Followers

Thursday, August 1, 2013

Mahkamah tolak petisyen BN bagi DUN Penggeram




 
 
Mahkamah Pilihan Raya di Shah Alam hari ini menolak petisyen difailkan Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan keputusan pilihan raya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram, Johor yang dimenangi DAP pada pilihan raya umum ke-13.
  
Hakim Datuk Suraya Othman membuat keputusan itu selepas beliau membenarkan bantahan awal oleh calon DAP, Gan Peck Cheng.
  
Dalam pilihan raya umum lepas, Gan memenangi kerusi DUN Penggaram mengalahkan calon BN, King Ban Siang dengan majoriti 10,051 undi.
  
Suraya yang menolak petisyen itu dengan kos RM20,000, dalam penghakimannya berkata petisyen itu wajar ditolak kerana terdapat kecacatan dalam butiran dan maklumat yang diberikan pempetisyen iaitu King.
  
Beliau turut menolak dakwaan bahawa tindakan Gan mengadakan jamuan makan kepada pengundi di Taman Sri Penggaram, Batu Pahat, Johor, pada 18 Mei lepas adalah rasuah.
  
"Mahkamah menolak isu itu kerana ia tiada kaitan dengan undang-undang dan petisyen pemohon juga gagal memberikan butiran lengkap berhubung adanya rasuah dalam jamuan berkenaan," katanya.
  
King selaku pempetisyen diwakili peguam Izzat Muhtar memfailkan permohonan petisyen pada 10 Jun lepas terhadap Gan, yang diwakili peguam Gobind Singh dan Thomas Philip.
  
Dalam pernyataan petisyen itu, King mendakwa Gan telah melakukan rasuah dan menyalahi undang-undang kerana mengadakan jamuan makan dan minum kepada para pengundi Penggaram sehingga membawa kepada kemenangannya.
  
Beliau mendakwa Gan atau ejennya memaparkan kain rentang pada 18 Mei lepas, yang jelas menjemput pengundi di kawasan DUN Penggaram untuk menghadiri jamuan itu dan kira-kira 2,000 penduduk hadir.
  
King mendakwa kain rentang yang mengandungi perkataan 'Ubah Sekarang dan Bersihkan Malaysia' telah diedar dan ditampal oleh responden dengan tujuan untuk menimbulkan dan menyebarkan perasaan jahat serta tidak puas hati pengundi di Penggaram.
  
Justeru, beliau memohon agar mahkamah mengisytiharkan pilihan raya yang diadakan sebelum ini adalah tidak sah dan terbatal.
  
- Bernama
 
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.