Followers

Monday, August 5, 2013

Beri polis ruang, jangan komen negatif sahaja - Bakri Zinin

 
KUALA LUMPUR - Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin meminta orang ramai agar memberi ruang dan kepercayaan kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan terhadap kes jenayah dan bukannya melontarkan komen yang negatif ke atas mereka.

Beliau berkata polis dan masyarakat mesti sentiasa berganding bahu dalam menyelesaikan masalah jenayah dan bukannya menunding jari kepada pihak polis jika berlaku jenayah.

"Pihak polis amat memerlukan bantuan orang ramai dalam menyelesaikan setiap kes jenayah, bukan sekadar komen. Sebagai contoh, kita sudah siarkan gambar suspek tembak (Hussain Ahmad) Najadi.
"Namun tiada orang ramai yang tampil untuk membantu siasatan," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan acara pemakaian pangkat serta serah terima tugas jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman antara Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah yang menyandang jawatan itu sebelum ini kepada Datuk Mazlan Mansor.

Sementara itu Mohd Bakri berkata peningkatan kes tembakan akhir-akhir ini adalah atas motif tersendiri dan bukan dilakukan secara rambang.

"Kalau dirujuk ia dilakukan kerana mempunyai motif sama ada dendam ataupun masalah perniagaan. Setiap satu kes mesti mempunyai latar belakangnya, tidak ada orang nak tembak tak tentu arah," jelasnya.

Antara kes tembakan yang berlaku ialah pada 29 Julai lepas yang mengakibatkan kematian pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian, Hussain Ahmad Najadi, 75, sementara isterinya Chong Mei Kuen, 49, cedera parah apabila mereka ditembak dari jarak dekat di Lorong Ceylon di sini.

Pada Jumaat lalu, mengakibatkan kecederaan peniaga emas yang ditembak di persimpangan lampu isyarat di Jalan Makmur, Pandan Indah, Selangor.

Sementara pada keesokannya pula seorang pengawal keselamatan maut akibat ditembak di Cheras Perdana, Kajang, Selangor.

Semalam seorang ahli perniagaan dari Kuching, Sarawak maut ditembak di Penampang, Sabah.
Mengenai tindakan bagi membendung kemasukan senjata api ke dalam negara melalui negara jiran, Mohd Bakri berkata pihak polis telah mengenal pasti laluan yang dipercayai digunakan penjenayah dan pihak polis sedang meningkatkan kawalan dan pengawasan di lorong-lorong berkenaan.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.