Monday, December 21, 2009

Kabinet harus bertanggungjawab kehilangan enjin F-5E

Kabinet perlu bertanggungjawab keatas kehilangan enjin pesawat pejuang F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia. Menyifatkan kehilangan aset tentera ke tangan syarikat asing sebagai kebocoran serius keselamatan negara, Ahli Parlimen Johari Abdul berkata, kesalahan tidak harus dibebankan pada bahu pegawai tentera semata-mata.
"Bukan pegawai kerajaan yang harus dipersalahkan, tetapi yang harus dipersalahkan ialah mereka yang menjaga polisi iaitu kabinet dan seluruh jawatankuasa kabinet," katanya ketika dihubungi, petang tadi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, enjin bernilai RM50 juta ini dikesan hilang dari Gudang Material Udara 1, Pengkalan Udara Sungai Besi pada 2007 dan didapati telah dijual kepada sebuah syarikat di Amerika Selatan.
“Didapati bahawa sistem penghantaran oleh pihak Tentera Udara Diraja Malaysia ini mempunyai sistem yang cukup baik tapi mungkin disebabkan ianya dilakukan oleh sekumpulan pegawai bawahan yang cukup terancang dengan pihak luar,” katanya.

Zahid menambah sistem inventori pertahanan akan dirombak dengan serta-merta sebagai respon kepada kecurian ini.

Johari walaubagaimanapun menyeru satu siasatan terperinci dijalankan dengan hasil laporan siasatan itu diserahkan ke persidangan Dewan Rakyat tahun hadapan.

"Rombakan sahaja tidak mencukupi, kita mahu investigation dilakukan dan semua mesti dimaklumkan kepada parlimen. Dan kita pasti akan bertanyakan soalan ini dan seluruh pembangkang pasti akan mengupas isu ini secara halus," katanya.
Ahli Parlimen ini tidak yakin hanya empat suspek terlibat dalam kes penyeludupan aset tentera ini. - FANSURINA ABDULLAH

sumber: tv selangor

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.