Followers

Wednesday, September 23, 2015

Pakatan Harapan - Macam Orang Demam, PAS Dan Harakah Terus Meracau



SIDANG meja bulat yang diutarakan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail (WAWI) tidak lebih daripada keterdesakan PKR dalam mendepani situasi politik ketika ini. Hal ini kerana, PKR adalah parti yang paling tidak mendapat perhatian dan seakan terkapai-kapai mencari pautan.

WAWI sendiri tidak pasti hendak membuat keputusan tatkala PKR sendiri masih mahu mengikat diri hubungan bersama PAS. Tetapi WAWI nampaknya cepat teruja di samping permainan penasihat-penasihat kelilingnya untuk dilihat merekalah peneraju Pakatan Rakyat 2.0. 


Maka persidangan meja bulat selama hanya dua jam yang sepatutnya menjadi medan perbincangan sahaja tiba-tiba menatijahkan keputusan pembentukan Pakatan Harapan.

Lontaran WAWI itu bukan kali pertama, telah dikeluarkan kenyataan seumpama berkali-kali, tetapi ia tidak bersambut. Tidak bersambut lantaran WAWI itupun bertanding di Dun Kajang dulu atas 'ihsan'. 


Malah, dalam banyak keputusan politiknya, bukanlah berdiri atas kaki sendiri, tapi arahan atau suara di sebalik tirai besi. Bahkan, di keliling pinggangnya terdiri daripada penasihat-penasihat terlalu eksklusif yang dijelik ahli parti sendiri.

Saat WAWI melontarkan ajakan untuk persidangan itu, tarikh, masa dan tempat terus sahaja ditetapkan. Tiada lagi persetujuan diminta daripada parti-parti kerana hasrat ingin mengungguli barangkali. Tapi barangkali juga beliau menjadi alat pihak tertentu sebagai proksi mengadakan persidangan itu.

Lantas segeranya perlu mengadakan sidang itu tidak lebih untuk mengesahkan kewujudan Parti Amanah Rakyat (PAN) yang baru dilancarkan. Sedangkan PAN itu masih ada prosedur pendaftaran yang belum dipenuhi, masih ia berbayang-bayang dan tidak pasti.

Persidangan itu akan lebih bermakna buat PAN jika PAS hadir supaya diberi kredit ke atas kelahiran tidak sah taraf itu. Malang bagi mereka, PAS melontarkan bunga-bunga awal kemungkinan tidak hadir. 


Anehnya, kedengaran suara-suara rayuan daripada PAN mengharap PAS hadir dan tidak kurang yang merasa lebih bagus tanpa PAS sebagaimana dinyatakan Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub.

Persidangan itu juga dilihat lebih bermotif untuk merendahtarafkan PAS yang peranan belakangnya tentulah dari DAP. Sebab itu mana mungkin PAS hadir untuk berunding sedangkan perbincangan melibatkan mereka yang mengkhianati PAS hingga menubuhkan wadah baru PAN. Diikut serta pula DAP yang telah memutuskan hubungan dengan PAS dan menyerang PAS bertubi-tubi.

PAN sendiri menuduh PAS menghalau mereka untuk membentuk wadah baru. Hakikatnya mereka sudah tidak diterima dalam PAS oleh akar umbi sendiri. 


Mereka diturunkan secara demokrasi sebagaimana juga selama ini mereka dinaikkan. Setelah gagal mendapat tempat, tiba-tiba mereka mendakwa PAS menghalau?

Sedangkan ketika sama juga, mereka enggan patuh kepada dasar dan prinsip PAS. Lihat sahaja bagaimana untuk mewajarkan keluarnya mereka daripada PAS, maka hukum-hakam berkenaan talak taklik dirungkai. Dirujuk kepada ulama segenap pelosok dunia secara tidak benar dengan masalah yang terjadi.

Bahkan selama ini para ulama telah mereka kesampingkan. Para ulama direndahkan semahu-mahunya serta dihilangkan keyakinan atas ulama. Sayangnya mereka gagal memahami tabiat agama ini yang tidak mungkin Allah pisahkan perjuangan agama-Nya daripada peranan ulama.

Kafarahnya jelas, sehingga hari ini PAN tidak lebih dari 'syok sendiri'. Belum ada kepastian mereka secara sah menurut perundangan negara menjadi parti politik. 


Dasar dan halatujunya kabur. Mereka sedari awal cuba meminta PAS berkompromi memberi laluan atau kerusi untuk mereka tandingi pilihan raya nanti setelah mereka curi kerusi-kerusi yang ada. 

Mereka mahu PAS merayu pada mereka dan lunak dengan pelbagai tawaran mereka. Maaf, Presiden PAS sudahpun tegaskan tidak akan bekerjasama dengan pengkhianat yang lebih bahaya daripada musuh dan itulah pendirian seluruh ahli PAS ketika ini. Titik.

Setelah perbincangan hari ini dan sebagaimana diumumkan lahirnya Pakatan Harapan, maka rakyat Malaysia akan lihat pada media propaganda mereka kepada sensasi berita adalah mengenai ketidaksertaan PAS dan sekitar kehadiran Ahli Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar. 


Laporan mengenai koalisi itu tidak akan diberi perhatian besar melainkan yang diada-adakan kerana sememangnya persidangan dua jam itu hanya berkepentingan semata-mata.

Perkara ini berbeza dengan Kongres Rakyat yang dijana PAS, walaupun tidak mendapat liputan sewajarnya, tetapi ulasan di kalangan profesional memperlihatkan ia mendapat reaksi positif secara berterusan dan PAS bersama NGO terlibat mesti terus menggembleng agenda ini ke akar umbi rakyat.

Ketika sama, di akar umbi PKR tidak sepenuhnya mendokong untuk mewujudkan PR2.0 tanpa PAS. Mereka pening dan keliru serta gusar tanpa adanya PAS selaku pemain utama politik negara masa kini. 


Selepas ini pasti ada banyak kenyataan menjurus pelawaan kepada PAS. Dalam situasi ini, PAS umpama anak dara sunti.

Ketamakan dan gelojoh mereka pasti dapat dilihat selepas ni terutama PAN dan DAP. Jika gagal menundukkan PAS, mereka pasti cuba mengganggu Kerajaan Selangor. Maka waktu itu, PKR sekali lagi akan menjadi bola dan mungkin akan ada drama setara 'Kajang Move’.

Aneh juga apabila PAN cenderung menyerang termasuk kepada Kerajaan Kelantan pimpinan PAS. Bahkan berkali-kali meremehkan PAS dan mendakwa PAS telah lumpuh dari penghijrahan 'beramai-ramai' ahlinya menyertai PAN. 


Tidak terlihat pula PAN menyerang Umno-BN dan lebih hipokrit apabila PKR dan DAP juga sebelum ini menghulurkan tangan kepada BN, selain pemimpin mereka dilihat jauh lebih riang gembira dan mesra bersama pemimpin BN.

Rakyat akan menjadi makin menyampah kepada suasana politik negara. 


Ahli akademik juga golongan profesional yang adil pula akan melihat bahawa secara empiriknya PAS dan Umno sahaja sesuai dibandingkan dalam keutuhan politik sebenar atas faktor-faktor semasa, kestabilan, sejarah, dasar, jentera dan lain-lain. 

Kita hanya usaha dan doa, moga-moga kecenderungan itu banyak pada PAS.

Ikatan dan segala catatan mengenai kerangka kewujudan PR2.0 atau Pakatan Harapan ini akan tertumpu kepada ikatan mengenai pembahagian-pembahagian antara mereka dan kehendak parti-parti. 


Isu kerusi, isu jawatan, hudud dan banyak isu-isu yang PAS pernah ditekan atasnya akan menjadi keutamaan. Sebaliknya perkara-perkara yang mereka laung seperti AMANAH, PEDULI PROGRESIF, INKLUSIF dan seumpama itu akan mula hilang sikit demi sedikit. Entah ke mana mereka akhirnya, hal itu hanya ada dalam ilmu Allah. Wallahu'alam.

- harakahdaily

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.