Kes pembunuhan wanita Monggolia, Altantunya Shariibuu sedikit masa dulu telah menggemparkan seantero dunia. Nama Malaysia telah dicemari gara-gara sikap dan jenayah yang dilakukan oleh segelintir manusia yang sebenarnya tidak berperikemanusiaan.
Ramai yang terkejut dengan berita terkutuk itu. Tambah menyedihkan ialah pembunuhan itu dilakukan secara terperinci dan mayatnya diletupkan bagi tujuan untuk menghilangkan segala bukti. Namun, "sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua". Letupan terhadap mayat yang amat dasyat menggunakan bom "C4" itu telah berjaya juga dihidu dan dikesan oleh pihak polis selepas menerima aduan daripada orang yang berkenaan. Hasilnya, penemuan serpihan tulang mangsa disiasat dan mulalah penangkapan demi penangkapan berlaku. Kelihatan pihak polis begitu telus dan profesional menjalankan tugas mereka, hingga berjaya menjejaki dalang disebalik kejadian ngeri tersebut. Akhirnya, tertuduh dibicarakan dan akhirnya dijatuhkan hukuman oleh mahkamah. Namun, soalnya sekarang terdapatnya terlalu banyak kemusyiklan dan keraguan terhadap kes berprofail tinggi seperti ini. Ramai yang terkejut dengan adengan sandiwara kes pembunuhan ini sebenarnya. Apa tidaknya, tertuduh yang dijatuhkan hukuman itu adalah dua anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK), iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar. Tambah mengejutkan mereka juga adalah pegawai pengiring kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu. Kedua mereka dihukum gantung sampai mati oleh mahkamah, sedangkan dalam masa yang lain "individu yang mengarahkan" mereka membunuh langsung tidak dikenakan tindakan. Malah, pihak polis tidak pula menyiasat siapakah "sutradara" yang menyiapkan skrip pembunuhan terbabi. Bukankah ini sesuatu yang amat mengejutkan kita sebenarnya. Jika tertuduh adalah Botak Chin, Mona Fendi, Bentong Kali atau ramai lagi pembunuh bersiri , maka mungkin ia boleh diterima dan masuk dek akal sebenarnya. Namun Azilah dan Sirul adalah anggota polis UTK dan bukan pembunuh bersiri. Malah, umum mengetahui bahawa polis UTK hanya akan menjalankan tugas mengikut arahan ketua mereka.
Siapa Sebenarnya Yang Mengarahkan Tertuduh ? Maka itulah, timbulnya keraguan yang munasabah siapakah sebenarnya yang mengarahkan mereka melakukan tindakan kejam tersebut. Apakah Razak Baginda? atau ada orang lain dibelakang tabir sebalik kejadian misteri ini. Anehnya, mahkamah seolah-olah mendapat arahan pula untuk mengiyakan bahawa tidak ada orang lain yang terlibat dan kedua-dua tertuduh mungkin membunuh Altantunya dengan "sukarela" tanpa mengenali wanita Monggolia tersebut. Inilah yang dikatakan misteri sebenarnya, sama juga dengan kes pembunuhan pragawati Noritta Shamsuddin beberapa tahun sebelum itu. Tertuduh, Haneef Basree dibebaskan dan hingga ke hari ini tidak ada mereka yang ditangkap serta dituduh membunuh Noritta. Apa yang ada, pihak polis hanya mengumumkan terdapatnya "lembaga misteri" yang membunuh pragawati tersebut. Apakah cukup dengan penjelasan seperti ini?. Begitu juga dengan kes Altantunya, apakah cukup untuk meyakinkan rakyat bahawa Sirul dan Azilah membunuh tanpa ada arahan oleh pihak tertentu? Kenapa pihak polis tidak menyiasat perkara ini dengan telus dan adil untuk keluarga si mati?. Tambah menyedihkan, Ketua Pendakwaraya kes berkenaan, Tun Majid Tun Hamzah pula berkata pihaknya berpuas hati dan telah membuktikan bahawa tiada orang lain terbabit dalam kes pembunuhan itu. Soalnya, benarkah tiada orang lain yang terlibat?. Atau beliau juga terpaksa mengikut skrip yang telah ditetapkan untuk membenarkan misteri ini terus menjadi tanda tanya?.
Wajarkah Tertuduh Membunuh Tanpa Sebab ? Persoalan besar yang menghantui rakyat sekarang ialah siapakah yang mengarahkan kedua-dua tertuduh itu sebenarnya?. Wajarkah Sirul dan Azilah dituduh membunuh tanpa sebab? Kenapa siasatan lanjut hingga ke akar umbi dihentikan. Malah, pembebasan Razak Baginda yang dipercayai rapat dengan pemimpin tertentu juga menimbulkan banyak keraguan. Dalam perbicaraan yang dijalankan, memang terdapat hujahan berkaitan dengan desakan yang dibuat oleh Altantunya tentang komisyen yang sepatutnya beliau perolehi daripada pihak-pihak tertentu. Malah ia diakui di mahkamah, namun kenapa perkara ini tidak diselidik dengan rapi. Kenapa Altantunya meminta wang daripada pihak terbabit? Apakah sumbangan yang telah dilakukannya?. Malah, rekod perjalanannya ke negara ini juga dipercayai telah hilang. Siapakah yang mengarah pihak imigresen menghilangkan rekod tersebut. Jika tiada rekod kemasukannya, kenapa pula beliau boleh berada di Malaysia untuk beberapa hari dan tidak ditahan oleh pihak berkuasa?. Malah, kehadirannya ke negara ini juga diikuti oleh sepupunya sehinggalah ke hari beliau mati dibunuh. Ini bermakna misi kedatangan beliau ke negara ini ialah untuk mengambil sesuatu dalam bentuk wang ringgit daripada pihak tertentu. Kenapakah perkara ini tidak dibongkarkan?. Wajarkan kematian Altantunya dikatakan "mati tanpa sebab", dan pihak yang membunuhnya juga "membunuh tanpa sebab"?. Apakah jawapan ini yang mahu ditanamkan dalam hati setiap rakyat. Sedangkan satu dunia sudah mengetahui kes ini. Kenapakah ia terus disembunyikan daripada pengetahuan umum?. Apakah rakyat perlu terus diperbodohkan dengan satu tindakan tidak berperikemanusian segelintir manusia yang bertopengkan binatang. Demi kuasa, mereka sanggup lakukan apa sahaja sebenarnya. Kasihan benar melihat anak yang kehilangan ibunya gara-gara kejadian ini. Altantunya bukanlah cacing yang boleh dicincang sesuka hati. Dia adalah manusia yang perlukan pembelaan secara adil dan saksama !!
Benarkah Tertuduh Ke Tali Gantung Agaknya ? Persoalan inilah yang banyak bermain dihati dan fikiran rakyat sekarang ini. Ramai dikalangan mereka yang tidak yakin lagi dengan sistem undang-undang dan kehakiman di negara kita. Kerana kuasa, yang jelas salah jadi betul dan yang betul dipersalahkan. Keadilan diperkotak-katikan oleh beberapa kerat manusia yang gila berkuasa dan takut untuk dihumbankan oleh suara rakyat. Benarkah Sirul dan Azilah bakal dihukum gantung mengikut keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah agaknya?. Bagi kita yang berada diluar, mungkin terfikir sedemikian rupa. Namun, harus diingat bahawa kedua-dua mereka telah menyumbangkan jasa yang cukup besar bagi menyelamatkan pihak-pihak tertentu. Maka, apakah mereka akan ditamatkan riwayatnya begitu sahaja sedangkan berbagai kaedah boleh digunakan untuk memastikan jasad mereka terus bernyawa. Antara langkah awal ialah memastikan kedua-dua mereka tidak dikenali oleh masyarakat umum. Caranya ialah dengan memakaikan topeng "ala ninja" setiap kali dibawa ke mahkamah ketika perbicaraan berjalan. Kononnya dengan cara ini, jika pun mereka digantung di penjara tidak siapa yang akan tahu. Melainkan jika mereka digantung "ala Saddam Hussein" yang disaksikan oleh jutaan manusia dari seluruh dunia. Ada kemungkinan juga kedua mereka bakal dilepaskan mengikut pintu belakang dan diberikan "habuan" serta dihantar ke luar negara untuk beberapa tahun. Kemudian mereka boleh balik ke negara ini dengan berwajah dan nama baru. Ini boleh dilakukan oleh pihak Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Sedangkan selama ini mereka boleh menbuat kad pengenalan untuk pengundi hantu, masakan pula untuk membuat kad pengenalan baru kepada kedua tertuduh terbabit. Akhirnya mereka bebas kembali ke negara ini, tanpa dikenali oleh sesiapa pun. Tambahan pula jika mereka menyimpan jambang dan berimej "ala Osama Laden" selepas kembali ke Malaysia nanti. Bukankah akhirnya mereka semua iaitu pihak yang melakukan pembunuhan Altantunya ini akan bebas sebebasnya tanpa perlu risau dan gundah gulana lagi. Maka itulah sebagai rakyat, kita harus memikirkan perkara ini secara rasional dan waras. Spekulasi sebegini biar pun tidak disenangi oleh pihak tertentu, namun kemungkinan besar juga ia boleh berlaku. Malah, ada kemungkinan yang digantung adalah banduan lain yang memang menanti hukuman tersebut dan bukan mereka sebenarnya. Malah, tidak ada sesiapa pun dikalangan kita yang bakal melihat hukuman tersebut dijalankan dan mengesahkan mereka adalah Sirul dan Azilah yang asli.
[Banyak keraguan dan kemusykilan dalam kes ini sebenarnya. Biarpun mahkamah telah membuat keputusan, namun keputusan tersebut boleh dipertikaikan dan jelas tidak mencerminkan keadilan yang sepatutnya. Mana mungkin orang yang mengarahkan tertuduh membunuh boleh terlepas daripada hukuman. Jelas sekali pengakuan Sirul dan Azilah bahawa mereka adalah "kambing hitam" ketika di mahkamah kian terbukti sebenarnya. Ternyata mereka tidak wajar dipersalahkan 100%, kerana mereka melaksanakan tugas yang telah dipertanggungjawabkan oleh ketua mereka. Soalnya kenapa orang yang memberi arahan mahu disembunyikan. Apakah ini caranya amalah penyiasat polis yang dilakukan di Malaysia. Menyiasat untuk menutup bukti, bukan menyiasat untuk mencari bukti kes. Samalah dengan kes pembunuhan lain yang berlaku mutakhir ini iaitu Mendiang Teoh Beng Hock dan sebagainya. Siasatan dan tugas pihak terbabit ialah memadamkan bukti dan bukannya mencari bukti siapakah pembunuh sebenar. Oleh itu, kes pembunuhan Altantunya ini wajar dibuka semula bagi meyakinkan segenap lapisan rakyat tentang integriti badan kehakiman serta perundangan di negara kita].
sumber: pahangdailyonline
PDRM kn balaci UMNO. tengok la apa yg diaorg tk buat kpd wakil rakyat2 PR di Perak. taat mbuta; sekarang tanggungla akibatnya
ReplyDelete