina di atas tanah rizab jalan milik kerajaan negeri. Abd Halim juga menjelaskan, isu pemindahan rumah Zarina Bee bukanlah satu perkara baru kerana arahan supaya beliau berpindah, telah dikeluarkan sejak 2005 lagi. Bagaimanapun, katanya, wanita itu enggan berpindah dari itu dan isu tersebut berlanjutan hingga sekarang, tetapi beliau tidak pasti sebab mengapa enggan berbuat demikian. Beliau menambah, MPS dan pejabat tanah pernah berbincang dengan Zarina Bee mengenai perkara itu dan ibu tunggal tersebut berjanji untuk untuk berpindah. Bagaimanapun katanya, sehingga hari ini, Zarina Bee masih belum berbuat demikian. Menurut Abd Halim lagi, MPS sedia berbincang dengannya kerana tidak mahu memaksa ibu tunggal itu tergesa-gesa berpindah. Beliau juga berkata, difahamkan ibu tunggal tersebut mempunyai sebuah rumah yang lain.
"Kalau dia perlukan tiga bulan untuk berpindah (ke rumah baru), kita beri. Kita bukan zalim. Saya tunggu, tidak ada masalah," katanya.
sumber: malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.